Dialektologi Bahasa Peribumi menghimpunkan artikel tentang bahasa dan budaya masyarakat peribumi di Malaysia, khususnya orang asli serta suku kaum di Sabah dan Sarawak bagi mendokumentasikan dan melestarikan aspek-aspek bahasa seperti fonologi dan leksikal serta sejarah latar belakang masyarakatnya. Seperti tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar mengalami kepupusan, sesetengah bahasa juga mengalami masalah kepupusan. Bahasa yang diancam kepupusan adalah kerana tidak ada orang lagi yang bertutur dalam bahasa berkenaan atau orang tersebut berpindah menggunakan bahasa lain disebabkan oleh arus globalisasi dan mengabaikan bahasa asalnya. Akhirnya, bahasa berkenaan akan pupus. Proses kepupusan sesuatu bahasa akan berlaku selepas sesuatu bahasa itu hanya dituturkan oleh beberapa orang yang sudah lanjut usia. Generasi baharu tidak mempelajari dan mewarisi bahasa kaumnya lagi. Mereka langsung tidak mempedulikannya lagi, apatah lagi mahu menggunakannya. Generasi muda ini akan memilih bahasa utama negaranya yang menjadi bahasa perhubungan luas. Bahasa itu bertaraf bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara, merangkap bahasa pendidikan kebangsaan, dan bahasa kerja yang mempunyai nilai ekonomi.
Sesuatu bahasa akan mati dengan sendiri apabila penutur jati (asli) bahasa berkenaan sudah tidak wujud lagi. Hal sedemikian rupa bertepatan dengan peribahasa Melayu, “hilang bahasa, lenyaplah bangsa”. Kematian bahasa akan menyebabkan hilangnya seluruh budaya dan cara kehidupan kaum yang menuturkannya. Bahasa yang mati tidak dapat dihidupkan kembali dan akan mati bersama-sama penuturnya. Bahasa yang mati juga akan menyebabkan tidak ada orang yang mahu mempelajarinya lagi. Apabila sesuatu bahasa mati, segala ciptaan unik manusia penuturnya akan turut lenyap. Hal int merupakan suatu tragedi yang seharusnya dielakkan. Kita tidak seharusnya membenarkan dunia ini didominasi oleh bahasa tertentu dunia. Bahasa minoriti perlu diberikan peluang untuk bernafas dan memainkan peranannya. Apabila penutur sesuatu bahasa itu tidak ada lagi, akan hilang bersama-sama bahasa itu ialah segala kata, istilah dan ungkapan yang berkaitan dengan flora dan fauna di persekitaran kehidupan penutur itu. Perkara ini banyak berlaku kepada bahasa minoriti yang dituturkan oleh kaum pinggiran di desa dan hutan rimba.
Reviews
There are no reviews yet