Tapak Integrasi dan Wahana Penyatupaduan Bangsa merupakan himpunan esei seputar tapak integrasi yang dilihat sebagai suatu alat penting yang berperanan merapatkan jurang perbezaan sosial dengan menggunakan titik persamaan sebagai usaha penyatupaduan. Tapak integrasi ini boleh terhasil daripada arahan fopdown seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang direncana oleh kerajaan di peringkat atasan dan dilaksana kepada rakyat sebagai usaha untuk menstruktur semula masyarakat tanpa pengenalan kaum dan menghapuskan kemiskinan. Sementara tapak integrasi yang terbina dalam bentuk mendatar wujud di paras akar umbi adalah inovasi rakyat yang meraikan detik perpaduan menerusi sukan, perkahwinan di kawasan kejiranan, festival budaya dan agama, penggunaan satu bahasa, perkhidmatan kesihatan dan perubatan awam dan sebagainya.
Namun begitu, jaminan tapak integrasi akan membawa kejayaan adalah suatu yang boleh diperdebatkan. Ada ketikanya sesebuah tapak integrasi itu berjaya, di ketika lain gagal. Sepertimana DEB, walaupun ia bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum, objektif murni ini masih menerima kritikan dan mengundang perdebatan tentang pencapaian pemilikan kekayaan 30% Bumiputera, yang pernah dilihat sebagai satu usaha yang dikatakan telah mendiskriminasi masyarakat bukan Melayu.
Sementara detik perpaduan yang bermula dan berlegar di bawah, iaitu dalam kalangan rakyat dibahas sebagai suatu yang superficial kerana pengukuran suatu detik itu hanya bersifat sementara, seketika dan tidak kekal. Detik perpaduan hanya menampakan rasa kebersamaan pada suatu detik yang singkat. Memang benar detik perpaduaan adalah suatu yang sementara dan singkat kerana seseorang tidak boleh terus tersenyum dan bergembira sepanjang masa. Emosi dan perubahan sekitaran mempengaruhi tindakan dan tingkah laku individu. Tetapi kerangka konseptual tapak integrasi boleh dijadikan alat analisis bagi membantu membina penafsiran bahawa tapak integrasi perlu terus diwujudkan dan diperkukuh dalam pelbagai sektor dan situasi sebagai usaha penyatupaduan yang berterusan,
Perbincangan mengenai tapak integrasi ini diuji dengan menganalisis pembentukan dasar sebagai tapak pertemuan untuk merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum ini. Impak dasar pembangunan telah bermula sejak beberapa dekad lalu semenjak pascakemerdekaan. Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971) di mana berlakunya penstrukturan sosial masyarakat dan usaha menghapuskan kemiskinan. Usaha penyatupaduan kaum dan pembentukan negara bangsa diteruskan lagi menerusi Dasar Pembangunan Negara, Wawasan 2020, Transformasi Nasional 50 (TN 50), Dasar Komuniti Negara (2019) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (2019).
Penulisan dalam Tapak Integrasi dan Wahana Penyatupaduan Bangsa juga cuba meneroka tapak integrasi menerusi pengenalan dasar-dasar kerajaan sedia ada bagi mengurangkan jurang perbezaan kaum menerusi pendapatan dan pemilikan. Cabaran dan halangan turut dikupas dan usaha ke arah penyatupaduan masyarakat pelbagai etnik menerusi lensa ekonomi diperdebatkan bagi menilai sejauhmana pendekatan top-down ini meletakkan asas sebagai tapak integrasi yang merapatkan jurang perbezaan kelas dan etnisiti. Pendekatan kajian pada peringkat ini adalah menilai semula konsep kelas dan etnisiti, mengupas pendekatan multidimensi dalam ekonomi sebagai kayu ukur kepada pendapatan dan pemilikan serta konsep penyatupaduan sosial dalam usaha membina negara bangsa. Pendekatan kualitatif dengan menghimpunkan bahan-bahan sekunder diketengahkan sebagai usaha memaparkan tematema yang telah dibahaskan mengenai etnisiti, ekonomi dan dasar-dasar pembangunan yang mendorong kepada terbinanya kesepaduan sosial dan keperluan kepada penyatupaduan sebagai proses ke arah perpaduan negara.
Reviews
There are no reviews yet