Riwayat Ungku Aziz adalah memoir sosok Profesor Diraja nukilan Asmah Haji Omar, berdasarkan temu bual dan pengalaman berkhidmat di Universiti Malaya sewaktu Ungku Aziz menjadi Naib Cancelor. Profesor Diraja Ungku Aziz (selepas ini disebut Ungku Aziz) merupakan seorang tokoh akademik yang ternama yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah ada beberapa karya yang menceritakan riwayat hidupnya. Dengan itu, buku Riwayat Ungku Aziz ini hendaklah dilihat sebagai tambahan kepada penulisan tentang Ungku Aziz yang sedia ada, dan bukan sebagai saingan.
Sesuatu hasil penulisan seperti ini tidak dapat menceritakan keseluruhan hidup seseorang tokoh, kerana hasil karya berkenaan sekadar dipengaruhi oleh kemampuan penulisnya. Lagi pula, apabila seseorang pengarang menulis riwayat seperti ini, dia melihat tokoh yang menjadi tajuk penulisannya itu dari sudut pandangannya sendiri yang berbeza daripada sudut pandangan orang lain.
Bahan yang menjadi kandungan buku ini sebahagiannya diambil daripada khazanah ingatan penulis sendiri dengan pengalaman begitu lama bekerja di Universiti Malaya, dan khususnya di bawah pentadbiran Ungku Aziz sebagai Naib Canselor. Khazanah ingatan ini disokong oleh buku-buku catatan harian ketika penulis menjadi Pengarah Pusat Bahasa dan Timbalan Naib Canselor (Perjawatan), Universiti Malaya. Temu duga dengan Ungku Aziz yang secara keseluruhannya mengambil masa kira-kira 12 jam dalam julat masa enam minggu adalah untuk mengesahkan butir-butir khusus, terutama sekali yang telah ditulis tentangnya. Juga dalam temu duga itu, penulis memperoleh gambaran yang jelas tentang salasilahnya. Oleh sebab Ungku Aziz adalah keturunan keluarga diraja yang memerintah Johor yang dapat disusurgalurkan ke abad ke-17, maka rujukan dibuat kepada buku-buku sejarah dan hikayat serta syair yang menceritakan proses sejarah yang berlaku di Alam Melayu, terutama sekali di kawasan yang diperintah oleh kerajaan Johor Riau-Lingga-Pahang.
Riwayat ini adalah riwayat Profesor Diraja Ungku Aziz. Oleh kerana nama Ungku Aziz sebati dengan Universiti Malaya, maka tidak dapat tidak, cerita berkenaan dengan beliau dalam buku ini sebahagian besar tertumpu pada khidmat yang diberinya dalam membina dan membangunkan universiti berkenaan. Oleh sebab itu, tidak ada tokoh lain yang dibincangkan secara khusus dalam buku ini kecuali jika mereka mempunyai peranan tertentu yang dapat menyerlahkan lagi program-program yang diusahakan oleh Profesor Ungku Aziz.
Satu lagi pembatasan yang ingin penulis nyatakan di sini ialah kandungan buku ini yang berkaitan dengan Universiti Malaya hanya meliputi hal-hal akademik serta pengurusan pada amnya. Kehidupan mahasiswa dan kegiatan mereka digambarkan hanya dalam konteks perbincangan tentang cara Ungku Aziz menyelesaikan isu dan masalah yang dibawa oleh mereka. Hal ehwal penuntut merupakan bidang yang memerlukan perbincangan yang tersendiri yang hanya boleh diberi oleh pegawai-pegawai universiti yang lebih banyak berurusan dalam bidang ini.
Profesor Ungku Aziz seorang tokoh ekonomi yang terkenal, sedangkan bidang penulis ialah bahasa, tegasnya linguistik. Oleh kerana itu, penulis tidak berkemampuan memberi huraian tentang idea dan karya-karya beliau yang sudah menjadi rujukan asas dalam memahami kemiskinan bandar dan luar bandar, bahkan yang sudah mempengaruhi dasar-dasar negara dalam mempertingkatkan taraf hidup rakyat. Diharap Ungku Aziz dan pembaca dapat memaafkan penulis jika penulis memberi huraian yang panjang lebar tentang hal-hal yang berkenaan dengan bahasa, kerana itu sahajalah yang termampu oleh penulis.
Reviews
There are no reviews yet