Out of stock

Masyarakat Melanau di Sarawak

JENIRI AMIR adalah Professor Madya dalam Fakulti Pengajian Bahasa dan Pengajian Komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak.

ITBM (Cetakan Pertama, 2015)
229 halaman termasuk Rujukan

RM25.00

Out of stock

ISBN: 9789670798042 Product ID: 24777 Subjects: , , Sub-subjects: , , ,

Masyarakat Melanau di Sarawak mengupas pelbagai persoalan tentang kaum Melanau, termasuk sejarah dan asal usul, sistem kekeluargaan dan kekerabatan, organisasi sosial, sistem kepercayaan, adat resam dan pantang larang, sistem politik dan kepemimpinan, sistem dan kegiatan ekonomi, serta transformasi dan kemajuannya tanpa mengetepikan aspek sejarah dan kehidupan kaum Melanau pada masa silam. Kaum Melanau ialah kaum bumiputera yang keempat terbesar di Sarawak selepas kaum Iban, Melayu, dan Bidayuh. Tidak banyak masyarakat di luar Sarawak yang mengetahui tentang masyarakat Melanau kerana golongan ini merupakan kaum minoriti dengan hanya sejumlah enam peratus daripada 2.4 juta penduduk Sarawak. Kaum Melanau yang kebanyakannya tinggal di bahagian Mukah sering dikaitkan dengan perusahaan sagu. Orang Melanau menggelarkan diri mereka sebagai a-likow—bermaksud orang peribumi atau asal, meskipun istilah a-likow juga merujuk kepada orang Melanau yang belum mengamalkan agama Islam atau Kristian. Kebanyakan mereka tinggal di pesisiran pantai, di antara Kuala Rejang, di barat daya dan Kuala Baram, di barat laut Sarawak. Sekurang-kurangnya terdapat enam kumpulan dialek Melanau. Maksudnya, kaum Melanau tidak mempunyai satu bahasa atau dialek baku sehingga terdapat perbezaan yang jelas antara dialek Melanau Bintulu dengan dialek Melanau Mukah atau Rejang. Untuk berhubung, mereka menggunakan bahasa Melayu Sarawak atau bahasa Inggeris. Kaum Melanau dapat ditakrifkan sebagai kaum yang mengamalkan budaya Melanau, bertutur dalam bahasa Melanau, makan makanan Melanau, dan memiliki jati diri Melanau yang khusus, serta tinggal di kawasan pesisiran di antara Kuala Rejang dan Kuala Baram.

Terdapat pelbagai teori tentang sejarah dan asal usul Melanau. Ada yang mengatakan mereka berasal dari Filipina dan tidak kurang pula yang mempercayai bahawa mereka berasal dari Jawa. Belum terdapat kajian yang tuntas dan pasti tentang perkara ini. Dari segi sejarah, kaum Melanau dipercayai mempunyai akar dan asal usul yang sama dengan kaum peribumi lain di kawasan hulu Sungai Rejang. Jika dijejaki dari segi bahasa, organisasi sosial, sistem kepercayaan, dan ada resam kaum-kaum berkenaan, terdapat kewajaran untuk mengatakan mereka berasal dari kawasan yang sama. Ada persamaan dalam sesetengah kosa kara, hierarki sosial, adat kematian, dan cara pengubatan yang menggambarkan terdapat hubung rapat antara mereka dengan sesetengah kaum di pedalaman. Mereka sering dikaitkan dengan kaum Kajaman, Sekapan, Lahanan, malah Kenyah dan Kayan. Ada yang menggelarkan orang Melanau sebagai Kayan Lalu. Hal ini kerana apabila diserang oleh musuh sekitar abad ke-18 atau ke-19, mereka hanya melalui sesuatu kawasan untuk meneruskan perjalanan hinggalah tiba di kawasan pesisiran. Mereka tidak menetap di sesuatu tempat seperti orang Kayan yang tinggal di hulu Rejang. Hanya dengan berhijrah ke pesisiran mereka akan selamat daripada ancaman musuh. Kaum Melanau sering disamakan dengan kaum Melayu walaupun kedua-duanya sangat berbeza daripada segala segi. Tanggapan sedemikian tidaklah menghairankan kerana dari segi bentuk fizikal, wajah, dan identiti tidak terdapat perbezaan yang ketara antara kaum Melayu dengan Melanau. Tambahan pula, dalam arus politik kedua-dua kaum ini bagai tidak dapat dipisahkan.

