Bahasa Melayu Kreol Chetti Melaka: Deskripsi Leksiko-Fonologi menghuraikan latar belakang etnografi umum masyarakat Chetti dan persamaan leksikal dan fonologi kreol Chetti dengan dialek Melayu dan beberapa kreol Melayu lain yang terdapat di Nusantara. Huraian ini memberikan gambaran umum tentang budaya masyarakat Chetti Ini, mengenal pasti perbezaan masyarakat ini dengan masyarakat India Tamil yang lain, dan menonjolkan keistimewaan dan keunikan bahasa mereka yang memperlihatkan percampuran bahasa Melayu dengan Tamil.
Mungkin apabila disebut Chetti maka yang tergambar kepada kita ialah masyarakat Chettiar yang pada suatu masa dahulu amat terkenal dengan kegiatan meminjamkan wang. Namun begitu, masyarakat Chetti yang dimaksudkan dalam buku ini ialah masyarakat Peranakan Hindu Melaka yang disebut juga Hindu Peranakan atau Indian Babas. Bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Chetti ini ialah sejenis bahasa yang dianggap kreol dan diberi nama bahasa Melayu kreol Chetti. Kreol ialah bahasa pijin yang telah mantap penggunaannya dan mempunyai masyarakat penuturnya yang tersendiri. Pada asalnya, kreol merupakan bahasa pijin, yakni bahasa yang digunakan dalam konteks pertembungan, terutamanya di pasar atau pusat perniagaan, oleh mereka yang datang daripada latar belakang kaum atau keturunan yang berbeza.
Disebabkan bahasa masyarakat Chetti ini ialah sejenis kreol, maka bahasa ini memperlihatkan persamaan dan perbezaan dengan bahasa yang menjadi bahasa superstratum atau bahasa dominannya, yakni bahasa Melayu. Buku ini cuba memaparkan persamaan leksikal dan fonologi kreol ini dengan dialek Melayu dan beberapa kreol Melayu lain yang terdapat di Nusantara. Diharapkan agar buku ini dapat memberikan gambaran umum tentang masyarakat Chetti dan perbezaannya dengan orang India yang lain. Semoga huraian ini juga dapat menonjolkan keistimewaan dan keunikan bahasa masyarakat ini yang memperlihatkan percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Tamil. Dokumentasi sebegini juga amat bermakna memandangkan jumlah penutur bahasa ini yang semakin menyusut sehingga menyebabkan bahasa ini tergolong dalam kategori bahasa terancam.
Walaupun dari segi status bahasa masih boleh dibahaskan, Grimes melabelkan bahasa orang Chetti ini sebagai sejenis kreol, dan menamakannya bahasa Melayu kreol Chetti Melaka atau BMKC. Kreol merupakan sejenis bahasa pijin yang telah mantap penggunaannya dan mempunyai masyarakat penuturnya yang tersendiri. Pada asalnya, kreol merupakan bahasa pijin, yakni bahasa yang digunakan dalam konteks pertembungan, terutamanya di pasar atau pusat perniagaan oleh mereka yang datang daripada latar belakang kaum atau keturunan yang berbeza.
Bahasa pijin dan kreol memperlihatkan campur aduk sistem bahasa, sekurang-kurangnya dua bahasa. Apabila berlaku pertembungan bahasa, penutur bahasa yang kurang dominan (substratum) akan mencampuradukkan sistem bahasa yang lebih dominan (superstratum) dalam sistem bahasanya sendiri. Sebagai contoh, salah satu bahasa pasar d Malaysia, iaitu bahasa Melayu pasar yang berasaskan bahasa Melayu memperlihatkan campur aduk kosa kata bahasa Melayu dengan nahu bahasa Tamil. Contohnya ungkapan “Saya rumah misjid belakang juga ada” membuktikan campur aduk ini. Dalam konteks ini BMKC memperlihatkan campur aduk bahasa Melayu, bahasa Tamil, serta sedikit bahasa Inggeris dan disebabkan bahasa Melayu merupakan bahasa yang dominan, maka kreol ini diberi nama mengikut bahasa yang dominan, iaitu BMKC. Walaupun demikian, mungkin disebabkan pengaruh bahasa Melayu yang lebih banyak terhadap bahasa ini, maka BMKC dianggap tidak jauh berbeza dengan dialek Melayu yang lain, terutama dialek Melaka Tengah.
Walaupun menyamai dialek Melayu yang lain, BMKC diberikan label kreol berdasarkan dua sebab. Pertama, apabila bahasa pijin menjadi bahasa ibunda sesebuah masyarakat maka bahasa ini dikenal sebagai bahasa kreol. Kedua, berbanding dengan bahasa pijin, bahasa kreol memperlihatkan perkembangan dari segi kosa kata, nahu, gaya, dan sebagainya kerana keperluan untuk menampung fungsinya sebagai bahasa ibunda. BMKC boleh dianggap sebagai bahasa kreol kerana memenuhi kedua-dua ciri ini, iaitu mempunyai masyarakat penutur ibunda dan terdapat perkembangan dari segi linguistik bahasa ini.
Walaupun sudah mempunyai masyarakat penutur ibunda, dalam konteks pertembungan bahasa ini dengan BMS di Malaysia, BMKC dianggap sebagai bahasa yang minoriti sifatnya. Hal ini demikian kerana BMS merupakan bahasa utama yang digunakan dalam situasi rasmi lisan dan penulisan. Pertembungan dengan bahasa Melayu menyebabkan penutur bahasa ini semakin mengecil. Hal ini dibantu oleh faktor masyarakat Chetti yang berpendidikan, yang lebih selesa menggunakan BMS dan bahasa Inggeris. Menurut Moorthy, penggunaan bahasa ini hanya ketara dalam kalangan keluarga Chetti yang mempunyai generasi tua.
Kini, BMKC semakin hari semakin kurang digunakan kerana generasi muda masyarakat ini mula menggunakan bahasa Inggeris secara meluas. Sebahagian mereka pula berkahwin dengan orang India Tamil dan anakanak mereka dididik dengan menggunakan bahasa Tamil. Masyarakat ini mula mencari identiti asal mereka dan sedar bahawa mereka berketurunan India dan seharusnya menguasai bahasa Tamil. Cara yang paling baik untuk menguasai semula bahasa Tamil yang hampir pupus ialah dengan cara mengahwini lelaki atau wanita Tamil.
Reviews
There are no reviews yet