Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia

MOHD. REDUAN ASLI berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dan Ijazah Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

DBP (Edisi Kedua Cetakan Kedua 2015)
315 halaman

RM30.00

Only 1 left in stock

Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia menghuraikan sejarah dan perkembangan parti-parti komunis di Malaysia yang merupakan ancaman utama terhadap keselamatan negara pada waktu dahulu. Malaysia, seperti negara membangun lainnya, terpaksa berhadapan dengan masalah keselamatan dalam negeri, iaitu ancaman daripada anasir yang berhasrat menumbangkan kerajaan dengan cara haram dan kekerasan.

Dalam hal ini, Malaysia pernah menerima ancaman daripada Parti Komunis Malaysia (PKM) dan Pertubuhan Komunis Sarawak (PKS) yang secara terus terang memperlihatkan keazaman mereka untuk merampas kekuasaan politik negara ini dengan keganasan bersenjata, seterusnya menubuhkan sebuah republik komunis di Semenanjung Malaysia dan Kalimantan Utara yang meliputi Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

Kerajaan Malaysia sentiasa meletakkan komunis sebagai ancaman utama kerana komunis bukan sahaja mahu menumbangkan kerajaan yang sah malah tidak pernah mengiktiraf kewujudan atau keabsahan kerajaan mahupun entiti Malaysia. Sesungguhnya, bumi Malaysia bukan merupakan tempat yang subur kepada faham komunisme, disebabkan penduduk tempatan tidak dapat menerima ideologi ciptaan Karl Marx.

Namun, dengan usaha segelintir daripada kaum imigran Cina ketika itu, komunisme berjaya mengembangkan pengaruhnya di negara ini. Matlamat komunis di negara ini, dengan dorongan kuasa besar komunis terutamanya menerusi Comintern (The Communist International), adalah untuk menumbangkan kerajaan di negara ini dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis di Semenanjung Malaysia dan di Sarawak. Kegiatan komunis di negara ini merupakan sebahagian daripada strategi kuasa komunis dunia dalam usaha mereka menegakkan kerajaan komunis di Asia Tenggara dan di seluruh dunia.

Pada tahap permulaan pergerakan komunis, PKM dan PKS berusaha mencapai matlamat perjuangan mereka menerusi Barisan Bersatu, yakni berjuang menerusi cara yang dibenarkan oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Akan tetapi, perjuangan secara aman dan berperlembagaan itu gagal oleh sebab ideologi dan pendekatan perjuangan mereka tidak mendapat sambutan rakyat. Kegagalan itu amat mengecewakan mereka. Justeru, mereka berasa bahawa matlamat perjuangan mereka hanya dapat dicapai dengan melancarkan perjuangan bersenjata seperti yang dianjurkan oleh Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong.

Percubaan pertama PKM untuk merampas kuasa politik negara ini melalui perjuangan bersenjatanya gagal kerana tidak mendapat sokongan rakyat terbanyak di samping faktor-faktor lain. Walaupun berjuang selama 12 tahun, PKM akhirnya mengalami kekalahan yang teruk hingga menyebabkan semangat perjuangan para pemimpin dan anggota PKM merosot. Walaupun begitu, mereka tidak mengaku kalah malah berazam untuk bangun semula dan meneruskan perjuangan mereka sehingga cita-cita untuk mendirikan sebuah republik komunis tercapai.

Apabila berasa diri mereka cukup kuat dan suasana tempatan dan antarabangsa memberi kedudukan yang lebih baik kepada perjuangan mereka, PKM sekali lagi melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1968. Dalam percubaan itu, PKM menggunakan strategi serampang tiga mata. Pertama, memperhebat keganasan bersenjata. Kedua, menggerakkan Barisan Bawah Tanah sebagai barisan penyokong. Ketiga, mengurangkan kegiatan Barisan Bersatu tetapi menggunakan barisan tersebut untuk menyokong Barisan Bawah Tanah.

Namun begitu, PKM lebih menitikberatkan perjuangan bercorak keganasan bersenjata untuk mencapai matlamat mereka. Langkah PKM melancarkan pemberontakan bersenjata itu kemudiannya diikuti pula oleh PKS yang menghidupkan semula kegiatan bersenjatanya mulai pada tahun 1969. Corak pemberontakan PKM dan PKS kali ini tidak banyak berbeza dengan corak pemberontakan pertama PKM. Dalam hal ini, strategi, taktik dan pendekatan yang digunakan oleh PKM dan PKS yang menjadi tumpuan penulisan buku ini.

Sesungguhnya pemberontakan kedua PKM dan PKS merupakan suatu persoalan yang masih kontemporari dan masih terlalu baru serta masih belum berakhir (walaupun pada masa ini PKM dan PKS telah berjaya dilemahkan), namun penulisan Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia bukanlah perkara yang mudah kerana penulis terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran yang kadangkala di luar kemampuan penulis untuk mengatasinya.

