Keluar dari Lingkaran: Mobiliti Sosial Komuniti Pesisir

NOR HAYATI SA’AT ialah pensyarah kanan dalam bidang sosiologi pembangunan di Universiti Malaysia Terengganu, dan menjawat jawatan Profesor Madya.

DBP (Cetakan Pertama, 2023)
135 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM40.00

In stock

Keluar dari Lingkaran: Mobiliti Sosial Komuniti Pesisir membincangkan berkenaan komuniti pesisir pantai di Kuala Terengganu, yang didapati masih terdiri daripada kaum nelayan yang sering digambarkan sebagai komuniti terpinggir, mundur serta tertinggal daripada arus pembangunan. Oleh itu, buku ini membahaskan persoalan sejauh mana pembangunan dan pemodenan secara langsung atau tidak langsung mencetuskan perubahan dalam kalangan anggota komuniti ini dan komuniti ini turut mengalami transformasi. Bertitik tolak daripada latar belakang keterbelakangan dan kemunduran pada satu pihak serta transformasi di pihak yang lain, buku ini dihasilkan bagi menganalisis fenomena “keluar dari lingkaran”, yakni mobiliti sosial dalam komuniti pesisir pantai, khususnya di Kuala Terengganu.

Buku ini memuatkan hasil kajian penulis dalam bidang sosiologi pembangunan dengan tumpuan pada pembangunan komuniti pesisir pantai. Oleh itu, dengan berpandukan gabungan beberapa pendekatan dan kaedah sosiologi, hasil penulisan ini menggunakan pendekatan sejarah dan perbandingan dengan memanfaatkan empat cara. Cara pertama, iaitu menggunakan maklumat sekunder dan membuat perbandingan dengan kajian-kajian sebelum ini untuk melihat perubahan dalam sejarah, khususnya kajian Raymond Firth yang menggunakan kaedah etnografi, dan Ishak Shari yang menggabungkan kaedah etnografi dan kajian. Cara kedua ialah melalui kajian komuniti dan membuat perbandingan responden di empat kawasan kajian, dengan tidak memberikan tumpuan pada satu komuniti di satu kawasan sahaja. Dengan berbuat demikian, data yang diperoleh akan lebih kaya dan pelbagai; juga dapat dibuat perbandingan tentang faktor dan proses yang berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Terdapat beberapa penemuan dalam buku ini yang menarik perhatian kita. Buku ini menghujahkan bahawa sememangnya terdapat mobiliti sosial dalam kalangan komuniti pesisir, khususnya dalam kalangan anak nelayan. Komuniti itu menjadi semakin rencam dengan kemunculan kelompok-kelompok baharu, sementara anak nelayan yang mendapat pendidikan mula berhijrah keluar mencari pekerjaan di luar sektor nelayan. Hal ini merupakan satu fenomena yang hampir sama dalam komuniti lain apabila anak-anak isi rumah yang mendapat pendidikan, khususnya pendidikan tinggi akan keluar dari komuniti itu untuk menempah nasib di tempat lain.

Namun begitu, dari aspek lain, kita menyaksikan satu hakikat bahawa golongan manusia yang membanting tulang menghasilkan makanan asas seperti nelayan dan penanam padi sehingga membolehkan seluruh masyarakat meneruskan kehidupan mereka tidak semestinya mendapat kehidupan yang sewajarnya. Bukan itu sahaja, golongan ini juga semakin kecil bilangannya disebabkan oleh minat menjadi nelayan ataupun petani semakin berkurang dan bilangan penerus juga sangat terhad. Implikasi daripada penemuan ini ialah transformasi masyarakat yang membawa kemajuan kepada sebahagian golongan masyarakat, turut membawa akibat sebaliknya, iaitu satu fenomena apabila para penghasil makanan (kaum nelayan dan penanam padi) bagi masyarakat semakin berkurang bilangannya disebabkan oleh pekerjaan itu dianggap tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan dan dipandang sebagai pekerjaan kasar, kotor dan rendah oleh orang lain. Sekiranya sistem ekonomi dan masyarakat tidak mengubah nilai dan memberikan penghargaan sewajarnya kepada golongan penghasil seperti ini dan usaha seperti penangkapan ikan dan penanaman padi tidak dimodenkan, hal ini akan membawa ancaman serius kepada kelestarian kehidupan anggota masyarakat itu sendiri.

