Buku Katan (Kamus Melayu)

MOHAMMAD SAID HAJI SULEIMAN (b. 1876 – d. 1955) menjawat jawatan sebagai Naib Yang Dipertua Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor dan diberi gelaran Pendeta Johor atas jasa sumbangannya dalam bidang persuratan Melayu.

DBP (Edisi Baru, 2002)
721 halaman

RM75.00

In stock

Buku Katan (Kamus Melayu) diterbitkan pada tahun 1936 oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor memuatkan daftar kata yang disusun mengikut urutan abjad jawi daripada huruf (ا) hingga (ث). Setiap kata masukan diberikan etimologinya, kemudiannya diberikan makna kata dan akhirnya diberikan senarai kata terbitan. Buku ini diterbitkan semula oleh DBP agar dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan akan datang, dan amat sesuai dijadikan bahan rujukan untuk kajian.

Pakatan Belajar mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) yang ditubuhkan di Johor Baharu pada tahun 1888 dan kemudian diubah namanya kepada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (The Royal Society of Malay Literature of Johore) telah banyak memberikan sumbangan yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu di Malaysia. Dari tahun 1935 sehingga 1947, Pakatan tersebut telah berjaya mengusahakan 34 buah buku yang menyentuh aspek bahasa, sejarah, kebudayaan, riwayat sejarah Pakatan.

Antara berbagai-bagai tulisan dan penerbitan yang berdasarkan perancangan bahasa ini, yang penting ialah Buku Katan (Kamus Melayu), iaitu kamus lengkap bahasa Melayu yang terbit pada tahun 1936 dan 1937. Kamus ini mengandungi 12 penggal yang dijadikan 4 jilid dan tebalnya 1023 halaman. Pembahagian jilid tersebut adalah seperti yang berikut:

Jilid I – huruf alif hingga ta
Jilid II – huruf tha hingga sin
Jilid III – huruf syin hingga kaf
Jilid IV – huruf ga hingga nya

Perkataan-perkataan yang dimasukkan ke dalam kamus ini kebanyakannya adalah perkataan yang lazim ada dalam bahasa Melayu Johor-Riau yang dianggap sebagai bahasa yang baku pada ketika itu. Selain itu ada lagi senarai kata lain yang dimasukkan ke dalam gugusgugus katan yang disusun oleh P.Bm.P.B. juga. Jikalau dijumlahkan kesemua gugus katan ini dengan Buku Katan (Kamus Melayu) maka jumlah halaman kamus akan mencapai angka 1200 halaman.

Buku Katan (Kamus Melayu) disusun mengikut urutan abjad Jawi daripada huruf ‘alif’ (ا) hingga ‘nya’ (ث). Dalam senarai ini juga ada huruf ‘da’ (د) iaitu huruf dal yang tidak bertanda (bukan huruf ‘dal’ د). Huruf ini adalah tinggalan daripada bahasa Melayu Zaman Klasik yang pada masa itu hurufnya ialah huruf د (dal) yang mempunyai tiga titik di atas (-) sepertimana yang terdapat dalam Kamus Marsden (1812). Sekarang huruf ini tiada dalam senarai lagi. Namun demikian perkataan masukan yang pertama ialah perkataan “Allah” (alif-lam-lam-ha) dan bukan “abu” (alif-ba). Ini merupakan satu keistimewaan kerana nama Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Agung bagi agama Islam disebut yang paling awal. Terjemahan ayat al-Qur’an yang menyebut tentang nama Allah ini berserta sifat-sifatNya pun dirangkai dengan bunyi yang bersajak, iaitu:

Katakanlah Ianya Allah yang Esa,
Allah jua bagi sekaliannya bergantung meminta,
Tiada Ia beranak dan tiada diperanakkan dia,
Dan tiada menyamai akan Dia suatu pun jua.
(Surah al-Ikhlas, 1-4).

Bagi setiap kata masukan diberikan etimologinya (asal usul katanya) iaitu dengan memberikan kata-kata singkatan seperti م (mim) untuk Melayu, ج (jim) untuk Jawa, چ untuk Cina, ڤر untuk Parsi, ڤور untuk Portugis dan lain-lain, iaitu selepas satu-satu kata masukan tadi. Selepas itu baru diberikan maknanya atau kata yang seerti dengannya atau penerangan tentang maknanya. Akhir sekali diberikan senarai kata terbitan.

Jika makna kata berjumlah lebih daripada satu, maka makna-makna itu diberikan juga secara satu persatu dengan dibubuh angkanya sekali untuk memisahkan dan membezakan makna-makna tadi.

Dalam memberikan makna kata, kadang-kadang agak bersifat jagat katan (ensiklopedik). Contohnya perkataan ابجد (abjad) diberikan juga nilai huruf-huruf Jawi Melayunya secara satu persatu. Begitu juga nilai huruf-huruf Arabnya. Kemudian diterangkan juga oleh pengarang kamus ini bahawa beliau lebih cenderung menggunakan istilah “Tulisan Melayu” untuk jenis aksara ini daripada istilah “Tulisan Jawi“, yang banyak digunakan orang terutama di luar negeri Johor pada ketika itu.

