Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin (نصيحة المسلمين وتذکرة المومنين): Kitab Pembakar Semangat Jihad Menentang Penjajah di Alam Melayu merupakan kerja transliterasi dan terjemahan bagi dua manuskrip karangan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani iaitu Naskhah MSS 3770 (Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia) dan Naskah A 209 (Koleksi Perpustakaan Nasional Republik Indonesia). Kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin dikarang oleh Syeikh Abdul Samad di Mekah pada 25 Jamadil Awwal 1186 Hijrah bersamaan 23 Ogos 1772 Masihi. Kedua-dua kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin sama ada versi bahasa Arab atau bahasa Melayu dikarang bagi tujuan menyemarakkan semangat jihad di kalangan umat Islam terutama di Alam Melayu. Pada ketika ini, Syeikh Abdul Samad yang berada di Mekah mendapat berita bahawa penjajah Belanda sedang giat meluaskan penguasaan mereka di Pulau Jawa. Pada ketika itu juga, perang menentang Belanda yang bermula pada tahun 1741 telah meletus. Di samping menulis kitab yang bertujuan membakar semangat jihad umat Islam di Alam Melayu, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga menulis surat-surat kepada pemimpin di Tanah Jawa antaranya Sultan Hamangkubuwana I, Pangeran Adipati Mangkunegara dan Susuhunan Surakarta supaya para pemimpin ini bangun memimpin perang jihad menentang Belanda.
Kitab-kitab jihad karang Syeikh Abdul Samad al-Falimbani kemudiannya disebarkan ke Alam Melayu untuk membangkitkan semangat jihad di kalangan umat Islam supaya bangun menentang penjajah. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga diyakini membawa dan mengajarkan kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin dalam perang-perang jihad yang disertainya iaitu dalam perang Pattani menentang Siam yang bermula sekitar tahun 1785 dan perang Kedah menentang Siam pada tahun 1838. Sebelum Syeikh Abdul Samad al-Falimbani menyertai perang Kedah-Siam pada tahun 1838, beliau telah sampai ke Kedah atau Pulau Pinang beberapa tahun sebelum itu. Oleh itu diyakini bahawa beliau telah membawa sekali kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin bersamanya. Hal ini kerana sebuah kitab pembakar semangat jihad yang diberi judul Hikayat Kisah Nafsiah telah ditulis di Aceh pada tahun 1834 di mana kitab ini dikarang sejurus setelah kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin dibawa ke Aceh. Hikayat Kisah Nafsiah telah dikarang dengan merujuk dan menyadur kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin.
Di samping itu, kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin turut menjadi kitab pembakar semangat jihad bagi Sultan Palembang dan para mujahid yang berperang di bawah pimpinannya iaitu dalam perang Menteng yang tercetus dari tahun 1819 hingga 1821. Hal ini kerana Sultan dan para mujahid Palembang merupakan anak anak murid Syeikh Abdul Samad al-Falimbani. Seterusnya, kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin menjadi inspirasi dalam terhasilnya karya-karya pembakar semangat jihad dalam perang Aceh-Belanda yang bermula pada tahun 1873 hingga tahun 1913. Ulama-ulama Aceh yang terlibat dalam perang jihad tersebut berasa sangat mustahak untuk dihasilkan kitab-kitab yang mampu membangkitkan semangat rakyat Aceh agar bangun menentang penjajahan Belanda. Dengan itu, para ulama Aceh telah merujuk kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin. Maka terhasillah kitab-kitab pembakar semangat jihad di Aceh seperti Hikayat Perang Sabil karangan Tengku Chik Pante Kulu dan Nasihat Bagi Orang yang Terlibat dalam Perang karangan Tengku Ahmad Cot Palue. Maka tidak syak lagi bahawa pengaruh kitab Nasihat al-Muslimin wa Tazkirat al-Mukminin sangat besar dalam menghasilkan kitab-kitab pembakar semangat jihad di Aceh.
Reviews
There are no reviews yet