Main Puteri: Monodrama merupakan sebuah dokumentasi sejarah yang memerihalkan seni tradisional main puteri yang sohor dalam kalangan masyarakat Melayu di Terengganu, Kelantan dan Selatan Thailand. Main Puteri merupakan sebuah persembahan yang menampilkan seorang pelakon yang beraksi di atas pentas. Seorang pelakon berperanan sebagai hero atau heroin yang menguasai keseluruhan pentas persembahan dan beraksi di hadapan penonton. Persiapan kekuatan fizikal, batiniah, ketahanan mental dan emosi adalah perlu bagi seorang pelakon Main Puteri yang bergerak secara tunggal di atas pentas dan bersiap sedia terhadap keberangkalian sesuatu gerak balas sama ada dari alam nyata atau alam ghaib dalam persembahan. Kemampuan seorang pelakon dilihat daripada sifat bertanggungjawab terhadap pelbagai watak dan melakonkan watak mengikut kesesuaian corak cerita dengan iringan bunyian muzik tradisional dalam persembahan Main Puteri. Pelakon akan membawa dirinya dari dunia realiti ke alam ghaib bagi menguasai watak yang akan dimainkan.
Seorang pelakon yang berada dalam situasi menurun lupa situasi sebenar dan menyelami diri untuk mengamati cara bagaimana watak berfikir, berperilakuan dan berperasaan. Penghayatan seorang pelakon dalam pembawaan karakter cerita dilakukan sambil melakonkan persembahan lakonan secara spontan dengan pelbagai aksi, pergerakan, tarian dan nyanyian. Bakat dan kebolehan semula jadi seorang pelakon yang berkeupayaan mengingat skrip cerita pendek atau skrip cerita panjang di atas sebuah pentas lakonan adalah sangat berkesan bagi menghidupkan suasana harmoni. Keistimewaan Main Puteri dapat dilihat berdasarkan setiap pergerakan dan aksi watak yang dilakonkan oleh pelakon yang berkeupayaan mempengaruhi aksi peniruan watak terhadap penonton untuk turut serta dalam Main Puteri. Ini menggambarkan keberkesanan lakonan mantap seorang pelakon apabila dapat menghasut orang lain untuk terlibat dalam persembahan Main Puteri. Pada akhirnya, Main Puteri memenuhi keinginan dan kepuasan serta memulihkan semangat sambil menghiburkan masyarakat penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahan Main Puteri.
Reviews
There are no reviews yet