Arena Wati

Arena Wati, atau nama sebenar beliau Muhammad bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung, merupakan Sasterawan Negara Kelima, novelis, penulis cerpen dan penulis rencana sastera Malaysia. Beliau dilahirkan pada 30 Julai 1925, di Kalumpang, Jeneponto, Makasar. Beliau meninggal dunia pada 25 Januari 2009, di Kuala Lumpur. Arena Wati mendapat pendidikan bermula dari Sekolah Voor Volkschool (sekolah Belanda) di kampung kelahirannya (1932) sehinggalah ke peringkat Sekolah Menengah Atas (1953). Pada bulan Oktober 1954, Arena Wati bekerja di Royal Press, Singapura sebagai anggota sidang pengarang untuk majalah Hiburan, Hiburan Filem dan Kisah. Semenjak itulah, Arena Wati mula melibatkan diri dalam dunia penulisan, khususnya kesusasteraan iaitu dalam usia 22 tahun.

Keterlibatan Arena Wati pada peringkat awal ini adalah dalam bidang cerpen. Cerpen pertamanya “Impian dan Kenyataan” tersiar dalam akhbar Pedoman Rakyat (1952). Beberapa cerpennya yang lain, tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar baik di Singapura mahupun di Malaysia. Selama 27 tahun penglibatan Arena Wati dalam penulisan cerpen dia telah menghasilkan lebih kurang 85 buah cerpen dan lima buah kumpulan cerpen persendirian, iaitu Tingkah Manusia (1960), Burung Badai (1967), Johor Baru (1967), Bara Batu (1984) dan Ombak Samudera (1992). Cerpennya lebih banyak menonjolkan gejala manusia dengan laut, alam sekitar dan manusia dengan dirinya sendiri. Cerpennya pada dekad 1960-an dan 1970-an tentang filsafat kemanusiaan cukup mempengaruhi penulisan cerpen Melayu moden ketika itu hingga kini.

Sebagai sasterawan yang produktif, Arena Wati bukan sahaja dikenali sebagai penulis cerpen tetapi juga sebagai novelis. Alam mikro dan makro penulisan novelnya tidak hanya terbatas pada alam lingkungannya, tetapi meliputi perbatasan Nusantara khususnya Asia seperti Jepun amnya serta meliputi benua Eropah dan Amerika umumnya. Demikian juga, gejala penghidupan dan kehidupan manusia yang tercermin dalam novel Arena Wati jangkauannya meliputi pelbagai nilai kebudayaan universal: politik, ekonomi, seni, agama, kepercayaan, solidariti dan ilmu dalam erti yang luas.

Karya Arena Wati, Lingkaran (19??) sangat berlainan sifatnya. Novel ini betul-betul bersifat Malaya dan Melayu, berpusat pada persoalan negara Malaysia atau setidak-tidaknya persoalan Tanah Melayu. Jalan cerita novel ini agak sukar diikuti seandainya pembaca tidak membaca secara teliti kerana novel ini penuh dengan perlambangan. Banyak bahagian yang memberikan huraian berupa fikiran atau dialog yang mempunyai pengertian mendalam. Persoalan pokok yang disentuh meliputi kebudayaan, agama dan falsafah. Novel ini tidak dapat disangsikan sebagai novel yang mengatasi novel-novel Melayu yang seangkatan dengannya. Ia merupakan jangkauan untuk mencapai taraf antarabangsa, untuk melaksanakan cita-cita seni yang betul-betul universal. Kesan dan tanggapan pertama apabila membaca novel ini ialah tentang kecurangan yang berlaku dalam kehidupan manusia sehari-hari. Masalah rasuah atau tidak amanah di kalangan manusia sebenarnya bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Persoalan ini sudah merupakan masalah sejagat sejak lama dan boleh terjadi di mana-mana pun, hanya cara pelaksanaannya sahaja yang berbeza-beza.

