Perihal Keintelektualan dan Kepengarangan dalam Teks Tradisional

Disunting oleh NOR HASHIMAH JALALUDDIN

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 2013)
290 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM35.00

Only 1 left in stock

Perihal Keintelektualan dan Kepengarangan dalam Teks Tradisional menghimpunkan pandangan dan kupasan ilmiah daripada pelbagai perspektif tentang teks tradisional Melayu meliputi pandangan linguis, ahli sastera, ahli undang-undang, pengkritik politik dan ahli bahasa Arab. Teks tradisional Melayu yang menjadi bukti ketamadunan Melayu telah mendapat perhatian ramai sarjana baik dari dalam mahupun luar negara. Meskipun telah berabad teks-teks ini dihasilkan, namun kecenderungan pengkaji untuk meneliti dengan lebih mendalam khazanah yang terkandung dalam teks-teks ini tidak pernah luntur. Himpunan risalah dalam buku ini membuktikan bahawa teks tradisional boleh dikaji bukan sahaja daripada perspektif kesusasteraan tetapi juga linguistik, undang-undang dan politik. Kali ini teks-teks tersebut dianalisis daripada dua tema besar. Kedua-dua tema tersebut ialah keintelektualan dan kepengarangan. Keintelektualan merujuk kepada kebijaksanaan Melayu yang dipaparkan dalam teks.

Kebijaksanaan bukan sahaja terhad kepada individu tetapi juga pengurusan dan hal ehwal pentadbiran negara. Oleh sebab itulah buku ini telah menonjolkan tentang kebijaksanaan Sultan Melaka mentadbir negeri sehingga menjadikan Melaka negeri yang gagah, mewah dan terkenal. Pada masa yang sama, Melaka menjadi entrepot yang sibuk, menjalin hubungan perdagangan dan diplomatik dengan negara luar yang akhirnya berjaya menjadi empayar yang disegani. Pada masa ini juga tergubalnya Undang-Undang Melaka dan wujudnya seorang Laksamana yang bersifat ‘adimanusia’ iaitu Hang Tuah yang turut sama mencemerlangkan empayar Melaka. Tulisan mengenai keintelektualan ini dapat dilihat dalam enam bab yang pertama.

Bahagian kedua adalah berkenaan kepengarangan Melayu. Terdapat lapan bab yang membincangkan tentang kepengarangan Melayu. Apa yang menarik, kebanyakan bab telah menjadikan Islam sebagai asas perbincangan yang dihubungkaitkan dengan kepengarangan itu sendiri. Perspektif Islam dan teks belum pernah dikaji dengan mendalam, tetapi buku ini telah dapat mengupas perkaitan antara dua perkara ini dengan baik. Banyak peristiwa yang dilakarkan dalam teks-teks tradisional ini dapat dicabar nilai keislamannya. Kita pasti bahawa teks-teks ini ditulis selepas kedatangan Islam.

Sebelum Islam, tanah Melayu banyak dipengaruhi oleh Hindu. Kesannya, wujud percampuran tatasusila dan pegangan antara dua pengaruh ini. Contohnya perihal pengembaraan alam barzakh oleh Hang Tuah, perjumpaan dengan malaikat, bermimpi bertemu Rasulullah, dan banyak lagi peristiwa dapat disanggah nilai keislamannya. Jika selama ini kebanyakan pengarang menumpukan kepada konsep daulat dan derhaka tetapi kali ini perbincangan dikupas daripada perspektif adakah pengarang dapat mematuhi prinsip, etika Islami yang sepatutnya wujud dalam teks-teks ini.

Bahagian kepengarangan juga menyentuh tentang emosi. Bagaimanakah emosi ditenunkan ke dalam teks-teks ini. Nilai sesuatu teks akan lebih tinggi jika pengarang dapat menyelitkan unsur emosi sehingga pembaca dapat turut sama merasakan apa yang hendak disampaikan oleh pengarang. Tiga jenis emosi telah dibincangkan iaitu suka, duka dan dendam. Emosi yang disampaikan sama ada secara eksplisit mahupun implisit telah memberikan gambaran tentang mesej yang hendak disampaikan. Kita dapati emosi suka mengatasi duka. Ini sesuai dengan salah satu tujuan penghasilan teks adalah untuk memberikan hiburan kepada pembaca. Emosi dendam adalah untuk menunjukkan darah keperwiraan yang ada pada watak dan boleh menjadi iktibar dan sempadan kepada segala tingkah laku kita di hari muka.

Senarai Jadual dan Rajah
Prakata
Pendahuluan

BAB 1 Konsep Perpaduan ‘Raja Payung Negara’ dalam Teks Tradisional: Analisis Linguistik
Nor Hashimah Jalaluddin, Zaharani Ahmad

BAB 2 Hang Tuah Model Ulung Melayu Nusantara
Nor Hashimah Jalaluddin

BAB 3 Bahasa dan Urus Tadbir Pengurusan Perniagaan Melayu Zaman Tradisional
Nor Hashimah Jalaluddin, Zaharani Ahmad

BAB 4 Undang-undang Perdagangan dalam Hukum Kanun Melaka: Perbandingan dengan Undang-undang Perdagangan Malaysia
Rahmah Ismail

BAB 5 Etnosentrisme Melayu dalam Hikayat Hang Tuah
Zubir Idris

BAB 6 Hak, Kebebasan dan Keadilan dalam Budaya Politik Melayu
Nidzamuddin Sulaiman

BAB 7 Pemetaforaan Mitos: Kebijaksanaan Pengarang Melayu Tradisional Memahami Khalayak
Maizura Osman, Nor Hashimah Jalaluddin

BAB 8 Dakwaan ‘adaptasi’ dan ‘kejahilan’ Pengarang Hikayat Melayu Tradisional: Satu Sanggahan Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa
Zulkarnain Mohamed, Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Ruzy Suliza Hashim, Nor Hashimah Jalaluddin

BAB 9 Konsep Kepatuhan dan Aplikasinya dalam Hikayat Hang Tuah: Satu Analisis Menurut Perspektif Islam
Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Zulkarnain Mohamed

BAB 10 Pemanfaatan Sumber Islam dan Aplikasinya dalam Hikayat Hang Tuah
Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Zulkarnain Mohamed

BAB 11 Persoalan Amanah Khilafah dalam Hikayat Hang Tuah
Zulkarnain Mohamed, Ungku Maimunah Mohd. Tahir

BAB 12 Antara Adat dan Islam: Wanita Melayu di dalam Sastera Istana
Ruzy Suliza Hashim

BAB 13 Paparan Kegembiraan dan Kesedihan dalam Teks Tradisional: Analisis Semantik Kognitif
Nor Hashimah Jalaluddin, Zaharani Ahmad

BAB 14 Pemetaforaan Emosi Dendam dalam Hikayat Hang Tuak: Satu Analisis Teori Hibrid
Rozaimah Rashidin, Nor Hashimah Jalaluddin

Rujukan
Indeks

Weight0.425 kg
Dimensions22.9 × 15.2 × 1.5 cm
Author(s)

, , , , , , , , ,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.