Citra membawa kisah hidup sekelompok manusia Melayu Kuala yang menjadi masyarakat serpihan Malayu akibat perpecahan politik dan tekanan keruntuhan ekonomi. Zaini yang berasal daripada masyarakat Melayu Laut dan Sari Bulan yang berasal daripada masyarakat Melayu Pulau kini bergabung dengan Bacok dan Supatmo untuk mengembalikan kedaulatan dan maruah manusia Kuala yang sekian lama tercicir daripada arus kebangkitan orang Melayu. Fenomena ini menimbulkan rasa iri hati dan hasad dengki segolongan manusia lain. Citra membawa realiti sikap positivisme sekelompok manusia yang yakin menghadapi segala tentangan demi hasrat yang murni.
Hari sudah menjelang tengah hari, tapi Bacok tak muncul. Pedada tiba, terboyot-boyot dengan perut besarnya, dan mengadu kepada Haji Sutejo:
“Bacok tak mahu keluar dari tempat tidur.”
“Dia merana, Pedada. Biarkanlah. Tapi tolong tengok makanannya. Apa saja yang dia mahu makan.”
“Malam tadi, menjelang dinihari baru tidur. Terlalu lama di empang. Menjelang subuh dia mengigau terus.”
“Emakmu sudah tahu?”
“Emak jaram dahinya dengan daun turi.”
“Pulang ke rumah. Pergi beritahu emak hajahmu.”
Haji Sutejo gelisah. Dia sedar sekarang, bahawa tak ada gunanya mendesak Bacok bekerja. Dia tahu, bahawa Bacok dimakan oleh perasaannya sendiri. Yang dia ragukan ialah sikap Sari Bulan kepada Bacok.
“Kang Haji. apa pun keputusan yang akan saya ambil atas permintaan Bacok, semuanya akan tergantung daripada hasil rundingan saya dengan ibu bapa Sari sendiri.” Perkataan itu masih terngiang di telinga Haji Sutejo. “Saya serba salah. Tak dapat terima, tapi bagaimana akan tolak?” Perkataan itu diulangi oleh Sari Bulan pada malam sebelum dia terbang. Sari Bulan juga menambah. “Yang saya harap, Kang Haji dan Bu Hajah tolong perhatikan Bacok.”
“Memang kami perhatikan,’ kata Haji Sutejo dalam hati. “Tapi bagaimana akan ubati orang yang sakit sukma?” (ms. 122—123)
N. Madasamy (Verified Reader) –