Satu contoh lain dalam memberikan makna ialah perkataan Johor. Perkataan ini diterangkan dari pelbagai segi dengan terperinci akan asal usulnya yang dibuat secara berperingkat-peringkat. Walaupun ada antara fakta-fakta yang diberikan oleh pengarang yang kita agak kurang setuju tetapi pencrangannya cukup jelas dan panjang.

Begitu juga dengan perkataan air. Ia bukan sahaja diberikan maknanya secara jelas tetapi juga diberikan simpulan-simpulan bahasa yang berkaitan dengan perkataan air yang jumlahnya lebih daripada 30 jenis banyaknya. Dengan cara begini kita akan dapat mengetahui penggunaan perkataan air sesuai dengan keperihalannya. Bagi perkataan yang sama ejaan tetapi berlainan sebutan diberikan juga cara-cara melafazkannya supaya jelas perbezaan sebutan yang ada pada kedua-duanya. Bagi perkataan Arab yang kurang lazim diberikan sekali tanda-tanda baris atau dikritiknya supaya mudah dibaca dan dilafazkan oleh pembacanya. Bagi kata-kata Melayu pula digunakan ejaan pengaruh Melayu tahap kedua, iaitu lengkap dengan kata saksi atau vokal pada kedua-dua suku kata.

Dalam kamus ini dimasukkan berbagai-bagai jenis perkataan Melayu sama ada lama atau baharu. Selain itu banyak juga dimasukkan perkataan-perkataan asing seperti daripada bahasa-bahasa Inggeris, Arab, Cina dan Jawa. Sebutannya juga seperti dalam bahasa asal. Contohnya perkataan education yang dikekalkan lafaznya dan yang dieja dengan tulisan Jawi sebagai ايديوکيشن atau perkataan electricityy yang dieja sebagai ايليکتريسيتي yang juga berasal daripada bahasa Inggeris. Perkataan daripada bahasa Perancis pun ada juga. Sungguhpun demikian ada antara perkataan ini yang sampai sekarang ini belum diserap lagi ke dalam bahasa Melayu.

Selain itu dimasukkan juga nama-nama am dan khas seperti nama kitab dan lain-lain. Contohnya kitab Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin yang terkenal dalam sejarah bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Kalau diteliti dengan cermat, Buku Katan (Kamus Melayu) merupakan sebuah kamus yang sesuai bagi orang yang berpendidikan bahasa Melayu yang baik pada masa itu. Bagi orang sekarang pun buku ini masih tetap berguna terutama sekali bagi memahami bahasa Melayu yang digunakan pada masa itu terutama bahasa dalam buku dan kitab yang dikarang pada zaman itu. Kita juga boleh membuat perbandingan atau mencari ketepatan makna atau lafaz sesuatu perkataan. Contohnya perkataan “peka” yang menjadi sebutan yang kontroversi sekarang ini kerana banyak orang yang menyebutnya sebagai [pәka]. Dalam Buku Katan (Kamus Melayu), perkataan itu dieja sebagai ڤيڬ dan ڤيکا. Ini bermakna perkataan itu dilafuzkan sebagai [peka] dan bukan [pәka]. Kalaulah benar lafaz perkataan ini sebagai [pәka] ia akan dieja sebagai ڤڬ atau ڤکا sahaja. Dengan itu kita akan mendapat jawapan bahawa sebutan [pәka] itu salah, yang benar ialah [peka]. Contoh-contoh yang lain salah ejaan مره adalah untuk [mәrah] sedangkan ميره untuk [merah]. Begitu juga سلق menjadi [sәlak] dan سيلق menjadi [selak].

Akhir sekali ialah tentang sistem ejaan yang digunakan. Perlu dinyatakan di sini bahawa sistem ejaan yang digunakan ialah sistem ejaan rasmi yang disusun oleh P.Bm.P.B. Diraja, iaitu berdasarkan buku Panduan bagi Hejaan P.Bm.P.B. Diraja yang telah disusun pada zaman itu. Sistem ejaan itu adalah sistem ejaan Jawi yang rasmi di Johor pada ketika itu.

Demikianlah keterangan sepintas lalu tentang Buku Katan (Kamus Melayu). Banyak hal yang menarik dalam buku ini terutama sekali ciri-ciri istimewa yang ada padanya. Sekalipun kamus ini mengikut ukuran sekarang sebagai kamus kecil kerana kata-kata masukannya berjumlah kurang daripada 10,000 perkataan (atau lebih tepat lagi 9,971 patah), tetapi kamus ini merupakan sebuah kamus yang besar pada zaman itu, apalagi untuk bahasa Melayu.

Prakata
Pendahuluan
Pengenalan
Huruf Potongan

Alif (ا) — Nya (ڽ)

Weight0.948 kg
Dimensions22.2 × 15.5 × 4 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Script

Jawi, Roman

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.