Tunggu Sekejap… dalam Coretan Warisan

NORIAH MOHAMED merupakan mantan Profesor dan Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Karya beliau banyak ditumpukan kepada bidang sosiobudaya dalam Masyarakat Jawa dan Melayu.

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 2019)
213 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM35.00

Only 1 left in stock

Tunggu Sekejap… dalam Coretan Warisan merupakan himpunan luahan dan coretan yang pernah disajikan dalam ruangan Sastera Tradisional dalam majalah Dewan Sastera selama empat tahun (2014-2017). Coretan yang ditulis secara bersahaja ini adalah kerana tulisan dalam majalah sering mendapat tanggapan yang bukan berbentuk akademik secara total. Namun demikian, khalayak boleh juga memperoleh maklumat daripada coretan yang dipaparkan.

Ruang yang diberikan pada setiap bulan sebanyak tiga halaman termasuk lakaran dan cuplikan gambar yang dianggap perlu sejajar dengan judul penulisan. justeru, tulisan santai ini merangkumi daya fikir manusia Melayu mengenai alam yang dijadikan dasar dalam kehidupan berbudaya. Semuanya terpapar indah dalam teks warisan yang kadang kala dijadikan sumber perbincangan selain cerita lisan yang dijadikan sorotan pencernaan.

Untuk menyusur kembali pertalian sastera Jawa dan Melayu, pastinya ada kewajaran yang sesuai dengan beberapa bab yang disertakan dengan teks berkaitan seperti Cerita Panji, Rara Mendhut, Damar Wulan serta Mahabharata. Harus disedari bahawa Jawa dan Melayu tidak akan terpisah kerana kaum Melayu yang ada di Malaysia masih mempunyai kaitan darah dengan keluarga leluhur mereka yang ada di Jawa. Kaitan ini sudah terjalin sejak zaman kesultanan Melaka lagi sebagaimana yang terpapar dalam beberapa teks agung Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Sungguhpun dalam teks tersebut menyatakan bahawa manusia Jawa sering dilabel sebagai manusia yang rakus, tamak, iri hati atau lebih tepat dengan warna negatif, tetapi pengarang kepada dua teks tersebut masih mengekalkan secara wajar tentang kehebatan manusia Jawa terutama daripada aspek keampuhan keris Taming Sarinya selain nuansa Jawa dalam berbusana dan berbudaya.

Daripada aspek yang lain, teks Jawa seperti Cerita Panji digunakan secara sedar oleh pengarang untuk mewarnai kedua-dua teks agung Melayu yang digarap. Unsur panji yang memaparkan elemen kasih sayang, cinta yang tak terpisah antara teruna dan dara turut dijadikan ilham oleh pengkarya Melayu untuk mencipta cerita Panji Melayu sehingga jumlahnya lebih besar daripada teks Jawanya.

Unsur kemanusiaan sama ada berbentuk positif dan negatif inilah yang menjadikan kedua-dua alur, Jawa dan Melayu terus bertemu pada satu titik yang disenangi seperti unsur cinta, pengorbanan, kasih sayang, tanggungjawab antara keluarga selain tanggungjawab pemimpin kepada rakyat dan sebaliknya. Atas dasar ini jugalah tulisan daripada aspek Jawa dan Melayu turut dipaparkan kerana kedua-dua etnik ini diumpamakan seperti dua rumpun yang tak terpisah. Kedua-dua etnik ini Saling melengkapi dalam pelbagai aspek sama ada secara ketara atau sebaliknya.

Dengan pengumpulan makalah yang dibeberkan mengikut bab dan dipisahkan dengan pembahagian, diharap coretan warisan ini dapat mengetuk hati khalayak yang membacanya.

Weight0.324 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 1.1 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.