Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka: Evolusi atau Migrasi

NIK HASSAN SHUHAIMI NIK ABDUL RAHMAN adalah Profesor Emeritus, ahli arkeologi dan sejarawan ulung di Malaysia. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana (1976) dan Ph.D. (1984) di University of London. Beliau juga Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia sejak awal penubuhannya sehingga 2017. Penyelidikan beliau lebih banyak mengkhusus kepada arkeologi dan warisan Zaman Prasejarah sehingga Zaman Sejarah di alam Melayu. Selain itu, beliau juga terlibat dalam penyelidikan yang khusus kepada objek budaya dan warisan serta pelancongan yang berasaskan warisan. Beliau telah menerbitkan puluhan buah buku sama ada hasil karyanya sendiri ataupun karya suntingan. Antara buku terbitan beliau termasuk Antiquities of Bujang Valley (1990), Arkeologi, Seni dan Kerajaan Kuno di Sumatera (1992), Warisan Lembah Bujang (1992), Beruas: Kerajaan Kuno di Perak (1994), Zaman Klasik Di Nusantara: Tumpuan Kajian Di Sumatera (2008) dan banyak lagi.

Penerbit UKM (Cetakan Kedua, 2004)
55 halaman

RM20.00

Only 1 left in stock

Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka: Evolusi atau Migrasi dipersembahkan sebagai Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 3 Disember 1999, di Bilik Senat Universiti Kebangsaan Malaysia. Tinggalan arkeologi pra-Islam di beberapa kawasan di pesisir Selat Melaka mewakili setiap fasa dalam zaman pra-Islam; Mesolitik/Hoabinh, Neolitik, Gangsa, Besi dan Kerajaan awal. Setelah mengkaji tinggalan zaman Mesolitik/Hoabinh dan Neolitik, maka didapati perubahan daripada Mesolitik/Hoabinh ke Neolitik adalah akibat daripada hubungan perdagangan melalui pertukaran produk antara penduduk di beberapa pusat di pesisir dan pedalaman di Semenanjung Tanah Melayu melalui beberapa rangkaian jalan darat yang membawa kepada pertukaran idea dan barang, dan bukan kerana migrasi penutur bahasa Austronesia yang memperkenalkan “Kebudayaan Kapak/Beliung empat segi” seperti yang dikatakan oleh Heine-Geldern dan pengikutnya.

Perubahan daripada kebudayaan Neolitik kepada Gangsa dan Besi disebabkan oleh kemunculan perdagangan maritim di Selat Melaka di antara pedagang tempatan dan pedagang India, Vietnam dan pedagang dari kawasan lain di Asia Tenggara. Kelahiran kerajaan awal dikatakan oleh Quaritek-Wales dan pengikutnya kerana penghijrahan orang India yang membentuk koloni di rantau ini tetapi kajian arkeologi mendapati perubahan adalah kerana kemajuan sosioekonomi yang dicapai oleh sesetengah petempatan zaman logam yang membawa kepada penerimaan agama dan kebudayaan India oleh pembesar tempatan. Oleh hal yang demikian tidak berlaku migrasi penjajah India pada zaman protosejarah.

Penemuan inskripsi bahasa Melayu pula menunjukkan bahawa bahasa Melayu adalah Lingua franca dan bahasa perdagangan penduduk di sekitar Selat Melaka selewat-lewatnya pada abad ke-7 Masehi. Segala bukti arkeologi pra-Islam Selat Melaka menunjukkan kesinambungan dalam sejarah penduduk pesisir Selat Melaka Segala perubahan yang berlaku disebabkan oleh perdagangan. Semua tinggalan arkeologi pesisir Selat Melaka adalah milik orang Melayu dan Bumiputera lain yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Maka orang Melayu dan Bumiputera lain yang berasal-usul dan pesisir Selat Melaka pada zaman pra-Islam berketurunan daripada baka orang prasejarah dan bukan berasal dari luar pesisir Selat Melaka.

Pra-Islam merujuk kepada dua zaman yang panjang dalam sejarah manusia, iaitu zaman pratulisan atau prasejarah dan zaman kewujudan tulisan dalam skrip kuno, Pallava dan Kawi, dan dalam bahasa kuno iaitu Sanskrit dan Melayu Kuno. Kajian arkeologi terhadap zaman pra-Islam di kawasan persisiran Selat Melaka bermula sejak tahun 1840-an dan berjaya menemui pelbagai jenis tapak arkeologi.

Tapak arkeologi itu terletak di lembah sungai, tepi pantai dan pulau dalam kawasan persisir Selat Melaka, iaitu di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu dan pantai timur Sumatera. Sungai yang ada tinggalan arkeologi semuanya mengalir ke Selat Melaka. Sungai yang masih menyimpan warisan arkeologi pra-Islam Semenanjung Tanah Melayu ialah Sungai Takuapa, Sungai Merbok, Sungai Muda, Sungai Selinsing, Sungai Bernam, Sungai Kelang, Sungai Linggi dan Sungai Muar. Di Sumatera, warisan arkeologi terdapat di lembah Sungai Kota Cina, Belawan, ‘Pannei, Rokan, Kampar, Indragiri, Batang Hari dan Musi. Singapura dan Pulau Bangka juga memiliki tapak arkeologi protosejarah.

Terdapat banyak warisan arkeologi zaman pra-Islam yang menarik, namun tidak diketahui ramai kecuali di kalangan ahli arkeologi yang terlibat dengan arkeologi persisiran Selat Melaka sahaja. Ini disebabkan oleh fokus yang diberikan terhadap sejarah Melaka dan zaman selepasnya terlalu besar. Juga, kerana ada negara yang menolak langsung sejarah pra-kedatangan kuasa barat seperti Singapura yang memulakan sejarah dengan pembukaan Singapura oleh Stamford Raffles pada tahun 1819.

Penyelidikan arkeologi pesisir Selat Melaka yang bermula pada 1840-an adalah hasil aktiviti mencari harta karun oleh Kol. James Low yang melaporkan penemuan arkeologi di Lembah Bujang, Kedah. Penemuan yang dibuat oleh Low membuka tirai kepada penyelidikan arkeologi protosejarah Lembah Bujang dan berterusan sehingga hari ini. Kajian arkeologi prasejarah bermula apabila G.W. Earl menemui tapak tinggalan masyarakat Mesolitik/Hoabinh yang terletak di Seberang Prai pada 1860-an.

Penyelidikan arkeologi selama 150 tahun telah menghasilkan banyak jumpaan yang menarik yang boleh digunakan untuk pembinaan sejarah. Namun tidak ada ahli arkeologi atau sejarawan yang mengintegrasi data tersebut untuk melahirkan sejarah pesisir Selat Melaka yang lengkap. Sehingga kini, hasil penyelidikan itu wujud dalam bentuk laporan atau sejarah untuk satu-satu kawasan sahaja iaitu sejarah berbentuk serpihan.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.106 kg
Dimensions 22.5 × 15 × 0.4 cm
Edition

Format

ISBN

9789679424553

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka: Evolusi atau Migrasi”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.