Radikalisme Melayu Perak 1945-1970 melihat sejauh mana kebangkitan rakyat, pemikiran, sumbangan dan pengorbanan golongan radikal Melayu dalam arus perdana menentang penjajah British di Tanah Melayu. Perjuangan menuntut pembebasan total telah dimulakan oleh anak-anak muda Perak, yang bersemangat kental tanpa menghiraukan nasib yang akan menimpa diri sendiri. Mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pengalaman dipenjara dan ditohmah bangsa sendiri. Malah penulisan sejarah ini turut memperlihatkan gerak kerja yang mereka lakukan dalam berhadapan dengan pihak penjajah British serta pendukung-pendukungnya. Namun berbekalkan keyakinan dan kekuatan semangat demi menentang penjajah Barat, membela maruah bangsa dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, mereka harungi juga liku-liku perjuangan tersebut.
Istilah radikal dipilih untuk memberikan pengertian sebenar persoalan sejarah politik Melayu golongan berhaluan kiri di Tanah Melayu khususnya. Radikal merupakan satu pendekatan antara puluhan pendekatan politik, yang dipilih oleh segolongan orang Melayu untuk menyuarakan rasa tidak setuju dalam memenuhi tuntutan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Pendekatan yang dipilih ini tidak sekata dengan pihak penjajah British, menyebabkan mereka dilabelkan sebagai golongan yang berhaluan kiri. Lantaran itu buku ini cuba menyingkap catatan sejarah yang pernah dilalui golongan ini. Hakikat bahawa apakah mereka benar-benar kiri atau radikal ataupun pendekatan yang mereka gunakan, telah ternyata berjaya menggugat kedudukan kondusif pihak penjajah British. Lantaran itu membuatkan mereka dihukum dengan satu istilah yang terlalu keras. Pelabelan ini bertujuan untuk menjauhkan sokongan masyarakat Melayu terhadap golongan yang mengajak bangsa Melayu bangkit menentang penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Pengarang mengupas faktor-faktor yang mempengaruhi pergerakan radikalisme Melayu Perak serta sejauh mana pemikiran, sumbangan dan pengorbanan mereka telah menjadi pemangkin gerakan radikalisme Melayu di seluruh Tanah Melayu. Buku ini turut mengkaji bagaimana terbentuknya aliran pemikiran radikalisme Melayu, di samping memaparkan kerjasama politik pelbagai kaum yang dirintis oleh mereka. Bagi membuktikan peranan golongan ini, rujukan dilakukan terhadap dokumen-dokumen rasmi dan tidak rasmi. Malah rujukan kepustakaan turut dilakukan bagi memantapkan hasil penulisan buku ini. Dalam usaha menyiapkan karya ini kadang-kadang penulis terpaksa berhadapan dengan keterbatasan maklumat lantaran beberapa dokumen rasmi masih belum boleh ditatap oleh masyarakat umum walaupun usianya sudah melepasi 25 tahun. Hal yang demikian terjadi ada kaitan dengan sejarah politik dan keselamatan Tanah Melayu. Justeru pengarang terpaksa menggunakan maklumat daripada laporan akhbar dan sumber lisan tokoh-tokoh radikal yang masih hidup untuk menyokong dan melengkapkan penulisan ini.
Hakikatnya melalui buku ini, kita dapati sumbangan dan pengorbanan mereka yang bergelar radikal amat penting dan mampu menggugat kedudukan penjajah British. Walaupun idea dan saranan mereka pada awalnya ditolak tetapi kemudiannya diterima pakai, seterusnya kebangkitan rakyat dipaparkan. Lantaran mengungkapkan kisah di sebalik sejarah Malaysia yang diketahui umum. Tanpa kekuatan dan tekanan mereka belum tentu Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Sharul Hafiz Zam Zam (Verified Reader) –