Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang (1613-1863) ditulis dengan matlamat untuk mendedahkan beberapa mercu tanda dalam sejarah keluarga Bendahara Johor-Pahang yang penting. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor Lama yang merangkumi tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga tidak dapat lari daripada kepentingan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Institusi Bendaharanya.
Dengan mengambil peristiwa Perang Batu Sawar pada tahun 1613 sebagai permulaan kisah, iaitu melibatkan sejarah Bendahara Paduka Raja Tun Sri Lanang, dilanjutkan kepada pergolakan Dalam Negeri Johor yang melibatkan siyasah Laksamana Tun Abdul Jamil sehingga menaikkan nama Tun Habib Abdul Majid (mangkat pada tahun 1697) sebagai bendahara yang menyambung warisan keluarga (yang sebelum itu hampir tamat), dan peristiwa perang Bendahara Pahang pada tahun 1857-1863 pada zaman pemerintahan Raja Bendahara Tun Mutahir Tun Ali. Penulis berhasrat supaya sejarah suka duka keluarga Bendahara yang terkandung di dalam buku ini dapat dijadikan Iktibar dan teladan dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh bangsa kita dan pada masa akan datang.
Sebagaimana halnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala, Kesultanan Johor Lama yang meliputi tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di sebelah selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga tidak dapat lari daripada kepentingan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Institusi Bendahara.
Hakikatnya, Institusi Raja-raja Melayu dan Institusi Bendahara warisan Melaka umpama “sebadan”, iaitu saling memerlukan dan lengkap memperlengkap. Jika fungsi Raja-raja Melayu adalah sebagai payung atau tonggak bagi bangsanya, maka Institusi Bendahara pula menjadi tiang sokongan utama ataupun tunjang yang memegang kedaulatan Institusi Raja-raja Melayu tersebut.
Buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang (mangkat pada tahun 1659 Masihi di Aceh) selain banyak menukilkan perjalanan keluarga diraja Melaka-Johor-Pahang, tidak ketinggalan meriwayatkan juga perjalanan sejarah keluarga bendaharanya yang berasal daripada keluarga yang sama.
Maka nama-nama seperti Tun Perak, Tun Mutahir, Tun Tepok, Tun Teja, Tun Fatimah dan Tun Isap Misai dalam keluarga bendahara menjadi nama-nama yang tidak asing dalam lipatan sejarah bangsa Melayu. Tokoh-tokoh ini setara dengan nama-nama keluarga dirajanya seperti Raja Iskandar Syah (Parameswara), Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.
Bendahara bukan sahaja memainkan peranan penting sebagai tangan kanan raja, malahan puteri bendahara juga sering menjadi permaisuri raja mengikut adat Raja-raja Melayu, melahirkan waris pemerintah, selanjutnya sebilangan bendahara menjadi nenda pula (kerana puteri bendahari berkahwin dengan raja dan melahirkan raja) kepada sultan yang berdarah “gahara”, maka selayaknya beliau menjadi penasihat yang teraula pula kepada baginda. Ini belum lagi termasuk ahli keluarga bendahara yang berkhidmat di istana, menjadi tiang-tiang sokongan dalam melancarkan urusan pemerintahan negeri.
Begitulah besarnya kepentingan peranan keluarga bendahara yang dinukilkan sejarahnya secara terperinci dengan mata pena Bendahara Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang sendiri dalam bukunya bertajuk Sulalatus Salatin yang masyhur berusia hampir 400 tahun itu.
Zuraime Zakaria (Verified Reader) –
Kupasan yg menarik dengan gaya bahasa yang santai.
Mohd Zaki Ahmad (Verified Reader) –
Anonymous (store manager) –
Anonymous (Verified Reader) –