Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr Ismail dan Masanya adalah biografi Tun Dr Ismail Alhaj bin Datuk Haji Abdul Rahman yang ditulis berdasarkan koleksi kertas peribadi beliau. Koleksi dokumen beliau ditemui dalam keadaan agak berselerak di rumahnya selepas beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973. Anaknya yang sulung, Tawfik, mengerti dia memikul tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan, iaitu mengumpulkan dan memelihara kertas-kertas tersebut agar dapat digunakan satu hari kelak untuk meriwayatkan kisah ayahnya, dan mengungkapkan Malaysia yang menjadi cita-citanya. Koleksi surat-surat Ismail waktu itu berada dalam simpanan seorang adik beradiknya. Lama kemudian baru Tawfik menjadi penyimpannya juga.
Kumpulan dokumen yang menjadi sandaran utama biografi ini ialah, pertama, autobiografi beliau yang tidak sempat disiapkan dan diterbitkan, berjudul “Drifting into Politics” (Beransur Menyertai Politik), yang ditulis Tun Dr Ismail selepas meletakkan jawatan kerajaan pada pertengahan 1967, dan pada tahun-tahun berikutnya ditambah dengan dua catatan sahaja; kedua, koleksi surat-surat yang disimpan sepanjang hayatnya, yang meskipun tidak lengkap, memberikan maklumat menarik tentang kehidupannya, sahabat handainya dan wataknya; dan ketiga, siri laporan yang ditulisnya antara September 1957 dengan Januari 1959 untuk tatapan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, sewaktu Ismail menjadi Duta Besar Malaya yang pertama ke Washington dan Wakil Tetap pertama ke Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Tiga kumpulan kertas peribadi tersebut merupakan “inti” koleksi beliau.
Tun Dr Ismail seorang yang tidak banyak mulut, meskipun semasa merakamkan riwayat hidupnya sendiri. Tidak banyak tokok tambah dalam karya tulisannya. Oleh itu, banyak kajian pelengkap perlu dilakukan untuk melakarkan gambaran latar bagi membantu pembaca biasa, bagi mengutip butir-butir peribadi tentang hayatnya, dan bagi mengesahkan pelbagai peristiwa yang disebutkan dalam kertas peribadinya. Banyak maklumat relevan dapat dikumpulkan daripada arkib New Straits Times Press (NSTP) Malaysia, yang menyimpan keratan akhbar tentang Tun Dr Ismail diisih ke dalam kira-kira setengah dozen folder berukuran sederhana. Kebanyakan fotograf dalam buku ini diambil dari situ, dan digunakan dengan ihsan NSTP.
Tun Dr Ismail lulus dengan ijazah perubatan daripada Queen College Universiti Melbourne, pada Jun 1945. Beliau anak Melayu yang pertama meraih kejayaan itu. Beliau tinggal di Australia enam tahun semuanya, dan kalaulah tidak kerana surat-surat yang dikirimkannya kepada keluarga antara 1940 dengan 1941, kebanyakan butir-butir daripada tempoh itu tidak akan kita ketahui. Mujurlah surat-surat tersebut masih disimpan. Sedikit maklumat tentang kehidupannya dalam tempoh itu dapat ditemui dalam minit mesyuarat Queen 5 College Sports and Social Club (QCSSC). Beberapa coretan daripadanya sempat diturunkan di sini. Banyak butir-butir peribadi yang berfaedah dapat diraih melalui wawancara penulis bersama ahli keluarga, sahabat, kenalan, rakan dan kakitangan Tun Dr Ismail.
Reviews
There are no reviews yet