Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun atasi Amerika Syarikat membawakan suatu tesis khusus iaitu para helang di China telah berhasil mempengaruhi kepimpinan China untuk memandang Amerika Syarikat sebagai hegemon berbahaya yang harus diganti. Menerusi kerja-kerja perisikan, penulis telah menemui beberapa buah cadangan yang diberikan oleh para helang (ying pai) kepada para pemimpin China supaya menipu dan memperdayakan para pemimpin Amerika bagi mendapatkan bantuan risikan dan ketenteraan, teknologi, dan ekonomi. Penulis mendapat tahu bahawa para helang ini memang giat menasihati para pemimpin China sejak zaman Mao Zedong lagi. Matlamat mereka adalah untuk membalas dendam yang sudah ditanggung sejak satu abad, dan mengambil alih kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi, ketenteraan, dan politik dunia pada tahun 2049 (ulang tahun keseratus Revolusi Komunis).
Rancangan tersebut dikenali sebagai “Strategi Rahsia China.” Para pemimpin Parti Komunis sudah menjalankan rancangan ini sejak mula menjalinkan hubungan dengan Amerika Syarikat lagi. Tujuan mereka adalah untuk menuntut bela atau “membersihkan” (xi xue) segala penghinaan yang dilemparkan oleh kuasa asing terhadap mereka pada masa lalu. Selepas itu, China akan memperkenalkan sebuah tatanan dunia yang memihak kepada mereka sebuah dunia tanpa kekuasaan global Amerika—dan mengubah tatanan ekonomi dan geopolitik pro-A.S. yang diasaskan di Bretton Woods dan San Francisco pada penghujung Perang Dunia II. Para helang merasakan bahawa projek ini hanya dapat dilakukan dengan tipu muslihat, atau setidak-tidaknya dengan menyembunyikan rancangan besar mereka.
Pemerintah China sudah lama berpura-pura menjadi sebuah bangsa yang mundur dan memerlukan bantuan untuk “bangun secara aman.” China telah menafikan dakwaan bahawa mereka ingin memerintah dunia—atau berperang dengan Amerika Syarikat. Malah, dalam Perlembagaan Republik Rakyat China sendiri telah termaktub larangan untuk bangsa itu menjadi penguasa dunia.” Para pemimpin China sendiri sering menegaskan bahawa “negara itu tidak akan menjadi sebuah negara penguasa. Dengan kata lain, China akan menjadi bangsa yang paling berkuasa, tetapi tidak menguasai mana-mana pihak atau cuba untuk mengubah apa pun. Walau bagaimanapun, kita tidak memiliki kerangka rancangan mereka itu. Malah, China mengatakan bahawa mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apa rancangan. Mereka hanya mahu mengembalikan China ke pentas dunia seperti tiga ratus tahun dahulu, ketika negara itu menguasai satu pertiga ekonomi dunia. Menurut para helang, pada tahun 1949, China setidak-tidaknya akan menjadi dua kali lebih kuat daripada Amerika Syarikat.
Hussnie bin Samsuddin (Verified Reader) –
Prompt delivery..