Al-Raniyriy₀: Tentang Asal Mula dan Tabii Segala bertujuan menghakiskan sedikit-sebanyaknya pandangan dan kepercayaan bahawasanya bahasa Melayu tidak pernah mengandungi sains. Manuskrip yang dibicarakan mengandungi sains biologi dan sains fizik (termasuk astronomi, kosmologi, kosmogoni dan kosmogenesis) dan ditulis dalam pertengahan separuh pertama abad ke-17 M. Buku ditujukan kepada para guru dan pensyarah sains (terutamanya biologi dan fizik), pengajian Melayu dan orang awam amnya terutamanya peminat sejarah tamadun Malayonesia berbahasa Melayu Istimewanya buku ini ialah buat pertama kalinya pembaca berpeluang mentelaah, menikmati atau menyaksi sendiri dengan konkrit dan eksplisitnya akan tahap bahasa Melayu abad ke-17 sebagai bahasa sains dan sains yang dibicarakan sebahagiannya mendahului yang dibicarakan di Eropah kemudiannya. Malah ada unsur sainsnya yang berpotensi dikontemporerkan. Lebih istimewa lagi kerana sarjana yang membicarakan sains biologi dan fizik ini ialah bukan seorang yang ber-ADN/DNA Melayu tetapi seorang sarjana ulama yang berasal dari Gujerat, India dan berhijrah ke Aceh dan Pahang hanya untuk sekitar 10 tahun sahaja. Kebolehannya berkarya dalam Bahasa Melayu membuktikan bahasa Melayu bertaraf bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu pada abad ke-17 M.
Dalam bahagian awal manuskrip ini diceritakan latar belakang penulis dan sebab-sebabnya tulisan dilakukan, iaitu atas titah Raja Aceh pada abad ke-17 M, Sultdan Iskandar Thaniy, atau Sultan Iskandar Thani. Ternyata manuskrip ini berupa bab pertama daripada karya agung Al-Raniyriy₀ (al-Raniri), Bustan al-Salatdin (versi transliterasi lainnya: Bustan al-Salatin, Bustanus Salatin, Bustan u’s-Salatin) walaupun salinan manuskrip ini mengandungi banyak ayat yang tidak sama dengan yang dalam karya agungnya itu, kerana manuskrip ini berupa hasil sentuhan penyalinnya di Kelantan al-Khatd ‘Abd al-Rahman itu. Manuskrip ini semacam terjemahan bebas kepada beberapa buah buku/sumber yang tidak dinyatakan dengan jelasnya (mengikut piawai rujukan sekarang) kecuali disebut nama penulisnya sahaja seperti Ibn ‘Abbas, Ka‘ab Wahdab bin Muhabbaht, Dhuhak, Kalbiy, Waqdiy dan Hasan al-Bashriy₀. Pada akhir manuskrip ada dinyatakan siapnya karya beliau dalam bahasa Jawi, “tarjamah kitab bilisani al-jawiy almusammiy Bad’u Khalaq al-Samaawaati wa al-Ardh” pada tahun 1047 H. Perkataan “tarjamah” di sini bukanlah bermakna terjemah sekarang tetapi bermakna tulisan adaptasi dan “bahasa Jawi” bermaksud bahasa Melayu sekarang.
Tulisannya ada beberapa fasal seperti berikut: fasal pada menyatakankan peri kejadian Lawuh Mahfuz; fasal pada menyatakan peri kejadian Qalam; fasal pada menyatakan peri kejadian ‘Arsy; fasal pada menyatakan peri kejadian ‘Arsy Kursiy₀; fasal pada menyatakan peri kejadian Lwa’ al-Hamd; fasal pada menyatakan peri kejadian malaikat; peri kejadian jin, syaitan dan iblis walaupun “fasal pada menyatakan kejadian jin” ada pula di halaman lain; fasal pada menyatakan kejadian Sidraht al-Muntahday₀; fasal pada menyatakan peri kejadian tujuh patala langit; fasal pada menyatakan peri kejadian syurga; fasal pada menyatakan peri kejadian Hur al-‘Aiyn; fasal pada menyatakan peri kejadian Bayt al-Ma’mur; fasal pada menyatakan peri kejadian matahari dan bulan dan bintang; fasal pada menyatakan peri kejadian sa-hdu dan tahi bintang; fasal pada menyatakan peri kejadian tujuh patala bumi; fasal pada menyatakan peri kejadian Ka’abaht Al-Lah; fasal pada menyatakan peri kejadian yang menanggung tujuh patala bumi; fasal pada menyatakan peri kejadian neraka; fasal pada menyatakan peri Kurrah/Kurwuh/Kurruwh bumi; fasal pada menyatakan bilangan segala laut dan bumi; fasal pada menyatakan peri kejadian segala aqlim dan segala yang mengdiam dia; dan akhirnya pengelasan makhluk.
Reviews
There are no reviews yet