Hamzah dalam Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Jawi membahathkan perihal huruf Hamzah (ء), satu huruf istimewa dalam tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi. Permasalahan yang cuba dirungkai oleh penulis meenrusi risalah ini adalah berkenaan huruf Hamzah selepas sistem ejaan Jawi “disempurnakan” dan diberi gelar Jawi Baru. Menurut penulis, khususnya dalam perihal perkataan yang mempunyai huruf Hamzah, terdapat kejanggalan yang amat perlu diperhati, dengan sebenar-benar perhati! “Kesempurnaan” Jawi yang ingin dikedepankan oleh Jawi Baru menetapkan bahawa terdapat tiga jenis Hamzah sahaja, iaitulah: i. Hamzah tunggal (ء); ii. Hamzah di atas Alif (أ); dan iii. Hamzah di atas Yā’ tidak bertitik (ئ) yang dilambangkan untuk Hamzah di tengah-tengah perkataan bersambung, seperti ديئت (diet).
Walau bagaimanapun, terdapat suatu hal yang amat menghairankan ialah apabila ini telah menghasilkan bentuk persuratan Jawi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Menurut cara fikir Jawi Baru, Hamzah di atas Alif (أ) ini dipakaikan kepada semua jenis tempat yang memerlukan Hamzah, termasuklah perkataan imbuhan pada serapan bahasa ‘Arab yang asal Hamzah pada kata akarnya berada di bawah Alif (إ). Contohnya untuk perkataan إسلام, إحسان, إيمان, dan إخلاص.
Melihat gejala sebegini, penulis mengenalpasti bahawa ia berpunca daripada tiga akar permas’alahan, iaitulah: (i) Penyempitan ma’na Jawi daripada “bahasa” kepada “tulisan”, yang asalnya disebabkan oleh; (ii) Perubahan cara fikir ‘ilmu Bahasa Jawi yang menyeluruh kepada hanya sejuzu‘ ‘ilmu eja-mengeja Jawi, yang puncanya di‘aqibatkan oleh; (iii) Terputusnya daripada tradisi ke‘ilmuan sejati dan sejadi dengan akar peradabannya dan dasar pandangan ‘alamnya sendiri.
Lebih malang lagi, gejala dan akar-punca permas’alahan ini berlaku pada pentas pendidikan arus perdana, baik di peringkat rendah, menengah dan tinggi, hingga menyebabkan berlakunya kitaran kekeliruan yang berterus-terusan. Sehingga. mana kitaran ini tidak dirungkai daripada akar permas’alahannya itu, sehingga itulah perbahathan Jawi gagal diperhatikan dengan sebenar-benar haqiqatnya. Jika sesuatu itu tidak diperhatikan sebenar-benar haqiqatnya, maka sempit dan ceteklah kefahaman, kesimpulan dan ke’ilmuan seseorang tentangnya.
Reviews
There are no reviews yet