Kuras-Kuras Kreatif merupakan satu usaha Azizi Haji Abdullah merakamkan kembali olahan dan garapan karya-karya kreatif beliau dari tahun 1970 hingga 1999, yang cukup banyak menyingkap latar, proses, kepayahan dan kejayaan beliau dalam mengharungi dunia penulisan. Sememangnya Azizi seorang yang cukup arif dalam memaparkan latar desa dan mudah menyusun perwatakan hasil daripada pengamatan beliau dengan suasana yang dekat dengan beliau. Penggunaan lenggok bahasa yang menarik dan pemilihan kata yang sesuai membuatkan karya beliau begitu menyentuh perasaan walaupun karyanya bertemakan persoalan biasa.
Garis Lintang Anak Haram (1968), merupakan novelnya yang pertama. Kemudian pada tahun 1972, novelnya Senja Belum Berakhir mendapat Hadiah Karya Sastera. Selepas itu, karya-karya beliau dalam genre cerpen dan novel banyak memenangi hadiah, sehingga beliau dianggap sebagai penulis sayembara. Novel beliau, Seorang Tua di Kaki Gunung yang memenangi hadiah kedua dalam Sayembara Novel anjuran Yayasan Sabah-Gapena pada tahun 1982 dianggap sebagai novel terbaiknya pada ketika itu dan dijadikan teks sastera peringkat SPM dari tahun 1985-1987.
Dari buah fikir Azizi, lahir 27 buah novel dari tahun 1968 hingga 1998. Menurut kronologi tahun terbitan ialah seperti yang berikut: Garis Lintang Anak Haram (1968), Senja Belum Berakhir (1971), Sami Mekong (1976), Bila Hujan Malam (1977), Tini (1977), Ayah Bonda (1978), Di Kolam Mulhamah (1978), Gadis itu Bernama Ina (1978), Seorang Tua di Kaki Gunung (1982), Kasih Sayang (1983), Asyraq (1987), Melukut Kota (1987), Juak (1989), Yang Merusuh (1991), Menebus Maruah (1991), Beruk (1991), Anak Kampung Kuala Raga (1991), Anak Belantara Tropika (1992), Cahaya di Pendalaman (1992), Sinappapal (1993), Suriati (1993), Dunia Bukan Syurga (1993), Wi & William (1995), Buih (1995), Atiek Putriba (1990), Ayahanda (1997), dan Pencinta Alam (1998).
Bagi Azizi, untuk menulis novel, cerpen mahupun puisi malah artikel sastera, non sastera ia bermula daripada satu cetusan atau keinginan. Keinginan ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa hal. Antaranya tidak puas hati, ingin mengkritik dan luahan hasrat. Azizi amat bersetuju dengan Shahnon Ahmad yang mengatakan; semua karya kreatif bermula dari satu titik, iaitu idea dan kemudiannya berkembang.
Azizi yakin jika seseorang itu tidak mempunyai idea bererti dia seorang manusia yang jumud, pasif. Orang-orang yang kering idea ini tidak berguna langsung kepada dirinya, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Bagi penulis kreatif atau berjiwa kreatif, idealah yang menggerakkannya menjadi seorang sasterawan. Begitu juga seorang pemimpin, idealah yang menunjanginya. Manusia sasterawan akan mengembangkan ideanya melalui bakat kreatifnya yang sedia ad seperti pemimpin politik dengan perjuangan politiknya.
Umumnya bagi pembaca, apabila membaca sesebuah hasi karya sering benar berasa kagum tentang idea-idea yang dilontarkan oleh penulis. Kadang-kadang kekaguman itu melampau batas. Para pengkritik dan pengulas juga sering membuat ukuran sejauh mana dan sebesar mana idea yang dilontarkan oleh penulis/sasterawan apabila mengulas karya sasterawan itu. Kadang-kadang kita melihat besar atau kecilnya idea ini seperti dipengaruhi diri penulis itu sendiri. Bagi Azizi, beliau selalu melihat jika penulis besar yang dikatakan bertaraf nasional atau bertaraf dunia, pengulas dan pengkritik selalunya menganggap idea dalam karya itu besar juga walaupun idea itu kadang-kadang hanya sebutir pasir. Dan jika penulis/sasterawan itu kerdlil, betapa pun idea itu besar, seringnya dianggap kecil.
Idea atau cetusan ini bagi Azizi perlu sekali dikembangkan oleh penulis/sasterawan dan ini bergantung sejauh mana kemampuan penulis/sasterawan itu hendak mengembangkannya. Apa yang penting ialah bagaimana kita melihat keradangan, simpati dan luahan saranan daripada penulis/sasterawan itu melalui karyanya.
Oleh sebab bagi Azizi, beliau hanyalah orang kecil, hidup dalam dunia yang kecil pula, dalam dunia yang tidak hebat pergolakannya, maka kerana itu beliau tidak pernah dicetuskan satu idea besar bertaraf dunia. Pada beliau, kalaulah dia berpeluang berada dalam masyarakat peperangan, perhambaan, penindasan, barangkali cetusan idea ini akan dianggap besar, seperti novel Salina, Perang dan Damai, Orang Tua dengan Laut atau novel-novel revolusi Pramoedya Ananta Toer.
Reviews
There are no reviews yet