Syair Siti Zubaidah Perang China: Perspektif Sejarah menceritakan keberanian dan ketabahan seorang wanita zaman silam dalam memerangi ketidakadilan dan menegakkan kebenaran. Fakta dan peristiwa sejarah digali oleh penulis buku ini supaya kita lebih memahaminya selain menikmati keindahan syair ini sebagai penglipur lara. Syair Siti Zubaidah Perang China termasuk dalam genre yang sama dengan syair yang lain seperti Syair Perang Mengkasar atau Syair Sultan Maulana. Syair ini mengandungi cerita hikayat atau peristiwa sejarah seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Banjar, atau Sejarah Melayu.
Sudah ramai orang membicarakan Syair Siti Zubaidah Perang China dari sudut sastera; dari segi tema, motif, plot, perwatakan, latar dan gaya bahasa tetapi agak kurang orang membicarakan dari sudut sejarah atau peristiwa sejarah kerana sukar untuk memperoleh fakta sejarah atau peristiwa sejarah. Namun begitu, jika diteliti syair ini banyak mengandung peristiwa sejarah dan justeru kajian ini cuba mengorek dan menggali rahsia yang tersembunyi di sebalik kata-kata dan bahasa syair yang begitu indah supaya kita dapat memahaminya dengan lebih terang daripada hanya sekadar kita merasakan keindahan syair ini sebagai penglipur lara semata-mata.
Syair ini mempunyai jalinan dan lapisan cerita yang panjang dengan beberapa peristiwa yang dapat dikaitkan dengan sejarah. Nama-nama tokoh dan negeri seakan-akan membawa kita kepada nama tokoh dan negeri asing seperti nama raja Darman Syah, Sultan Zainal Abidin, Siti Zubaidah, Jaafar Siddik, Umar Baqi, Abdullah Sani, Muhamad Mahyuddin, Pendeta Ulama, Mohamad Tahir, Puteri Kilan Cahaya, Kilan Syamsu dan lain-lain, begitu juga dengan nama-nama negeri seperti Kembayat Negara, China, Irakan Kistan, Hindustan, Parsi, Yaman, Yunan, Manggala, Balistan, Pulau Peringgi dan lain-lain. Semuanya itu amat sukar bagi kita mengetahui di mana letak lokasi geografinya. Apalagi selama ini apabila menyebut negeri Kembayat orang segera terbayang dengan nama Cambay di India dan apabila menyebut Irakan Kistan segera pula kita kaitkan kepada negeri Irak, Hindustan kepada India, Parsi kepada negeri Parsi begitu juga dengan Yaman, Yunan dan Balistan.
Sementara itu negeri Manggala mengingatkan kita dengan negeri Benggala, lebih membingungkan lagi apabila menyebut Perang China, orang akan segera merujuk kepada negeri China. Sebenarnya nama-nama negeri itu berada di Alam Melayu atau di Semenanjung Asia Tenggara. Semua perkataan Melayu itu membawa kita kepada Alam Melayu dan apabila dikaitkan dengan medan perang yang terjadi di Kembayat Negara dan di negeri China yang bersempadan dengan Yunan, terasalah bahawa perang itu terjadi dalam wilayah Alam Melayu bukan di negeri China tulen (proper China) atau lebih tegas lagi ia dapat dikatakan terjadi di Semenanjung Indochina (Semenanjung Asia Tenggara) apalagi apabila disebut suasana kehebatan perang itu sama dengan suasana yang pernah terjadi dalam angkatan perang Maharaja Suran melanggar China, dalam Sejarah Melayu disebut “Maharaja Suran melanggar negeri China” dan Maharaja Suran atau Surendra itu tak lain ialah raja Negara Javaka yang terletak di Semanjung Malayu dan Segenting Kra pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.
mohd azreen mohd ariffin (Verified Reader) –