Hikayat Gul Bakawali

Diselenggara oleh SITI HAWA HAJI SALLEH

DBP (Ulang Cetak, 2016)
144 halaman termasuk Glosari dan Bibliografi

RM16.00

Only 1 left in stock

Hikayat Gul Bakawali termasuk dalam kumpulan kedua dalam penggolongan Winstedt, iaitu Kesusasteraan Hikayat Zaman Peralihan. Hikayat ini telah diperoleh salinannya ketika Penyelidikan Etos Melayu dijalankan di Melaka pada tahun 1982 daripada simpanan Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Aziz Tapa. Winstedt ada merujuk hikayat yang sama ketika menulis tentang karya-karya Kesusasteraan Hikayat dalam bukunya berkenaan sejarah kesusasteraan Melayu klasik.

Mungkin Winstedt tidak begitu tertarik kepada Hikayat Gul Bakawali kerana beliau tidak memberikan sinopsis hikayat ini sedangkan sinopsis hikayat-hikayat lain seperti Hikayat Sang Boma, Hikayat Shah-i Mardan, Hikayat Bakhtiar dan lain-lain ada diberikan dalam satu kumpulan terasing bersama Hikayat Langlang Buana, Hikayat Pekan Madi dan Hikayat Jaya Langkara kerana mempunyai unsur-unsur yang sama. Winstedt juga mengatakan Hikayat Gul Bakawali berasal daripada susunan cerita yang telah diusahakan oleh seorang Hindustan yang bernama Nipal Chand pada tahun 1702. Daripada susunan cerita inilah hikayat tersebut telah dibawa masuk ke dalam kesusasteraan Melayu. Hikayat Gul Bakawali yang disebut oleh Winstedt hanya disebutkan sebagai Gul Bakawali, Singapura, 1879 tanpa keterangan lain.

Salinan yang beliau lihat adalah lebih tua kerana salinan di Melaka diterbitkan pada 2 November 1927 dan bukan daripada cetakan yang sama. Terbitan 1927 tidak menyebut nama pengarang. Tetapi di akhir hikayat tersebut dinyatakan nama orang yang berhak menerbitkan hikayat ini, iaitu Haji Muhammad Amin bin Haji Abdullah yang telah membelinya daripada seorang yang bernama Makhdum Sahib pada 16 Februari 1922. Haji Muhammad Amin merupakan seorang penerbit buku yang aktif pada tahun 20-an dan mempunyai penerbitannya sendiri, iaitu Al-Mutba’ah al-Aminiyah di Jalan Baghdad, Singapura. Penerbitan ini telah pun ditubuhkan semenjak tahun 1847 lagi. Begitu sedar sekali Haji Muhammad Amin akan haknya sebagai penerbit hikayat ini kerana selain menyebut tentang hak itu di bahagian bawah akhir hikayat tersebut, beliau juga menyebutnya sebelum itu dalam bentuk syair setelah tamat ceritanya.

Nama Syekh Muhammad Ali sebagai penterjemah diletakkan dengan jelas pada muka depan hikayat dan dalam syair tersebut. Di akhir hikayat juga penerbit mencatatkan nama penyalinnya iaitu Kasmin bin Haji Muhammad Amin.

Kita mendapat penerangan yang lebih jelas apabila kita merujuk Za’ba dalam makalahnya. Za’ba menyatakan bahawa Hikayat Gul Bakawali berasal daripada sebuah hikayat Parsi yang judulnya bermaksud Percintaan Bunga Mawar (Romance of the Rose) yang telah dialih ke dalam bahasa Hindustan. Orang yang telah menterjemah dan menyesuaikan cerita ini daripada bahasa Hindustan kepada bahasa Melayu ialah seorang yang bernama Munsyi Syekh Muhammad Ali bin Ghulan Hussain al-Hindi yang menetap di Singapura. Terjemahan ini menurut Za’ba telah diterbitkan pada tahun 1875, empat tahun lebih awal daripada salinan yang dilihat oleh Winstedt. Walaupun Syekh Muhammad Ali bukan daripada keturunan Melayu, ternyata beliau biasa dan kenal betul dengan lenggang-lenggok bahasa Melayu dan selera kesusasteraan masyarakat Melayu zaman itu. Semasa menyusun karangan tersebut, Syekh Muhammad Ali telah memasukkan pantun Melayu di samping syair yang sememangnya telah ada dalam karya asal hikayat tersebut. Mengikut Za’ba, kerana ceritanya begitu menarik dan selari dengan gaya penceritaan Melayu, hikayat tersebut telah mendapat sambutan yang amat baik daripada masyarakat.

Cetakan ulangan sesebuah hikayat dengan sendirinya membuktikan bahawa hikayat berkenaan mendapat sambutan yang memuaskan daripada masyarakat pembaca. Nyata Hikayat Gul Bakawali telah menjadi sebuah hikayat yang popular. Selain dalam bentuk prosa, hikayat ini juga pernah diterbitkan dalam bentuk syair berjudul Syair Gul Bakawali. Penerbitan hikayat-hikayat lain dalam lingkungan waktu yang sama juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu pada akhir abad ke-19 amat suka membaca hikayat. Hikayat Seribu Satu Malam juga telah diterjemahkan ke bahasa Melayu sebelum tahun 1879 di samping beberapa hikayat lain.

Mengikut Za ‘ba lagi, sememangnyalah tahun 20-an merupakan satu zaman yang amat menggalakkan bagi penerbit-penerbit buku cerita. Hikayat Gul Bakawali ialah salah sebuah cerita yang diterbitkan semula pada tahun 1922. Biarpun salinan yang diperoleh di Melaka ini telah hilang empat halaman pertamanya, pembaca masih dapat mengikuti kisah seterusnya tanpa terasa ketinggalan. Edisi yang sama ada tersimpan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan telah digunakan untuk melengkapkan bacaan hikayat ini.

Weight0.215 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.8 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.