Sejarah Melayu (Karya Alternatif Sejarah Peradaban Melayu di Nusantara) menyajikan sejarah bangsa dan salasilah Kesultanan Melayu secara komprehensif bersumberkan hikayat lama yang tersohor dan diyakini seperti Sulalatus Salatin (Tun Sri Lanang) dan Tuhfat al-Nafis (Raja Ali Haji), kerja-kerja penyelidikan lapangan serta wawancara dengan tokoh berwibawa. Menerusi karya ini, penulis memberikan sebuah pandangan alternatif tentang sejarah peradaban Melayu di Nusantara. Buku ini memperlihatkan susur-galur Kesultanan Melayu yang dikatakan bermula dari Bukit Siguntang Mahameru dan kemudian tersebar luas keturunannya hingga Tanah Semenanjung, Kepulauan Riau dan Wilayah Riau serta kawasan lain di Alam Melayu. Malah, masing-masing mampu membangunkan negeri dan empayar besar sambil mengukuhkan warisan raja-raja Melayu hingga hari ini.
Budayawan Melayu terkenal, Bapak Tenas Effendy dalam kata pengantarnya di halaman awal buku ini menyebut: “Buku ini menempatkan diri dengan arif dan bijaksana dalam mengambil sikap terhadap pandangan-pandangan dominan dalam sejarah Kesultanan Melayu […]. Penulis buku ini mengambil jalan tengah sebagai ‘pendamai’ dan ‘penyejuk’ kelompok-kelompok yang pernah bersaing dalam gelanggang politik Kesultanan Melayu pada masa lalu. Sikap ini mencerminkan kearifan penulis dalam memilih dan memisahkan dengan teliti bahan-bahan yang telah dihimpunkannya.” Perjuangan dan penentangan bangsa Melayu terhadap penjajah seperti yang dilakukan oleh Laksamana Hang Nadim dan Raja Haji Fisabilillah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sifat berani dan sanggup mengorbankan nyawa sendiri demi membela kedaulatan, maruah dan martabat bangsanya. Begitu juga dengan kaum cendekiawan Islam di Pulau Penyengat yang menentang Belanda melalui gagasan pemikiran yang bernas dan jernih sambil melangsungkan hubungan diplomasi dengan bangsa-bangsa maju pada zaman itu, iaitu Turki dan Jepun. Hal ini juga menampilkan sisi bangsa Melayu yang memilih jalan cerdas dalam memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan negerinya.
Buku ini mampu memperkaya sumber khazanah peradaban Nusantara serta sejarah bangsa dan Kesultanan Melayu selain dapat dijadikan rujukan bagi semua peringkat umur pembaca dan peminat sejarah ketamadunan dunia Melayu. Sejarah mencatat, perjalanan bangsa Melayu dalam ehwal berkerajaan, bermula dari Bukit Siguntang sampai ke kawasan Tanah Semenanjung, Provinsi Kepulauan Riau dan Provinsi Riau serta kawasan lain, telah membuktikan bahawa bangsa ini bangsa yang mapan dan pintar di tengah terpaan kekuatan bangsa lain yang ingin menguasainya. Perlawanan bersenjata yang dilakukan pasukan Melayu dalam melawan bangsa penjajah pada masa silam, seperti Laksamana Hang Nadim dan Raja Haji (Fisabilillah) salah satu bukti bahawa bangsa ini berani mati demi membela kedaulatan, darjat, martabat, tuah dan maruahnya. Demikian pula dengan munculnya kaum cendekiawan Islam di Pulau Penyengat yang mewujudkan penentangan dan perlawanan terhadap penjajahan Belanda melalui pemikiran yang bernas dan jernih. Diikuti pula dengan keunggulan mereka menjalin hubungan diplomasi dengan bangsa yang maju pada masa itu, seperti Turki dan Jepun, menjadi bukti nyata bahawa bangsa Melayu juga memilih jalan cerdas dalam memperjuangkan kedaulatan negerinya.
Dari sisi lain, buku ini menempatkan diri dengan arif dan bijaksana dalam mengambil sikap terhadap dominasi pandangan dalam sejarah Kesultanan Melayu yang meliputi Riau, Lingga, Johor, Pahang dan seluruh daerah taklukannya. Sebagaimana yang kita ketahui, sumber yang ditulis Raja Ali Haji, seperti Tuhfat al-Nafis, lebih mengedepankan watak Bugis dalam perjalanan sejarah Melayu di kawasan ini. Dengan mengemukakan data dan fakta daripada sumber lain, seperti Hikayat Siak, dengan adil penulis buku ini ingin menampilkan pandangan objektif perjalanan sejarah bangsa Melayu.
Reviews
There are no reviews yet