Sebagaimana penulisan buku yang lain, penulis juga ingin memaparkan segala fakta yang berkaitan dengan pemberontakan komunis ini dengan jelas, teratur dan meyakinkan. Akan tetapi, dalam usaha mengumpulkan fakta-fakta, penulis perlu memastikan terlebih dahulu segala fakta yang dikumpulkan itu betul dan bertanggungjawab. Oleh sebab ada antara fakta dan maklumat tersebut masih baru, masih digunakan oleh polis dalam melaksanakan operasinya untuk membanteras komunis dan demi untuk keselamatan ejen-ejen polis maka, maklumat ini masih diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun dalam bentuk apa jua. Justeru, banyak maklumat dan fakta yang diperoleh berkaitan dengan buku ini tidak dapat disiarkan kerana tarafnya yang masih rahsia.

Di samping itu, sebagai pegawai polis, penulis juga masih terikat dengan Akta Rahsia Rasmi. Akta tersebut menyekat penulis untuk mendedahkan segala fakta dan maklumat yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan kerana pensyarah juga tidak diberi pengecualian dan kuasa oleh akta tersebut untuk meneliti maklumat dan fakta dari fail-fail Cawangan Khas yang masih bertaraf rahsia.

Menghadapi dilema ini, penulis perlu berhati-hati dalam mengumpulkan dan menggunakan segala bahan yang akan dibentangkan dalam buku ini supaya tidak menyalahi peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi.

Ramai penulis dalam dan luar negeri telah menulis dan membukukan tentang pemberontakan pertama komunis di Tanah Melayu. Namun setakat ini, belum ada sebuah buku, atau rencana yang membicarakan tentang pemberontakan kali kedua PKM di Semenanjung Tanah Melayu dan pemberontakan PKS di Sarawak. Ketiadaan penulisan dan kajian tentang pemberontakan kedua itu bukan sahaja menyukarkan penulis mendapat fakta-fakta dan maklumat, tetapi penulis tidak mempunyai sebarang buku yang dapat dijadikan panduan dalam merangka, menyusun, menulis dan menyiapkan buku ini.

Dengan adanya masalah-masalah tersebut, penulis mengakui ada beberapa fakta dan maklumat yang dibentangkan dan dibincangkan dalam buku Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia tidak dapat disebut dan dinyatakan sumber-sumbernya kerana masih lagi tidak boleh didedahkan kepada pengetahuan umum.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang disebutkan tadi, penulis tetap berbangga kerana dapat juga menyiapkan dan menyempurnakan Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, sebuah penulisan tentang pemberontakan komunis di Malaysia secara menyeluruh yang juga meliputi pemberontakan komunis di Semenanjung dan di Sarawak. Kebanyakan penulisan dan kajian mengenai komunis sebelum ini hanya menumpukan tentang Darurat Pertama di Semenanjung Tanah Melayu dan sering mengabaikan pergerakan komunis di Sarawak. Oleh yang demikian, penulis cuba menghubungkaitkan sejarah pergerakan komunis di Semenanjung Tanah Melayu dengan Sarawak. Dengan ini, penulis berharap akan memudahkan orang awam memahami sejarah pergerakan dan ancaman komunis di seluruh Malaysia.

Meskipun begitu, penulis mengakui bahawa penulisan buku Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia tidak begitu terperinci dan mendalam tentang strategi, taktik dan cara-cara PKM dan PKS bertindak menerusi ketiga-tiga barisan mereka iaitu Barisan Tentera (gerila), Barisan Bawah Tanah dan Barisan Bersatu. Walau bagaimanapun, skop yang dibincangkan dalam buku ini dianggap memadai.

Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia dibahagikan kepada enam bab. Bab 1 membincangkan sejarah perkembangan komunis di Tanah Melayu sejak tahun 1920-an sementara Bab 2 membicarakan perkembangan komunis di Sarawak dari tahun 1940 hingga tahun 1963. Bab 3, meninjau persiapan yang dibuat oleh PKM dan tahun 1960 hingga 1967. Bab 4 menghuraikan tentang pemberontakan bersenjata komunis kedua di Tanah Melayu dan Bab 5, pemberontakan bersenjata oleh PKS di Sarawak. Bab 6 merupakan kesimpulan.

Weight0.38 kg
Dimensions14 × 1.7 × 21.5 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

4.7
Based on 3 reviews
5 star
66
66%
4 star
33
33%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Taha Arifin Bin mohamad sarip

    Please take review for Topic Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia

    (0) (0)
  2. MOHD SHAHRULNIZAM (Verified Reader)

    (0) (0)
  3. Lee Yoke Meng (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author

  • Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10

    Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10

    RM30.00
  • Pembanterasan Komunis

    Pembanterasan Komunis di Tanah Melayu

    RM40.00
  • Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
    Out of stock

    Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan

    RM35.00
  • PergeraPergerakan Bersenjata Parti Komunis Malayakan Bersenjata Parti Komunis Malaya

    Pergerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya, 1968-1989: Kebangkitan Semula dan Penumpasannya

    RM56.00
  • Paya Jejawi: Kajian Antropologi Politik
    Out of stock

    Paya Jejawi: Kajian Antropologi Politik

    RM60.00
  • Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu

    Darurat 1948-1960: Keadaan Sosial di Tanah Melayu

    RM45.00
  • Memoir Abdullah C.D. (Bahagian Pertama): Zaman Pergerakan Sehingga 1948 - REPRINT

    Memoir Abdullah CD (Bahagian Pertama): Zaman Pergerakan Sehingga 1948

    This product has multiple variants. The options may be chosen on the product page RM35.00RM45.00