Dari segi agama, majoriti mereka ialah Islam meskipun ada masyarakat Melanau yang beragama Kristian dan masih berpegang pada kepercayaan lama. Agama Islam-lah yang menjadi pengikat antara kaum Melayu dengan Melanau sehingga orang dari luar Sarawak sukar membezakan kedua-duanya. Perkahwinan campur antara Melanau dengan Melayu turut menyebabkan perbezaan yang wujud semakin terhakis. Orang Melanau merupakan “orang pertengahan” antara masyarakat Melayu di kawasan pesisiran dengan orang Dayak di kawasan pedalaman Mereka terperangkap di tengah-tengah antara kedua-duanya. Pertembungan atau perhubungan yang panjang dari segi sejarah antara mereka dengan orang Melayu di hilir, dan orang Dayak di hulu telah sedikit banyak membentuk wajah, identiti, dan budaya kaum Melanau. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya tetap Melanau. Rata-rata orang Melanau tetap tidak mahu disamakan dengan orang Melayu. Mereka berbangga dengan jati diri sebagai orang Melanau. Meskipun terdapat persamaan dari segi agama dan perjuangan politik, mereka mengamalkan budaya dan adat resam yang sama sekali berlainan dengan orang Melayu—perkara inilah yang membezakan mereka dengan adat resam dan budaya sendiri. Berbeza daripada kajian lain, buku ini turut memperkatakan transformasi masyarakat Melanau dari pelbagai aspek, termasuk politik, sosial, pendidikan, teknologi, ekonomi, dan sosiobudaya, selain aspek etnografi dan budaya, Selain itu, buku ini turut mengupas sistem dan pencapaian ekonomi, terutama aktiviti utama kaum Melanau, iaitu industri sagu dengan menyusurgalurkan perkembangannya sejak awal.

Buku ini juga memperkatakan sistem politik dan kepemimpinan masyarakat Melanau dari zaman lampau hinggalah penaklukan Kesultanan Brunei, zaman pemerintahan Brooke, dan seterusnya zaman kolonial. Politik dan kepemimpinan zaman moden selepas kemerdekaan juga dibincangkan, termasuk penglibatan pemimpin Melanau dalam pilihan raya dalam sebuah negeri yang mengamalkan sistem demokrasi. Buku ini merupakan usaha bersungguh-sungguh penulisnya dalam membincangkan pelbagai aspek kehidupan kaum Melanau secara menyeluruh dengan menoleh ke belakang, menganalisis keadaan dan pencapaian kini, serta meninjau kemungkinan pada masa depan. Segala aspek sejarah, organisasi sosial, kosmologi dan sistem kepercayaan, adat resam dan pantang larang, ekonomi, politik, dan kepemimpinan Melanau dianalisis penulisnya sehingga menjadikan buku ini berbeza daripada dokumentasi lain tentang masyarakat Melanau setakat ini.

Prakata

1. Pendahuluan
2. Sejarah, Asal Usul, dan Penduduk Melanau
3. Petempatan, Persekitaran, dan Bahasa
4. Organisasi Sosial dan Sistem Kekerabatan
5. Kosmologi dan Sistem Kepercayaan
6. Adat Resam dan Pantang Larang
7. Sistem Politik dan Kepemimpinan
8. Sistem Ekonomi
9. Perubahan dan Pembangunan
10. Kesimpulan

Rujukan

Weight0.365 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 1.2 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

,

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.