Out of stock

Mata Keris dan Bentuknya

SHAHRUM YUB (b. 1934 – d. 2016) adalah bekas Ketua Pengarah Muzium yang berkhidmat selama 23 tahun, dari 1968 hingga 1991.

Jabatan Muzium Malaysia (Cetakan Pertama, 2006)
303 halaman termasuk Bibliografi

RM110.00

Out of stock

Mata Keris dan Bentuknya memberi segala penjelasan tentang mata-mata keris sejak senjata tersebut wujud di Pulau Jawa pada abad ke-8. Baik pun mata yang berbentuk lurus atau berluk, pembaca akan dapat mengetahui serba-serbi tentang bentuk permukaan mata dan kedudukan posisi mata apabile didirikan tegak. Memang tidak dapat dipertikaikan bahawa keris adalah antara artifak kebudayaan yang terunggul di antara sekian banyak peninggalan budaya leluhur yang terkenal di seluruh dunia. TIdak dinafikan bahawa sebagai benda yang sengaja dibuat tajam, dan dalam bentuk yang mudah dipegang atau digenggam, keris pada awalnya mudah djadikan senjata untuk menikam atau menusuk.

Beberapa lama kemudian, dalam sejarah perkembangan budaya bangsa dan sistem sosial masyarakat, fungsi asal keris telah mengalami perubahan. Ia tidak lagi diperbuat sebagai senjata untuk membunuh. Jika demikian tentulah bentuknya menyerupai pisau belati dan bukan dalam bentuk seperti yang kita kenal sekarang dengan matanya yang begitu indah, hiasan pamor yang cantik; mata dihias dengan ukiran timbul (Jw) kinatah atau tatahan (Jw) sinarasah daripada emas bermotif sulur-suluran atau tumbuh-tumbuhan yang merambat. Tidak perlu lagi dilengkapkan dengan berbagai-bagai unsur ciri (Jw) ricikan seperti misalnya belalai gajah (Jw) kembang kacang atau aring (Jw) greneng dan lain-ain kelengkapan yang menjadi penghiasnya.

Perkembangan budaya dan perubahan sistem sosial masyarakat, ikut mengubah fungsi keris, daripada sejenis senjata yang digunakan untuk menikam kepada alat keramat yang dihormati, yang dipuja, menjadi lambang kuasa dan ikatan keluarga, tanda jasa, tanda pangkat atau jabatan, lambang prestij, barang mewah, benda seni yang digunakan untuk cenderamata.

Di Malaysia, hampir semua orang, termasuk bukan Melayu, mengetahui tentang keris. Kalaupun mereka tidak mengenalinya secara dekat, sekurang-kurangnya, mereka pernah melihat gambar keris yang dipakai oleh ketua negara atau pembesar negeri ataupun oleh pengantin lelaki Melayu. Persoalannya apakah sebenarnya keris itu?

Keris adalah sejenis senjata tajam yang pada asalnya digunakan oleh orang Melayu untuk menikam atau menusuk. Ia biasanya digunakan dalam ruang yang terbatas, yang penggunaan pedang serta lembing kurang sesuai. Mata keris ada yang lurus, dan ada yang berombak atau disebut luk. Orang Melayu percaya mata keris yang berluk sangatlah bisa dan jika terkena tikamannya boleh membawa maut serta-merta.

Ganja yang terdapat pada pangkal mata keris membezakan keris dengan senjata lain. Mata keris yang mempunyai dua belah mata tajam melebar dari hujung turun ke arah pangkal menuju ke atas ganja. Ganja memudahkan keris dipegang. Semasa dipegang ibu jari ditempatkan ke atas bahagian picitan di pangkal mata, sambil jari telunjuk ditempatkan di bawah ganja untuk menahan berat mata. Dalam pada itu ganja yang berlanjutan pada bahagian belakang mata dapat melindungi tulang-tulang ketuk jari.

Keris ditempa dengan menggunakan sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis logam, iaitu besi, baja dan bahan pamor. Sebilah senjata yang diperbuat bukan dengan cara ditempa, tidak boleh dikatakan keris. Contohnya keris yang diperbuat daripada guntingan zink, tembaga kuning atau tong bekas minyak tar.

Keris juga sering dihubungkan dengan kepercayaan adanya kekuatan ghaib, kesaktian ataupun keistimewaan yang terdapat padanya. Umpamanya kepercayaan yang mengatakan bahawa sebilah keris yang bertuah boleh membunuh musuhnya dengan hanya menikam bekas tapak kaki orang yang dimaksudkan itu.

Perkara yang istimewa tentang mata keris ialah hiasan ataupun motif yang menghiasi permukaan mata keris yang disebut sebagai ‘pamor’. Dipercayai pamor ini membawa tuah tertentu seperti misalnya menentukan kebahagiaan dan keterteraman kehidupan pemakainya. Persoalan selanjutnya yang sering ditimbulkan orang ialah bilakah keris mula dibuat orang dan di mana?

Tidak dipertikaikan bahawa budaya keris mula tumbuh di Pulau Jawa. Ini terbukti dengan adanya gambar-gambar keris yang kita kenal sebagai keris buda yang terpahat pada relief candi-candi di Jawa Tengah dan Jawa Timur. Di Jawa Tengah relief-relief yang dimaksudkan adalah yang terdapat pada Candi Borobodur (abad ke-8), Candi Prambanan (abad ke-9), dan Candi Sewu (abad ke-9). Di Jawa Timur pula relief-relief gambar keris terdapat pada Candi Jago (abad ke-13), Candi Panataran (abad ke-14), dan Candi Sukuh (abad ke-14). Candi terawal yang terdapat gambar keris buda adalah Candi Borobudur. Candi ini dibina pada akhir abad ke-8.

Diperkirakan bahawa keris buda itu dibuat pada zaman sebelum pembinaan Candi Borobodur, maka dengan itu tidak salah jika dikatakan bahawa keris buda itu telah muncul pada sekitar awal abad ke 8, iaitu pada zaman Mataram Hindu. Ini bererti keris tersebut berusia lebih dari 1,300 tahun yang lampau. Suwarsono Lumintu, seorang yang terkenal dalam dunia perkerisan, berpendapat bahawa keris mencapai bentuknya seperti yang dikenal sekarang pada sekitar abad ke-12 atau abad ke-13.

Selanjutnya, budaya keris mencapai puncaknya pada awal kurun ke-15. Ini terbukti melalui penulisan seorang pengembara Cina bernama Ma Huan yang berkunjung ke ibu kota Majapahit. Dalam laporannya (1416), Ma Huan melihat hampir semua orang lelaki di negeri Majapahit memakai pulak. Pulak adalah belati lurus atau berkeluk-keluk. Skripsi Ma Huan itu jelas dimaksudkan kepada keris. Laporan dan catatan Ma Huan itu juga membuktikan bahawa teknik pembuatan senjata dengan hiasan pamor telah diketahui pada zaman Majapahit lagi iaitu pada awal abad ke-15. Maka dengan bukti-bukti yang tertera di atas, nyatalah bahawa budaya keris mencapai puncaknya pada zaman Majapahit.

Weight1.58 kg
Dimensions28.5 × 22.5 × 2.5 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
Showing 1 of 1 review (5 star). See all 1 review
  1. Nor Amira Asyiqin Amri (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.