Falsafah Sejarah Syed Muhammad Naquib al-Attas: Analisis Teks Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu memaparkan kerangka falsafah sejarah al-Attas menerusi analisis teks adikaryanya, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Adikarya yang berasal dari naskhah Syarahan Perdana pengukuhan jawatan Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada dekad 1970-an ini adalah teks penting yang membidani kelahiran kerangka ilmu dan epistemologi falsafah sejarah kontemporari di Alam Melayu. Buku yang mengandungi empat bab ini mencerakinkan dua dimensi utama. Pertama, dimensi biografi al-Attas sebagai sarjana dan kesarjanaannya dalam bidang sejarah serta historiografi.
Kedua, dimensi yang menelusuri bentuk kerangka falsafah sejarah beliau dalam karya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu meliputi aspek tipologi atau jenis falsafah sejarahnya, sumber-sumber yang digunakan dalam menulis, menyusun, membentuk falsafah sejarah dan prinsip-prinsip utama falsafah sejarah yang terzahir dari pentafsiran al-Attas tentang Islam, sejarah dan kebudayaannya di Alam Melayu. Kesemua paparan tersebut mencerminkan satu bentuk asas atau pengantar bagi memahami bentuk sebenar falsafah sejarah al-Attas dalam karya-karya beliau yang lain berkaitan sejarah dan historiografi.
Asas, kerangka dan akar falsafah sejarah al-Attas sebenarnya telah tertanam lebih awal di dalam karya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu sebelum diperincikan dalam karya Historical Fact and Fiction. Oleh yang demikian, berdasarkan penyataan Wan Mohd Nor, buku ini melihat bahawa terdapat suatu petunjuk yang jelas tentang wujudnya kerangka falsafah sejarah al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Penulis menanggapi bahawa falsafah sejarah yang dinyatakan Wan Mohd Nor itu merupakan satu bentuk pengantar kepada pemikiran al-Attas tentang sejarah Islam di Alam Melayu.
Walaupun beliau tidak menjelaskan secara langsung kepada karya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu dan hanya merujuk kepada Historical Fact and Fiction, namun frasa tentang “yang dipeganginya selama lebih 40 tahun secara penuh istiqamah” adalah satu bukti jelas bahawa Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu merupakan teks asal yang mencetus dan membenihkan idea falsafah sejarah al-Attas. Oleh yang demikian, ruang inilah yang menjadi satu titik tolak kepada penulis untuk melihat kepada faktor epistemologi dan falsafah sejarah yang ada dalam penyusunan dan penulisan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu oleh al-Attas.
Al-Attas menghuraikan judul Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu sebagai “Suatu Mukaddimah mengenai peranan Islam dalam peradaban sejarah Melayu-Indonesia, dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa dan kesusasteraan Melayu.” Huraian kepada tajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu menggambarkan bahawa al-Attas meletakkan satu asas falsafah sejarah yang menjadi pengantar kepada peranan Islam dalam peradaban di kepulauan Melayu-Indonesia dari aspek pemikiran, bahasa dan kesusasteraan.
Selain itu, karya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu juga telah diterjemah ke dalam bahasa Indonesia, Rusia dan Perancis. Ini merupakan sebuah karya berpengaruh yang sarat dan padat dengan falsafah sejarah al-Attas sehingga diterjemah dan dirujuk oleh para sarjana dari negara lain. Justeru, buku ini meneroka dan menyusun semula bentuk falsafah sejarah al-Attas seperti yang digambarkan oleh Wan Mohd Nor sebagai cerminan dari pandangan alam dan epistemologi Islam dengan menjadikan karya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu sebagai teks rujukan utama.
Reviews
There are no reviews yet