Kebebasan Peribadi dalam Kalangan Rakyat Malaysia berfokuskan kepada kebebasan media, kebebasan bersuara, intervensi jenayah Syariah dan undang-undang khalwat serta kebebasan privasi dan LGBT. Bermula dengan kajian terhadap kebebasan media dari perspektif undang-undang seterusnya dengan kajian terhadap hak bersuara dari perspektif undang-undang dan disusuli dengan kajian intervensi undang-undang jenayah Syariah terhadap hak privasi Muslim. Kesemua tajuk yang dibincangkan amat relevan pada masa kini kerana perkembangan dan pendedahan mengenai hak asasi manusia yang semakin meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Undang-undang Malaysia mengiktiraf kebebasan bersuara dan juga kebebasan media. Walau bagaimanapun, kebebasan ini adalah tertakluk kepada beberapa sekatan undang-undang yang perlu dipatuhi atas sebab keselamatan negara dan kepentingan awam. Antara undang-undang yang mengawal media adalah seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Fitnah 1957.
Selaras dengan perkembangan undang-undang konvensional, Islam juga mengiktiraf hak kebebasan manusia tanpa mengira agama yang mereka anuti. Antaranya adalah kebebasan bersuara bagi individu, pemimpin dan masyarakat dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah dan syariat Islam. Walau bagaimanapun, kebebasan ini hendaklah mematuhi keperluan syariah serta tidak memberi kesan negatif kepada umat Islam dan agama Islam. Amalan ini telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda telah memberikan ruang kepada para sahabat r.a. dan golongan kafir Quraisy berdebat dan berbincang tentang pelbagai isu berkaitan Islam dan negara untuk kebaikan kepada komuniti dan negara.
Perlembagaan Malaysia mengiktiraf hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat. Walau bagaimanapun, takat kebebasan adalah terkawal demi memelihara keselamatan dan keharmonian negara. Pada masa yang sama, Islam menekankan pemeliharaan maruah dan ketinggian martabat individu. Penguatkuasaan undang-undang khalwat bertujuan memelihara ketinggian martabat wanita dan keturunan. Sehubungan dengan itu juga, setiap individu telah diciptakan mengikut fitrah kejadian untuk menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat dalam mencapai kelestarian ummah.
Reviews
There are no reviews yet