Sejarah Adat Perpatih Seri Menanti merupakan sebuah rujukan penting dalam memahami sejarah dan amalan Adat Perpatih secara mendalam, selain mengajukan semula sejarah lama Seri Menanti yang semakin jarang diperkatakan. sejarah sebenar adat di Seri Menanti perlu ditinjau secara mendalam dan yang sebenarnya adat di Seri Menanti bermula bila datangnya Yamtuan Lenggang yang membina telapaknya di Buyau Seri Menanti. Ketibaan Yamtuan Lenggang adalah dalam jumlah yang begitu ramai dan baginda telah membawa seluruh rakyatnya di 50 Koto untuk datang dan membuat adat di Buyau, Seri Menanti. Mana-mana yang tidak bersuku lalu diberi masuk suku yang sepatutnya. Masuk suku secara paksa rela. Orang asal pula terpaksa disukukan jika mahu terus tinggal di Seri Menanti dan mana-mana yang tidak mahu disukukan akan berpindah ke Kampung Parit Seberang yang berdekatan dengan telapak Dato’ Penghulu Bongkok, Penghulu Ulu Muar yang ke-7.
Ketika ini perhubungan orang asal dengan orang Minangkabau tidak berapa baik dan terdapat usaha-usaha hendak berbaik-baik pada zaman Yamtuan Hitam. Akan tetapi orang asal ramai yang mahu keluar dari Seri Menanti dan terus sampai ke Kuala Pilah untuk membina penempatan baharu. Mereka juga ada penempatan asal di sepanjang sungai Muar di Kuala Pilah, iaitu berdekatan dengan Balai Polis Lama Kuala Pilah. Di situ dipanggil sebagai Pekan Lama Kuala Pilah. Pihak yang ramai duduk di situ adalah suku Batu Hampar asal iaitu orang asal Negeri Sembilan. Di sepanjang sungai Muar berdekatan dengan Masjid lama Kuala Pilah telah berlaku perniagaan jual beli barang pada skala yang besar. Perhubungan dagang ini begitu meluas termasuk ke luak-luak yang lain dan juga sampai ke Pahang, Perak, Selangor, Johor dan juga Melaka.
Negeri Sembilan mempunyai sejarah yang menarik dan unik. Dari aspek kebudayaan dan politik, Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih. Keunikannya terletak pada namanya kerana dinamakan dengan angka dan berbeza dengan negeri-negeri yang lain. Di Semenanjung Malaysia, Adat Perpatih hanya diamalkan di Negeri Sembilan, Naning Melaka dan penduduk Minangkabau di Kampung Lukut, Kota Tinggi Johor. Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan adalah berpunca daripada kedatangan orang Minangkabau dari Sumatera sejak ratusan tahun dahulu. Adat Perpatih berasaskan kepada “matrilineal” dan dipercayai berasal dari adat Bodi-Caniago yang diamalkan di Minangkabau Sumatera. Mereka datang membawa bersama adat dan kebudayaan asal mereka dan dalam masa yang sama penduduk asal Negeri Sembilan iaitu orang Jakun menerima adat dan budaya baharu tersebut.
Bagaimanapun, Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di tanah Minangkabau, Sumatera. Ini kerana telah berlaku penyesuaian Adat Perpatih dengan amalan dan adat orang asli yang mengamalkan adat tempatan atau disebut Adat Benar. Adat Perpatih telah membawa banyak perubahan dan pembaharuan ke atas sistem sosial dan politik di Negeri Sembilan. Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan bersifat menyeluruh di dalam setiap lapisan masyarakatnya di luak-luak adat. Sehingga kini Adat Perpatih memainkan peranan penting kepada sistem pentadbiran Negeri Sembilan yang merangkumi aspek pelantikan pemimpin di semua peringkat, pemilikan harta pusaka, penerapan nilai-nilai keperibadian, kekeluargaan dan kemasyarakatan yang menjadi tonggak kepada keutuhan Negeri Sembilan sebagai Negeri Beradat.
Reviews
There are no reviews yet