Selain menulis cerpen dan novel, Arena Wati juga menulis puisi, rencana sastera, kajian sastera lama dan baru, serta buku pengetahuan umum. Sehingga kini, Arena Wati sudah menghasilkan lebih kurang 12 buah puisi dan puluhan rencana sastera dan umum. Buku kajian sasteranya antara lain termasuklah Bunga Rampai Dongeng Melayu (1954), Perkembangan Kesusasteraan Melayu (1964), Rampai-rampai Melayu Lama (1964), Asas Pengetahuan Puisi (1965), Bentuk Sastera (1965), Harith Fadhilah (1967), Cerpen Zaman Jepun: Suatu Kajian (1968), Silsilah Melayu dan Bugis (1973), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hashim al-Qudsi (1989) dan Syair Perang Cina di Monterado (1989). Buku pengetahuan umumnya ialah Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya (bersama-sama Wan Shamsuddin) yang diterbitkan pada tahun 1964, dan Dusun: Satu Tinjauan dalam Konteks Kepercayaan, Kultus dan Hukum Adat di Sabah (1978). Arena Wati menghasilkan sebuah memoir panjang yang berjudul Enda Gulingku (1991), sewaktu menjadi karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia. Beberapa karya Arena Wati telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Novel Sakura Mengorak Kelopak telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Mohd. Tajudin Samsuddin dengan judulnya Sakura Petals Unfold (1991). Sementara itu Lingkaran diterjemahkan oleh Hawa Abdullah dengan judul Wheels within Wheels (1992). Kedua-dua novel terjemahan ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arena Wati adalah sasterawan yang cukup serius dan amat teliti dalam berkarya. Beberapa buah karyanya berjaya mengukir namanya sebagai sasterawan yang cukup bertenaga. Banyak hadiah yang telah dimenangi oleh Arena Wati, antaranya ialah hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel DBP 1962 dengan novel Lingkaran (tajuk asal: Tumbangnya Pokok Tak Belangit). Kemudian novelnya Sandera (1972) terpilih memenangi Peraduan Novel 10 Tahun Merdeka. Beberapa buah cerpennya juga terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Antaranya “Wisata” memenangi Hadiah Karya Sastera tahun 1971 manakala “Bukan Satu Jalan ke Mekah” dan “Alun Menggulung Perlahan” memenangi Hadiah Karya Sastera 1972. Pada tahun 1985, Arena Wati terpilih menerima S.E.A. Write Award di Bangkok. Pada tahun 1987 pula Arena Wati dipilih sebagai tokoh penulis yang kelima menerima Anugerah Sastera Negara.

KARYA SELANJUTNYA: Kisah Tiga Pelayaran (1959); Jalan Malam ke Ibu Kota (1959); Gelora (1963); Gandaria (1969); Eno (1980); Rontok (1980); Royan (1980); Bunga dari Kuburan (1987); Kuntum Tulip Biru (1987); Pantai Harapan (1990); Turina (1991); Citra (1991); Gami (1993); Meniti Kala (1993); Panrita (1993); Mevrouw Toga (1995); Begawan (1996).

  • Kutukan dari Langit: Drama Lima Babak

    Kutukan dari Langit: Drama Lima Babak

    RM45.00
  • Sukma Angin

    Sukma Angin

    RM42.00
  • Antara Dua Deru: Kumpulan Cerpen Pilihan

    Antara Dua Deru: Kumpulan Cerpen Pilihan

    RM25.00
  • Bagai Sarang Burung di Ranting: Kumpulan Cerpen

    Bagai Sarang Burung di Ranting: Kumpulan Cerpen

    RM15.00
  • Warna Sukma Usia Muda (PB)
    Out of stock

    Warna Sukma Usia Muda

    This product has multiple variants. The options may be chosen on the product page RM40.00RM60.00
  • Citra

    Citra

    RM25.00
  • Cinta Sekerdip Embun
    Out of stock

    Cinta Sekerdip Embun: Antologi Cerpen Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996-2005

    RM40.00
  • Mevrouw Toga

    Mevrouw Toga

    RM18.00
  • Rindu Aroma Padi Bunting

    Rindu Aroma Padi Bunting

    RM40.00
  • Sudara
    Out of stock

    Sudara

    RM30.00