Sejarah India Moden: Imperialisme hingga Kemerdekaan mengupas perkembangan sejarah India moden sejak abad ke-18 hinggalah kemerdekaan pada tahun 1947. Pelbagai aspek sejarah dikemukakan yang merangkumi ekonomi, sosial dan politik. Pada dasarnya, sejarawan saling berbalah pendapat dan mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai istilah zaman moden, bukan sahaja di India tetapi juga di negara dan wilayah yang lain kerana zaman moden itu bersifat subjektif.
Namun begitu, salah satu kesepakatan dalam konteks sejarah India adalah kehadiran British dan imperialisme British di India sejak pertengahan abad ke-18 itu menjejaskan segala rupa bentuk tradisi dan warisan yang menjadi asas peradaban tradisional India. British telah membawa perubahan-perubahan besar dalam kehidupan masyarakat India dan membentuk satu garisan yang memisahkan antara ‘moden’ dan ‘tradisional’. Dalam konteks perbincangan buku ini, jangka masa yang dibincangkan adalah sekitar pertengahan abad ke-18 hingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.
Buku ini mengandungi 17 bab berdasarkan galuran dan perkembangan sejarah di Asia Selatan sejak zaman awal penjajahan sehinggalah kemerdekaan. Secara keseluruhannya, bab-bab yang disusun dalam Sejarah India Moden: Imperialisme hingga Kemerdekaan mempunyai perkaitan dan pertalian antara satu sama lain. Namun dalam masa yang sama, setiap bab itu juga boleh berdiri sendiri. Penyusunan yang sebegini rupa diharap akan dapat memberikan kesan yang lebih mendalam kepada kalangan yang cuba melihat sejarah India secara keseluruhannya ataupun kalangan yang hanya merujuk kepada satu-satu episod dalam sejarah India. Adalah menjadi harapan agar buku ini akan dapat memperkayakan dan melengkapkan buku-buku yang sedia ada mengenai sejarah India.
Reviews
There are no reviews yet