Transformasi Budaya Politik Melayu Terengganu membincangkan transformasi budaya politik Melayu di Terengganu pasca PRU ke-10 yang dimanifestasikan selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Budaya politik Melayu Terengganu sebelum PRU ke-10 menyaksikan sokongan pengundi terhadap UMNO-BN begitu kukuh dan dominan. Buku ini ditulis berdasarkan kepada berlakunya pola ketidaktentuan pengundian yang ditunjukkan dalam lima siri pilihan raya terakhir di Terengganu iaitu pada tahun 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018. Hal ini kerana pertembungan dua parti Melayu-Islam utama iaitu UMNO dan PAS sangat sengit. Keputusan pasca PRU ke-10 menunjukkan UMNO dan parti oposisi khususnya PAS mempunyai peluang yang seimbang untuk membentuk kerajaan di Terengganu. Hasil penulisan buku ini menunjukkan bahawa pembangunan merupakan faktor utama yang mempengaruhi pembentukan budaya politik Melayu di Terengganu sebelum dan selepas PRU ke-10. Namun begitu, pasca PRU ke-10, pembangunan tidak lagi ditafsirkan sekadar mengecapi nikmat keselesaan semata-mata, malahan mesti turut disepadukan dengan prinsip keadilan. Keperluan terhadap nilai ini mempengaruhi transformasi budaya politik masyarakat Melayu di Terengganu pasca PRU ke-10.
Meskipun pembangunan masih menjadi faktor yang mempengaruhi budaya politik Melayu di Terengganu, namun ianya telah mendapat tafsiran yang baharu. Masyarakat Melayu Terengganu tidak menolak pembangunan namun mereka menolak UMNO-BN kerana tidak berpuas hati dengan projek pembangunan yang dibawa oleh UMNO-BN yang tidak memberikan manfaat ekonomi kepada mereka. Politik pembangunan tidak lagi diterima secara semberono malahan telah mendapat tafsiran yang baharu. UMNO-BN banyak melakukan pembangunan yang ikonik di Terengganu yang dilihat tidak memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat. Hal tersebut menyebabkan masyarakat Melayu menterjemahkan penolakan terhadap UMNO-BN dengan mengundi parti oposisi iaitu PAS dalam pilihan raya.
Pendekatan pilihan rasional pengundi juga dapat dilihat apabila projek pembangunan yang dilakukan sebelum berlangsungnya pilihan raya tetapi dilihat menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat serta tidak memberikan impak atau manfaat ekonomi sangat mempengaruhi pilihan politik pengundi untuk bertindak menyokong parti oposisi. Tindak balas yang negatif kepada kerajaan menunjukkan bahawa rakyat lebih mementingkan faedah dan hasil. Janji pembangunan dan manfaat ekonomi yang diulang siar semasa kempen pilihan raya oleh kerajaan dilihat sebagai sesuatu yang rasional sebelum berlangsungnya pilihan raya.
Namun apabila impak yang sebaliknya berlaku selepas pilihan raya, maka pengundi akan bertindak untuk memberikan tindak balas yang negatif kepada kerajaan dalam pilihan raya berikutnya. Selain daripada itu, unsur nilai turut menjadi asas pembentukan budaya politik Melayu. Pengabaian pada nilai atau budaya Melayu itu sendiri menjadi faktor utama penentangan yang dilakukan oleh rakyat. Nilai atau budaya Melayu itu sendiri lebih memberikan penekanan kepada persoalan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Kesetiaan kepada kerajaan tidak lagi diberikan secara semberono tanpa banyak soal tetapi setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit dan munasabah.
Reviews
There are no reviews yet