Keturunan Pemburu Pemungut Lanoh Terakhir di Malaysia membincangkan sejarah, etnografi dan arkeologi masyarakat Lanoh, salah satu dari subkumpulan Negrito di Malaysia. Data-data etnografi, sejarah dan arkeologi ini selain memperkayakan data-data sedia ada yang merupakan satu perspektif penting dalam kajian arkeologi khususnya etnoarkeologi, ia juga selari dengan matlamat menjadikan kajian arkeologi bersifat multidisiplin. Sebagai satu kajian etnoarkeologi, buku ini memaparkan data-data etnografi masyarakat kontemporari yang menjadi satu jendela untuk memahami tingkah laku, budaya dan cara hidup masyarakat prasejarah khususnya yang menghuni Lembah Lenggong.
Tidak dapat dijelaskan maksud disebalik perkataan Lanoh namun, berdasarkan tulisan awal ahli antropologi dan etnografi seperti Evans, Schebesta, Hunt dan Hamid. Mereka telah menyebut Lanoh sebagai satu suku Orang Asli dalam kumpulan Negrito yang telah mendiami kawasan Lenggong dan Gerik di Hulu Perak. Masyarakat ini turut dipanggil dengan istilah Semark Blum atau Semark Belong yang mana istilah Semark itu membawa maksud Orang Asli manakala Blum pula adalah merujuk kepada panggilan Orang Asli terhadap Sungai Perak atau Ong Blum, iaitu kawasan mereka beradaptasi. Masyarakat Melayu di Hulu Perak pula memanggil masyarakat ini dengan nama Sakai Jeram, manakala istilah Lano hanyalah perbezaan ejaan sahaja.
Mereka juga dikenali dengan nama Sabub’n dan Lano. Istilah Sabub’n kerap digunakan oleh Schebesta dan Evans. Selain itu menurut Evans, masyarakat Lanoh di Gerik dan Lenggong memperkenalkan diri mereka sebagai Menik Semnam (Orang Semnam). Istilah ini pada asalnya merujuk kepada Orang Lanoh yang tinggal di tebing Sungai Semnam (sungai ini terletak di Dala) yang dipanggil Menik Semnam. Lama-kelamaan istilah Semnam ini juga digunakan untuk merujuk bahasa Lanoh. Burrrenhult dan Wegner mendapati bahasa Semnam mengandungi banyak persamaan struktur dan kaya dengan sistem vowel, selain itu sekurang-kurangnya terdapat 36 istilah yang hampir pupus yang membezakan Semnam dengan bahasa Orang Asli lain.
Meskipun bahasa Semnam merupakan bahasa pertuturan harian, majoriti mereka boleh bertutur bahasa Hal ini mungkin disebabkan populasi Temia, yang agak dominan selain faktor Perkahwinan campur antara Lanoh dan Temiar. Selain itu bahasa Melayu juga digunakan secara meluas dan menjadi medium utama komunikasi antara masyarakat Lanoh dengan masyarakat lain selain Orang Asli. Perkahwinan campur antara Lanoh dan Melayu jarang berlaku, bagaimanapun terdapat satu pasangan di Kampung Air Bah melibatkan seorang lelaki Melayu dengan wanita Lanoh.
Secara antropologi dan pentadbiran, Lanoh diklasifikasikan dalam kumpulan Negrito bersama Kintak, Kensiu, Jahai, Batek dan Mendrik. Mereka mempunyai banyak persamaan daripada aspek fisiologi, budaya dan cara hidup terutama melibatkan aktiviti memburu dan memungut sebagai corak pengeluaran. Daripada sudut fisiologi, masyarakat Lanoh mempunyai persamaan dengan saudara mereka dalam kumpulan Negrito berdasarkan warna kulit yang gelap, berambut kerinting, bertubuh pendek, mempunyai bibir yang tebal, kepala yang agak bulat dan dahi yang kecil serta mempunyai hidung berbentuk piramid dan pesek. Walau bagaimanapun pada masa kini, terdapat perkahwinan campur terutama antara Lanoh dengan Temiar, menyebabkan terdapat ciri-ciri fisiologi Senoi dalam masyarakat Lanoh.
Reviews
There are no reviews yet