Ringkasnya, perkara yang berlaku pada peringkat mikro seperti dalam komuniti pesisir ini tidak terlepas daripada proses pembangunan tidak seimbang yang berlangsung pada peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam usaha Malaysia menjadi negara maju dan melaksanakan pembangunan seimbang yang lestari dengan berpegang pada prinsip keadilan sosial, kawasan dan komuniti terpinggir seperti komuniti pesisir serta komuniti pedalaman perlu diberikan perhatian khusus. Keterangkuman dalam pembangunan atau pembangunan inklusif bermakna kawasan dan golongan yang terpinggir itu menjadi tumpuan dalam rancangan pembangunan dengan adanya program dan projek yang bersesuaian dengan keadaan masing-masing.

Di sinilah terletaknya kekuatan buku ini. Buku ini seharusnya menarik perhatian ahli akademik, penyelidik, pembuat dan pelaksana dasar serta pihak lain untuk memahami satu proses bersejarah yang membawa perubahan besar terhadap masyarakat negara kita dalam beberapa dasawarsa ini, khususnya yang berlaku dalam kalangan komuniti pesisir serta memikirkan cara dan dasar yang sesuai bagi menangani implikasi kepada kehidupan manusia kini dan akan datang hasil daripada perubahan tersebut.

Kata Pengantar
Prakata
Senarai Singkatan

1. PERUBAHAN DAN TRANSFORMASI SOSIAL
Latar Belakang
Persoalan Berkaitan dengan Kemiskinan dan Mobiliti Sosial
Perspektif Teori dan Model Mobiliti Sosial

2. MOBILITI SOSIAL KOMUNITI PESISIR: ISU DAN PERSOALAN
Konsep Kemiskinan
Ungkapan “Putaran Ganas Kemiskinan”
Perubahan Stratifikasi Sosial dan Mobiliti Sosial
Pembangunan dan Transformasi Sosial
Konsep Mobiliti Sosial
Penyumbang Mobiliti Sosial
Kesimpulan

3. KOMUNITI, KOMUNITI PESISIR DAN MOBILITI SOSIAL
Perkembangan Konsep Komuniti
Jenis Komuniti
Komuniti Pesisir Pantai dan Mobiliti Sosial di Malaysia
Komuniti Pesisir Pantai dan Mobiliti Sosial di Luar Malaysia
Persoalan Mobiliti Sosial
Modal Manusia, Modal Sosial dan Faktor Struktural
Kesimpulan

4. KOMUNITI PESISIR DI KUALA TERENGGANU
Latar Belakang Kawasan Komuniti Pesisir
Kehidupan Sosiobudaya Keluarga Komuniti Pesisir
Kategori Pekerjaan dan Sektor Perkhidmatan
Komuniti Pesisir dan Kepelbagaian Pekerjaan
Pendapatan Bulanan Ketua Keluarga dan Keupayaan Menabung
Pemilikan Aset
Ruang Sosial dan Interaksi Komuniti
Kesimpulan

5. MOBILITI SOSIAL KOMUNITI PESISIR
Mobiliti Antara Generasi
Mobiliti dalam Satu Generasi
Dimensi Ukuran Objektif
Dimensi Ukuran Subjektif
Kesimpulan

6. MENDEPANI CABARAN PERUBAHAN
Pola Proses Mobiliti Sosial “Keluar dari Lingkaran” Kemiskinan
Perspektif Teori dan Analisis Berbilang Faktor
Pembangunan, Mobiliti Sosial dan Peranan Kerajaan

Bibliografi
Indeks

Weight0.215 kg
Dimensions22.9 × 15.2 × 0.7 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.