Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi menghimpunkan makalah-makalah berkenaan para inteligensia khasnya dari sudut gagasan pemikiran yang mereka bawa menerusi pertemuan dan perkenalan beliau dengan mahaguru, sasterawan dan budayawan untuk menginspirasi pembaca mengenali kelompok ini dengan lebih lanjut. Hal ini agar termaklum bahawa golongan intelektual/inteligensia adalah kelompok yang penting dalam setiap masyarakat kerana mereka menjadi obor pencerahan, pengaju keadilan dan penyeru kepada perubahan dan kemajuan. Masyarakat yang terkebelakang mungkin dapat memecahkan belenggu masalah sekiranya ia memiliki kelompok intelektual berfungsi, yang tentunya didukungi oleh kepimpinan negara yang bervisi dan beretika.
Para inteligensia kita seharusnya memikul tugas kemanusiaan dengan berfungsi sebagai peninjau idea dan penggerak menyanggah autoriti kuku besi dan salah guna kuasa, serta mengungkap gagasan idealisme pembaharuan yang boleh diterokai dalam masyarakatnya, dengan menyemai pemikiran kritis dan kreatif yang penting dalam menyuguhkan budaya berfikir. Mentelah lagi, di saat-saat ketaksuban idea dan rasa defensive apabila identiti agama/budaya kita dipalitkan dengan penjenayahan keganasan dan rasisme, adalah menjadi kewajiban di kalangan para inteligensia: (a) memperbetulkan prejudis manusia yang senang mencari kambing hitam sebagai sasaran kebenciannya; (b) mengafirmasi moral restraint dalam keadaan saling tuduh dan saling berdendam; dan (c) menepis segala bentuk dogmatisme yang datang menjelma dalam berbagai aliran pemikiran baik agama, kebudayaan, politik dan sebagainya.
Reviews
There are no reviews yet