Budaya Popular: Wanita Melayu dan Naratif Kemodenan Global menerangkan bagaimana budaya popular global menawarkan naratif kemodenan yang bersifat pelbagai kepada wanita Melayu menerusi praktik kemahiran menonton dalam kalangan mereka yang membolehkan imej dan pemaparan kemodenan global disesuaikan dalam kehidupan seharian. Keadaan ini menepis kritikan pelbagai pihak terhadap mereka yang masih tertumpu kepada tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak perempuan yang ideal. Kemunculan teknologi penstriman Over-The Top (OTT) seperti Netflix dan iQIYI telah membawa pelbagai naratif kemodenan menerusi penggunaan budaya popular global dalam konteks Malaysia kontemporari. Selain menjadi saluran hiburan dan eskapisme, budaya popular global seringkali menjadi medan perbahasan mengenai penyertaan dan hubungan wanita Melayu dalam projek kemodenan Malaysia.
Budaya popular Korea Selatan, K-pop misalnya dianggap membawa naratif baharu dalam pembentukan identiti dan pemikiran moden yang dilihat bertentangan dengan kerangka kemodenan nasional. Penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat telah mempopularkan teknologi penstriman OTT khasnya dalam meringankan bebanan dan tanggungjawab domestik yang bertambah dalam kalangan wanita Melayu. Sebagai contoh, Series Y dari Thailand yang membawa tema homoerotik dan drama rantaian Turki yang kaya dengan elemen sejarah ketamadunan Islam menjadi popular ketika fasa pandemik. Meskipun drama rantaian Melayu tempatan masih relevan, pemaparan dan fungsi watak dan perwatakan wanita kekal dalam pengaruh konvensional.
Reviews
There are no reviews yet