Entrok merupakan kisah perempuan daripada dua generasi yang berdepan dengan segala penindasan dan ketidakadilan daripada masyarakat, negara dan bahkan orang agama. Namun Entrok bukan tentang kepasrahan dan ketidakupayaan perempuan, melainkan rakaman kesungguhan si ibu dan anak untuk memahami persekitarannya dan bangkit menguasai serta menentukan hidup mereka. Marni membesarkan anak perempuannya, Rahayu, dengan harapan anaknya keluar daripada segala kesusahan yang dia hadapi tetapi justeru niatnya itu menjadikan mereka renggang dan menjauh akibat pelbagai tekanan sosial, politik dan ekonomi yang bertindan lapis hingga tidak menjadikan Entrok sebagai novel emansipasi perempuan yang sarat dengan seruan-seruan pembebasan semata-mata.
Entrok merupakan pengkisahan masyarakat terbawah terhadap perubahan sosial yang berlaku dalam sejarah panjang masyarakat Indonesia pasca merdeka, khasnya ketika era Orde Baru. Entrok juga dengan cermat memperihalkan pergelutan emosi dan fikiran perempuan daripada pelbagai sisi; anak perempuan yang menginjak usia remaja, mahasiswa yang penuh idealisme, ibu muda buta huruf yang cekal membangun keluarga, kekecewaan serta kerelaan isteri pertama dan kedua, juga nenek tua yang mendambakan seorang cucu.
Meskipun Entrok tentang keterasingan antara dua generasi, Entrok juga adalah tentang persamaan kezaliman dan kecekalan antara dua generasi ini juga.
Reviews
There are no reviews yet