Wanita dalam Karya Hamzah Hussin dari Perspektif Kritikan Feminis membawa pembaca ke dekad awal, iaitu ketika wanita tidak diberi kebebasan dalam banyak hal. Mereka dipingirkan setelah menjelang dewasa dan tidak diberikan alternatif untuk menentukan masa hadapan sendiri. Wanita tidak diberikan peluang untuk menerima pendidikan formal, dikahwinkan dalam usia yang muda dan tidak berpeluang memilih pasangan hidup. Hamzah Hussin telah menterjemahkan situasi ini lewat cerpen dan novelnya.
Namun, wanita dipotretkan agak keterlaluan kerana Hamzah telah memperbesar isu terpencil dalam kehidupan wanita. Kehidupan sebagai gadis, isteri dan janda dieksploitasi sehingga kebanyakan daripada mereka membawa imej tidak bermoral, tidak ada kekuatan diri dan pelbagai lagi pemerian yang berbau negatif. Sesungguhnya Hamzah mempunyai tanggapan yang tersendiri. Di sebalik pancuan yang tidak menyenangkan terhadap wanita, Hamzah turut memperlihatkan imej wanita yang disenangi oleh masyarakat ketika itu menurut anggapannya.
Hamzah Abdul Majid bin Hussin atau lebih dikenali sebagai Hamzah Hussin merupakan pengarang tersohor dalam dekad 1940-an dan 1950-an. Nama beliau kemudiannya tenggelam apabila beliau tidak bersetuju dengan slogan ‘Seni Untuk Masyarakat’ yang dijadikan tonggak Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS 50) dan seterusnya menarik diri daripada pertubuhan itu. Nama beliau semakin menjauh dari arus perdana kesusasteraan tanah air setelah beliau beralih arah ke dunia perfileman. Sebenarnya, sumbangan beliau dalam pertumbuhan, perkembangan dan kelangsungan kesusasteraan Melayu tanah air tidaklah sedikit. Justeru, buku ini mengimbas kembali sumbangan Hamzah dalam bidang kesusasteraan.
Bab pertama buku ini akan memperkenalkan Hamzah kepada khalayak dengan lebih dekat lagi. Menelusuri bab ini, khalayak akan menyedari betapa penting dan wajarnya karya-karya beliau diberi perhatian oleh pengkaji, penyelidik dan penggiat kesusasteraan.
Bab kedua buku ini merupakan gambaran senario persepsi masyarakat terhadap wanita, khususnya dalam era penulisan Hamzah. Bab ini akan menjadi sandaran kepada pemerian watak wanita yang ditampilkan oleh Hamzah dalam novel dan cerpen beliau. Bab ini penting kerana ia menjelaskan bahawa persepsi Hamzah dalam keseluruhan pemerian watak wanitanya adalah berdasarkan hal sebenar walaupun watak sedemikian hanyalah segelintir sahaja.
Bab ketiga pula memperlihatkan tanggapan kritikan feminis terhadap penampilan watak wanita secara keseluruhannya. Melalui pendekatan feminist critique, penulis lelaki dirumuskan telah menampilkan watak wanita yang serba kekurangan melalui karya mereka. Pada keseluruhannya, buku ini membincangkan persepsi Hamzah terhadap watak wanita berlandaskan pandangan feminist critique.
Perbincangan sebenar Wanita dalam Karya Hamzah Hussin dari Perspektif Kritikan Feminis hanyalah bermula dalam Bab 4, 5, 6 dan 7. Bab 4 merumuskan bahawa Hamzah telah memberi tanggapan yang negatif terhadap wanita dengan menampilkan mereka sebagai objek seks. Bab ini memperlihatkan bahawa wanita dalam karya Hamzah mudah terjerumus dalam gejala sosial dan tidak berusaha untuk menjadi wanita yang bertanggungjawab.
Bab 5 juga turut memperlihatkan persepsi Hamzah yang kurang menyenangkan terhadap wanita. Wanita pada pandangan pengarang ini merupakan golongan yang lemah yang memerlukan pergantungan dan perlindungan khususnya daripada patriarki.
Bab 6 masih berlegar tentang sikap wanita yang tidak memberangsangkan. Hamzah mendapati bahawa wanita cenderung bertindak di luar rasional dan tidak realistik apabila ingin berubah atau mengikut peredaran masa. Selain menampilkan pelbagai kerenah kelemahan wanita, Hamzah turut mengutarakan personaliti wanita yang disenangi. Hal ini termuat dalam Bab 7. Namun, sanjungan ini adalah berbau patriarki. Hamzah cuba menjadikan patriarki sebagai ketua dan pelindung kepada wanita.
Pada keseluruhannya, Wanita dalam Karya Hamzah Hussin dari Perspektif Kritikan Feminis merumuskan bahawa pandangan kritikan feminis ada benarnya; penulis lelaki telah merendahkan martabat dan keupayaan watak wanita melalui karya mereka. Buku ini secara jelas mendedahkan bahawa Hamzah telah memotretkan watak wanita yang sedemikian dengan cara dan alasannya tersendiri. Maka, jelaslah bahawa Hamzah merupakan antara penulis lelaki yang telah merendahkan martabat wanita.
Reviews
There are no reviews yet