Pengislaman dalam Kalangan Dusun Ranau (1940-1976) memperincikan peranan Pertubuhan Islam Bersatu Sabah (USIA) sebagai organisasi dakwah di Daerah Ranau. Kemuncak kepada penyebaran Islam di daerah ini ditandai dengan lahirnya pengelompokan dalam kehidupan beragama masyarakat Dusun Ranau. Gelaran “golongan tua” dan “golongan muda” mula digunakan dalam mengidentifikasikan kehidupan beragama masyarakat Dusun Ranau sehinggalah ke hari ini.
Buku ini pula dihasilkan dalam konteks yang berbeza dengan penulisan sedia ada berkenaan pengislaman masyarakat Dusun Ranau apabila mengaplikasikan pendekatan sejarah lisan sebagai sumber penambah kepada sumber dokumen sedia ada. Hal ini adalah wajar memandangkan masih banyak maklumat berharga berkenaan peristiwa tersebut yang tersimpan dalam ingatan individu pelakunya. Malahan, pendekatan ini memberi ruang kepada penulis untuk mempersembahkan maklumat dalam bentuk gambar sekali gus membantu dalam menerangkan setiap peristiwa yang diceritakan. Dengan kata lain, buku ini merupakan idea dan pemikiran yang dimiliki oleh masyarakat Dusun Islam Ranau dan dijelmakan dalam bentuk penulisan.
Penghasilan Pengislaman dalam Kalangan Dusun Ranau (1940-1976) hadir bersama-sama tiga matlamat utama yang cuba diketengahkan berkenaan penulisan sejarah pertapakan Islam dalam kalangan masyarakat Dusun Ranau. Pertama, mengetengahkan keperluan pengkajian semula pertapakan Islam dalam kalangan masyarakat peribumi Sabah yang sebelum ini kurang diketengahkan dalam penulisan sejarah Sabah khususnya melalui temu bual dengan pelaku-pelaku sejarah itu sendiri. Keadaan ini adalah relevan agar keterangan-keterangan yang bernilai sejarah kebangsaan tidak hilang untuk selama-lamanya. Usaha merakam dan mendokumentasikan sumber-sumber lisan adalah penting kerana dokumen sejarah akan terus kekal tetapi manusia yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal untuk selama-lamanya.
Kedua, mengangkat peranan golongan bawahan khususnya golongan buruh Indonesia dalam penyebaran Islam di Sabah. Hal ini kerana kebanyakan penulisan sejarah pertapakan Islam di Sabah masih bersifat “sejarah dari atas”, sekali gus menafikan peranan penting yang telah dimainkan oleh golongan bawahan sewaktu era kolonial. Justeru itu, penulisan sejarah “dari bawah” ini akan menjadikan sejarah pertapakan Islam di Sabah lebih “demokratik” sifatnya kerana turut mengangkat peranan golongan bawahan dalam peristiwa tersebut. Dalam konteks pengislaman masyarakat Dusun Ranau, peranan besar yang telah dimainkan oleh buruh dari Indonesia di estet getah akan diketengahkan dengan menonjolkan kejayaannya dan bagaimana pula pengislaman besar-besaran oleh USIA memberi impak besar kepada sosiobudaya masyarakat Dusun Ranau pada hari ini.
Ketiga, menyarankan agar pemikiran sarjana yang terlalu taasub kepada keberadaan sumber dokumen dalam penulisan pertapakan dan penyebaran Islam di Sabah diubah. Pemikiran yang melihat peristiwa pengislaman masyarakat Sabah hanya dapat ditulis berdasarkan sumber dokumen atau “no document, no history” kini tidak lagi relevan. Ternyata banyak maklumat berharga yang dimiliki masyarakat Sabah masih tersimpan bersama ingatan golongan tua khususnya pengislaman golongan minoriti semasa era kolonial Keadaan ini menyebabkan penulisan-penulisan sedia ada mengenai sejarah pertapakan dan penyebaran Islam dalam kalangan masyarakat Dusun Ranau masih kekurangan fakta mengenainya. Atas keperluan inilah, penulisan semula peristiwa pengislaman masyarakat Dusun Ranau perlu dilakukan agar penulisan yang bersifat kekinian dapat dihasilkan
Reviews
There are no reviews yet