Ekstremisme dan Keganasan: Konteks, Konsep dan Praktis menjelaskan maksud keganasan yang selama ini terikat dengan lensa perspektif Barat yang sering memberi interpretasi keganasan dalam konteks fundamentalis dan Islam; agama dan keganasan, pengebom berani mati, gerakan pemisah dan pengganas. Telah tiba masanya penghuraian konsep dan terma keganasan bersifat multidimensi mengikut konteks dan situasi diperkenalkan. Dalam kepelbagaian kategori ekstremisme dan keganasan, apa jua yang melampau dan berakhir dengan keganasan fizikal adalah ekstrem.
Julat keganasan selain daripada fundamentalis, ekstrem haluan kiri atau kanan, keganasan turut merangkumi pemikiran sebagai pemangkin yang mendorong individu atau organisasi bertindak ganas. Negara telah menginstitusikan ekstremisme dan keganasan melalui perlakuan Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Perang Teluk, Perang di Syria dan di beberapa negara Afrika. Ini adalah keganasan berskala besar yang melibatkan negara dan belum ada yang tegar mengkritik perang sebagai tindakan pengganas secara institusi. Peristiwa pembersihan etnik, kebencian terhadap migran asing adalah inti pati perbincangan yang turut dikupas selain budaya memori sebagai perlakuan mengingati peristiwa kejam untuk mendidik bibit-bibit dendam agar tumbuh subur bergenerasi.
Pemodenan dan revolusi teknologi maklumat juga telah mencipta ruang sosial baru untuk menyebar luas berita palsu, idea keganasan dan merekrut ahli bagi merealisasikan agenda keganasan, termasuk teknik dan strategi perang melalui drone. Lebih parah lagi, keganasan harian melepasi sempadan melalui pembulian siber turut berakhir dengan penderaan fizikal, mental dan kematian. Buku ini menjadi kunci alat analisis baru dalam memahami maksud, konteks dan aplikasi ekstremisme dan keganasan bagi membina konsep yang jelas dan praktikal.
Himpunan pelbagai kes dalam Ekstremisme dan Keganasan: Konteks, Konsep dan Praktis melatarkan maksud dan jenis keganasan dengan konteks yang berbeza dalam julat keganasan sama ada pergerakan itu bersifat right wings atau left wings yang ekstrem, radikal dan ganas. Keganasan diterjemah secara harfiah ialah bentuk kekejaman fizikal yang jelas memperlihatkan tingkah laku ganas yang selalunya berakhir dengan kematian, kecederaan parah dan kritikal. Namun begitu, pergerakan dalam julat keganasan turut merangkumkan ideologi dan pemikiran yang mendorong ke arah keganasan serta bertindak sebagai pemangkin yang memberi motivasi individu atau kumpulan untuk bertindak ganas.
Reviews
There are no reviews yet