Pancaran Makna dalam Kesusasteraan Melayu mengungkapkan dan menjelaskan pelbagai dimensi pemikiran Melayu dalam pelbagai genre kesusasteraan, iaitu pantun, teks adikarya, lirik lagu, cerpen mutakhir, dan puisi siber. Pembicaraan karya sastera dalam buku ini bersifat santai dan memudahkan pembaca memahami makna teks yang dibicarakan. Pembaca diharap dapat memanfaatkan kandungan buku ini sama ada sebagai bahan rujukan, pengajaran dan pembelajaran atau bacaan umum bagi memahami dengan lebih mendalam makna yang tersurat dan tersirat dalam pelbagai genre sastera.
Perjalanan kesusasteraan Melayu telah melalui tiga tahap; bermula daripada tradisi lisan, tulisan dan kini berada dalam era elektronik yang disebut sebagai kesusasteraan siber atau elektronik. Dalam tradisi lisan, genre sastera yang berkembang, misalnya pantun, peribahasa, mantera, dan cerita rakyat. Kemudian, dalam tradisi tulisan, genre prosa, misalnya cerpen, novel dan drama dihasilkan. Genre sastera tersebut terus dihasilkan, namun dalam media baharu sebagai alat atau wahana memunculkan sastera elektronik atau siber. Apa-apapun setiap karya sastera yang dihasilkan atau dikarangkan oleh pengarang atau pensiber mengungkapkan makna sama ada tersurat atau tersirat. Justeru, makna yang terungkap itu dijelmakan dalam Pancaran Makna dalam Kesusasteraan Melayu. Penulis menggunakan pelbagai dimensi untuk menilai setiap karya atau teks sastera yang dijadikan bahan kajian dalam buku ini.
Sepuluh makalah dalam buku ini menyentuh mengenai estetik bahasa, pemikiran atau isi karya yang diungkapkan melalui bahasa dan pengajian sastera siber. Aspek bahasa, pemikiran dan pengajian sastera Melayu dianggap penting dalam usaha memahami karya sastera sebagai bahan penelitian. Antara makalah yang memberi tumpuan terhadap bahasa ialah “Pancaran Bahasa Figuratif dalam Karya” menghuraikan makna gaya bahasa dan tumpuan khusus tentang bahasa figuratif dalam karya sastera dan bukan sastera. Pandangan Winterowd, Wales dan Henry Guntur Tarigan diambil kira dalam analisis karya.
Lirik sebagai genre puisi turut menjadi tumpuan penelitian dalam buku ini. Dalam hal ini, data lirik lagu Malaysia dan Indonesia dijadikan bahan penelitian. Justeru, terhasillah makalah “Lirik Lagu Popular Malaysia-Indonesia: Pancaran Makna Isi dan Pelangi Warna Bahasa” yang membincangkan dan menggabungkan dua aspek tujahan iaitu isi atau pemikiran dan bahasa, Lirik lagu popular Malaysia-Indonesia pada 1990-an mengungkapkan isi tentang cinta; cinta sejati, cinta murni dan cinta bahagia. Selain itu, kekecewaan cinta penuh dendam jelas dalam lirik lagu yang dikenal pasti itu, Manakala pelangi warna bahasa dalam lirik lagu pula terungkap simbol cinta dan gaya bahasa perulangan.
Selain aspek bahasa, pemikiran juga menjadi tujahan dalam buku ini. Antara makalah yang membicarakan pemikiran ialah “Pancaran Logik Melayu dalam Sastera Melayu” yang membincangkan logik Melayu yang sifatnya alamiah, memartabatkan kedudukan dan status raja Melayu melalui mitos dan legenda serta dunia berjodoh dalam pantun Melayu, pengekalan dan percampuran pemikiran logik Melayu. Pemikiran pengarang juga terungkap dalam karya sastera melalui simbol dan citra atau imej seperti yang dibentangkan dalam “Merungkai Pancaran Makna Simbol dan Citra Alam dalam Pantun Melayu.” Pantun sebagai genre sastera Melayu yang sifatnya asli memancarkan pemikiran tentang nilai cinta. Hal ini dijelaskan dalam makalah berjudul “Pancaran Nilai Cinta Dalam Pantun Melayu.” Dalam konteks yang luas, konsep cinta dan nilai merentasi hubungan vertikal dan horizontal, iaitu hubungan antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam dan makhluk serta adat budaya.
Reviews
There are no reviews yet