Hujan Panas Permainan Hari: Sebuah Memoir merupakan coretan peribadi yang melakarkan pengalaman dan pandangan penulis sebagai seorang tenaga pengajar dan pentadbir akademik semasa bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia selama 30 tahun. Hujan-panas, bayu-badai, cemuhan-sanjungan, cabaran-pencapaian, kejayaan-kegagalan adalah asam garam hidup yang perlu diharungi hari demi hari dalam sebuah perjalanan hidup. Universiti Kebangsaan Malaysia membangun daripada sebuah institusi yang sering diragui sejak peringkat awal penubuhannya. Institusi ini sentiasa menghadapi berbagai prasangka, cemuhan, prejudis dan cabaran. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di UKM tidak disenangi oleh sebahagian khalayak. Hari ini setelah berkembang selama 50 tahun, UKM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani dan dihormati.
Penulis adalah seorang di antara beberapa orang pensyarah “perintis” yang diambil bertugas dengan Universiti Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 1970, beberapa bulan sebelum UKM secara rasmi ditubuhkan. Penulis telah berkhidmat tanpa henti dengan UKM selama 30 tahun sejak itu. Bermula sebagai seorang pensyarah, dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya (1978) dan seterusnya Profesor (1983). Dalam pentadbiran akademik, penulis pernah dilantik sebagai Dekan, Timbalan Naib Canselor dan akhir sekali sebagai Naib Canselor sebelum persaraan wajib 95 tahun pada tahun 1998.
Hampir 40 peratus daripada usianya setakat ini, penulis korbankan di UKM. Di bumi UKM, penulis bekerja untuk menyara keluarga. Di UKM, penulis didewasakan dan diberi berbagai peluang untuk menyumbang bukan sahaja untuk UKM sebagai guru di sebuah institusi pengajian tinggi negara—mengajar, menyelidik, menulis—malah menyumbang juga dengan cara beliau sendiri kepada masyarakat setempat dan sedikit kepada masyarakat dunia melalui penyelidikan, penulisan, pengajaran, seminar dan persidangan antarabangsa.
Untuk penulis, pelantikannya sebagai Penyandang Ke-Enam Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Athens, Ohio, USA selama dua tahun (1991-1993) adalah sesuatu yang amat beliau hargai. Pelantikan ini dimungkinkan kerana pada ketika itu beliau berkhidmat sebagai Profesor di UKM. Keterlibatan penulis dalam bidang-bidang lain seperti penyelidikan dan peserta di seminar antarabangsa, pelantikan sebagai felo penyelidik dan profesor pelawat ke beberapa universiti lain di luar negara juga dipermudahkan, pada perkiraan penulis, atas asas yang sama—kerana beliau bertugas di UKM.
Reviews
There are no reviews yet