Pemikiran Taṣawwuf Sunan Bonang (1450-1525M) mengkaji pemikiran tasawwuf Ibrāhīm bin Aḥmad Raḥmat Allah bin Ibrāhīm Zayn al-Akbar bin Jamal al-Dīn al-Husayn atau Sunan Bonang. Beliau adalah diantara ‘Waliyullah yang Sembilan’ (Wali Songo) yang mempelopori islamisasi di Jawa pada abad ke-15-16. Pemikiran dan ajaran Sunan Bonang dikaji dengan menggunakan teks Suluk Wujil. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji kembali sejarah Sunan Bonang, menghasilkan sebuah edisi kritis teks Suluk Wujil ini dan juga sebuah analisa dan terjemahan teks ini kepada bahasa Melayu buat kali pertama. Teks ini telah dikumpulkan daripada enam buah manuskrip yang berbeza. Teks kritis yang dihasilkan adalah dalam bentuk transliterasi tulisan rumi.
Dalam menjalankan kajian ini, terdapat sekurang-kurangnya 24 sumber-sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan Sunan Bonang telah dirujuk. Kajian ini menggunakan metode kajian kepustakaan yang merangkumi metode pengumpulan data dan analisa semantik. Terdapat enam kajian sarjana Orientalis dan sarjana tempatan di mana terdapat silang pendapat diantara mereka tentang sejarah Sunan Bonang dan ajarannya, kerana sumber rujukan terkandung mitos, legenda, yang kebenaran ceritanya sentiasa samar. Ajaran tasawufnya Sunan Bonang mengungkap dengan menggunakan simbol-simbol (nama tokoh, sangkar, burung, topeng, wayang, cermin dan bayangan) dan ini menimbulkan pentafsiran yang pelbagai dan sebahagiannya mengelirukan.
Sehingga sebahagian sarjana telah keliru dalam memahami dan menggambarkan ajaran tasawufnya kepada faham Manunggaling Kawula Gusti, Panteisme dan Monisme. Kajian ini telah mendapati bahawa pemikiran tasawuf Sunan Bonang adalah yang paling autoritatif menggambarkan ajaran Wali Songo di Jawa, dan ajarannya masih meneruskan tradisi ajaran aḥl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Karya ini diharapkan dapat memberikan gambaran sebenar ajaran tasawuf Sunan Bonang khasnya dan Walisongo amnya dan memelihara tasawuf yang mereka ajarkan daripada penyelewengan yang dilakukan oleh aliran kebatinan di Jawa.
Reviews
There are no reviews yet