Peranan Bugis dalam Politik Sabah bukan sahaja bermatlamat menelusuri sejarah penglibatan kumpulan etnik Bugis daripada persatuan bersifat sosiobudaya ke arena politik nasional, tetapi juga menekankan keperluan mendudukkan metode kelisanan dalam pendokumentasian sejarah politik Sabah. Penglibatan etnik Bugis sudah dimulakan sejak gagasan Malaysia disuarakan dan tersimpan dalam bentuk “kolektif memori” sebagai pengalaman hidup yang akhirnya kelak mempengaruhi hala tuju politik golongan mudanya pada masa kini. Pada masa yang sama, kedinamikan politik Bugis yang berpayung di bawah tonggak Melayuisme sekian lama dianggap sebagai kelompok minoriti dan kelas kedua dapat dialihkan dari “pinggiran” ke “pusat” turut diwacanakan dalam buku ini. Dalam konteks real politic pula, adalah tidak berlebihan untuk menyatakan bahawa kehadiran buku ini berjaya membuktikan pengaruh geopolitik kumpulan etnik Bugis dalam mencorakkan perubahan kepimpinan atau menentukan pembentukan Kerajaan Negeri Sabah pada setiap pilihan raya yang diadakan.
Buku ini menempatkan sebuah perbahasan yang menarik dan unik dengan cirinya yang tersendiri serta menjadi “benang merah” kepada penulisan sedia ada berkenaan komuniti Bugis di Sabah. Hal ini demikian kerana ruang lingkup dan tema yang diketengahkan merupakan suatu aspek yang kurang diperhatikan dalam kalangan saintis sosial dan kemanusiaan, tetapi diakui mempunyai aspek signifikan untuk dikaji dan didokumentasikan. Atas keperluan tersebut, kehadiran buku ini bukan sahaja menempatkan sejarah penglibatan politik etnik Bugis sejak era kolonial, tetapi juga kesinambungannya dalam politik moden Sabah. Keadaan ini disebabkan penglibatan komuniti Bugis Sabah dalam pentas politik negeri tidak dapat difahami sekiranya telusuran tentangnya hanya dilakukan dalam konteks masa kini. Sedangkan, pembentukan literasi dan kesedaran berpolitik dalam kalangan komuniti Bugis adalah melalui proses evolusi dan setiap daripadanya menentukan pemahaman yang berbeza tentang politik. Dengan itu kelak, adalah tidak menghairankan sekiranya buku ini mampu memperlihatkan tentang sejarah, literasi dan kekuatan sokongan politik komuniti Bugis dalam menentukan kejayaan seseorang ahli politik mahupun parti yang akan menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk Kerajaan Negeri.
Sejarah membuktikan bahawa sejak awal kedatangan etnik Bugis di Sabah, ia lebih dipengaruhi oleh keperluan untuk melarikan diri daripada pemberontakan atau peperangan di Sulawesi serta memenuhi budaya merantau bagi mengubah kehidupan dan “mencari nafkah” di tempat baharu yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan penghijrah ini yang tidak memikirkan untuk menetap kekal di tempat baharu, sebaliknya hanya untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga sebagai modal untuk membangunkan kehidupan di tempat asal. Oleh itu, kelompok terawal ini kurang berminat untuk mendapatkan tanah yang mudah diperoleh daripada pemerintah kolonial dan terdapat pula yang mengabaikan tanah pemberian kerana pulang semula ke Sulawesi. Pemikiran ini hanya berubah dengan kemunculan Puado, Daeng Mapata dan pemuka lainnya yang mula menitikberatkan pemilikan tanah untuk diusahakan dan semakin membesar dalam kalangan generasi tahun 1960-an. Pada masa sama, generasi baharu ini juga mempunyai orientasi yang berbeza berbanding generasi sebelumnya apabila merasakan Sabah sebagai tanah tumpah darah mereka, manakala wilayah Sulawesi sekadar sebahagian daripada sejarah dan budaya leluhur kumpulan etniknya.
Meskipun etnik Bugis sering dianggap sebagai pendatang dan skeptisme masyarakat peribumi terhadap keberadaan mereka di Sabah tidak pernah dileburkan, kumpulan etnik tersebut tetap bertahan dan sentiasa mendukung matlamat kebangsaan untuk merealisasikan bangsa idaman di Malaysia. Oleh itu, etnik Bugis Sabah sentiasa sedar diri tentang keterkaitan mereka dengan wilayah Sulawesi, Indonesia, tetapi tidak pula mengecilkan sifat ketaatan dan kecintaan mereka kepada negeri ini. Makanya, etnik Bugis secara berevolusi mentransformasikan diri mereka bersesuaian dengan falsafah kebangsaan dan mengikuti keteraturan kehidupan bermasyarakat dalam kalangan rakyat Sabah kerana percaya kerasionalan pepatah Melayu bahawa “di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung”. Pada masa yang sama, nilai siri na pesse yang sentiasa menjadi pegangan dan keteguhan peribadi telah menunjang kumpulan etnik ini untuk berhadapan dengan sebarang cabaran serta rintangan yang perlu ditempuhi. Tambahan pula, sejarah panjang etnik Bugis yang sudah berdiaspora hampir ke seluruh pelosok dunia mengubah tanggapan generasi baharu yang melihatnya bukan sebagai kelemahan, tetapi juga sebagai kekuatan. Malahan, di belahan dunia termasuklah di Sabah yang menempatkan keberadaan masyarakat peribumi akhirnya terpaksa akur dan menerima komuniti Bugis sebagai sebahagian daripada kumpulan etnik yang turut memberi sumbangan kepada perkembangan negeri yang mereka duduki.
Hussnie bin Samsuddin (Verified Reader) –
Fast and easy to deal