Sejarah Selangor 1766-1939 menawarkan periwayatan sejarah Selangor bermula dari penubuhan negeri pada tahun 1766 sehingga tahun 1939 yang disimpulkan sebagai pengakhiran zaman praperang. Sejarah ini merangkumi sudut kehidupan di Selangor yang rencam antaranya pemerintahan negeri Melayu, pergelutan kuasa yang tercetus, kegiatan perlombongan, pertanian dan perladangan, perang saudara Selangor, campur tangan penjajah British, kemajuan negeri serta pelbagai lagi. Bab-bab akhir buku ini membincangkan masa hadapan kerajaan Melayu dan kedudukan Selangor dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum terbentuknya gagasan Persekutuan Tanah Melayu.
Gullick menjudulkan buku ini sebagai “A History of Selangor” atau “Suatu Sejarah Selangor”, bukannya “The History of Selangor” atau “Sejarah Selangor“; sebabnya terdapat beberapa jalur pendekatan berbeza mengenai pokok perbicaraan ini yang terhasil daripada pandangan yang berbeza dalam kalangan sejarawan tentang sisi dan tajuk mana yang paling penting. Terdapat banyak penulisan penting dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang dihasilkan sepanjang abad ke-19 sehingga 20 dan kebanyakannya bermutu tinggi. Penulisan buku ini turut berkait dengan karangan terdahulu sama ada berkisarkan sejarah Selangor atau tajuk-tajuk berkaitan, seperti kekuasaan Bugis atau pertalian antara Selangor sebagai satu kerajaan mandiri dan British (sebelum penjajahan).
Umumnya, sekian kajian itu menekankan hal ehwal pemerintahan, pergelutan kuasa yang tercetus, hubungan perdagangan antara pedagang dari Negeri-negeri Selat, Cina dan Eropah, kawasan yang mengeluarkan sejumlah besar timah dengan modal pinjaman Negeri-negeri Selat, juga sekitar peristiwa yang membuka jalan campurtangan langsung British pada tahun 1874. Dalam penggarapan buku ini terutamanya pada setiap awal bab, penulis beberapa kali mengulas dan mengiktiraf sumbangan kajian serta karangan terdahulu sekitar tajuk berkaitan. Kajian dalam buku ini berhasrat memperluas sudut pandang sedia ada.
Pertamanya, terdapat catatan tentang usaha diam-diam golongan pendatang untuk menjadikan Selangor sebagai kampung halaman mereka serta mengembangkan kehidupan dalam bidang pertanian dan, pada takat tertentu, dalam bidang perdagangan dan perlombongan. Dengan cara ini beberapa kelompok masyarakat baru mula bertapak di kawasan luar bandar Selangor yang dahulunya terlalu sedikit dihuni. Ia adalah kisah pencapaian golongan bawahan yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan Selangor. Kedua, sejarah yang terkandung dalam buku ini merangkumi sejarah Selangor hingga tahun 1939. Tarikh ini telah dipilih sebagai tarikh tamat zaman praperang. Selepas tahun itu, berlaku perang dan juga pendudukan Jepun (1942-1945) yang mengganggu “sejarah” zaman lampau yang tidak terakam dan “zaman moden.”
Reviews
There are no reviews yet