Antara Dua Deru: Kumpulan Cerpen Pilihan memuatkan sebanyak 20 buah cerpen yang memaparkan pelbagai tema dan persoalan, secara tersirat dan tersuratnya, sejalur dengan gelora perjalanan sejarah tanah air. Elemen dalaman cerpen-cerpen ini merupakan rakaman kreatif persekitaran beliau yang sekali gus memancarkan citra, cita-cita dan minda sepanjang seabad perjalanan sejarah tanah air yang dilewati. Kumpulan cerpen ini merupakan perada warisan yang mengilaukan tamadun bangsa dan sekali gus menjadi mercu tanda klasik arena pencerpenan yang terakam dalam bahasa Melayu.
Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini telah pun diterbitkan sebelum ini sama ada di akhbar, majalah, jurnal, atau dalam bentuk kumpulan cerpen perseorangan atau kumpulan cerpen bersama sejak dekad 1940-an (zaman A. Rahim Kajai) hingga dekad 1990-an (zaman Zaen Kasturi dan S.M. Zakir). Setiap dekad cerpen-cerpen tersebut seakan mewakili dekadnya dengan situasi yang terjadi. Yang paling jelas ialah cerpen-cerpen yang menyuarakan perjuangan kemerdekaan, iaitu pada zaman pramerdeka. Selepas merdeka, persoalan cerpen ditumpukan pula kepada pengisian kemerdekaan, Kemasukan bangsa asing seperti kaum Cina dan India juga memberikan sumbangan kepada perkembangan cerpen dengan persoalan berbentuk perpaduan. Apabila dunia semakin canggih dengan teknologi komputernya, persoalan dalam cerpen pun ikut terserap dengan pelbagai gejala persekitaran pengarangnya yang juga berada dalam lingkungan teknologi maklumat dan komunikasi seperti yang terlihat pada cerpen-cerpen dekad 1990-an.
Selain menjadi bacaan kreatif cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan ini boleh sahaja dijadikan bahan rujukan generasi akan datang. Karya ini tentu sahaja mampu membentuk tradisi bangsa dan mempengaruhi nilai hidup yang positif. Supaya karya tersebut terjamin dokumentasinya, maka pemilihan karya abad ke-20 ini dilaksanakan bagi mewakili abad dan peristiwanya. Dunia globalisasi dan era teknologi maklumat yang meledak pada abad ke-21 ini pasti akan dijadikan sebagai persoalan menarik dalam cerpen-cerpen abad ini pula dan seselesai abad ke-21 nanti barangkali satu lagi koleksi cerpen perlu dipilih dan diterbitkan sebagai khazanah bangsa.
Ahmad Sukri (Verified Reader) –
Antara karya2 SN Arenawati yg hebat*****