Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika memberikan prinsip-prinsip yang rasional dan garis panduan yang sepatutnya dikaji dan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Muslim untuk menemukan kembali jalan yang betul kepada pengembalian kepada sebuah perubahan moral warganegara seluruhnya dalam permasalahan rasuah. Melihat kepada fenomena korupsi politik dan kemunafikan dalam tingkah laku dan budaya politik Melayu, penulis percaya ianya adalah simptom suatu krisis dalaman para pemimpin dan pengikut parti-parti politik iaitu keruntuhan moral yang disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk impak daripada modenisasi yang materialistik; pragmatisme parti-parti politik; sifat egoistik dan materialistik pemimpin-pemimpin utama politik; ketiadaan pendidikan moral-etika yang baik dalam parti-parti politik; kebimbangan terhadap peningkatan dominasi politik masyarakat bukan Islam; dan impak daripada sistem politik demokrasi yang sekular.
Keruntuhan moral-etika yang berada pada tahap yang parah ini memerlukan perubahan yang asasi untuk menyekat keruntuhan kerohanian-moral yang tercermin dalam tingkah laku politik yang tak beretika dan munafik. Kerosakan yang ia telah lakukan kepada komuniti Muslim adalah amat besar, dan perpecahan politik dan permusuhan dalam masyarakat Melayu yang membawa kepada wujudnya tiga kelompok politik semakin membesar dan mendalam. Oleh yang demikian penyelesaian kepada masalah-masalah besar itu tidak boleh bersifat dangkal atau simplistik. Budaya politik, sistem politik, tingkah laku politik Melayu yang sudah menjadi korup ditambah pula dengan perpecahan dalaman yang semakin melebar memerlukan langkah-langkah transformatif yang komprehensif, asasi dan segera. Mengingatkan bahawa masa depan negara dan dunia bakal menjadi lebih tidak menentu dengan krisis politik yang berpanjangan berserta dengan keadaan darurat alam sekitar yang diramalkan oleh ramai para saintis dunia, langkah-langkah transformasi itu mestilah berlaku pada tahap yang paling asasi—iaitu pada tahap kesedaran kerohanian, moral dan etika (yang terbit dari hati/kalbu) para pemimpin, pengikut, kader-kader dan penyokong politik.
Satu paradigma transformasi kepemimpinan yang baru mesti diwujudkan kerana sistem dan paradigma kepemimpinan yang lama telah ternyata gagal dengan akibat-akibat yang sangat negatif ke atas umat Islam dan negara Malaysia. Penulis menamakan paradigma baru ini sebagai “Paradigma Kepemimpinan Theosentrik” yang berdasarkan kepada model kepemimpinan Nabi Muhammad S.A.W.
Normanjalina Hassan (Verified Reader) –