Warisan Iranun: Corak dan Ragam Hias Objek dan Budaya merupakan sebuah kajian ikonografi yang menganalisis seni percorakan dan ikon daripada suku kaum khususnya merujuk objek budaya Iranun daerah Kota Belud di Sabah. Iranun berasal dari kata dasar ranun yang bermaksud perasaan kasih sayang, cinta, rindu dan keprihatinan. Apabila ditambah dengan imbuhan “i”, ia menjadi gabungan kata Iranun, yang bermakna “berkasih-kasihan”. Istilah Iranun juga merujuk “The people of the beloved place”, iaitu perasaan rindu kepada kampung halaman dan kepada orang-orang yang tercinta. Meskipun Iranun dikenali dengan beberapa nama seperti Iranon, Irranun, Illanun, Ilanun, Iranon-Meranao atau Meranao, namun istilah ini masih merujuk kaum yang sama. Teori kewujudan nama (Iranun-Meranao) adalah akibat persaudaraan yang amat rapat antara masyarakat Iranun dengan Meranao yang mendiami kepulauan Mindanao. Hubungan itu dikaitkan dengan bahasa, kebudayaan, tatasusila dan adat resam yang sama. Kedua-dua masyarakat ini sukar dibezakan. Istilah Iranun lebih tepat untuk merujuk masyarakat Iranun yang tinggal di negeri Sabah. Beberapa faktor yang dominan dapat membincangkan kehadiran kaum Iranun di Sabah.
Faktor tersebut dikaitkan dengan politik dan keselamatan, kegiatan pelayaran, perdagangan serta tarsila Iranun. Kebanyakan penulis sependapat mengenai masyarakat Iranun di Sabah berasal dari Mindanao. Kaum Iranun dipercayai menyelamatkan diri daripada sentimen pemerintahan Sepanyol Filipina dan bencana alam yang sering melanda di Selatan (Banker, 1984:67). Kumpulan etnik Iranun dipercayai tiba di Sabah sekitar tahun 1750-an serta tinggal di beberapa tempat seperti di Tempasuk dan Tuaran Pandasan, Teluk Marudu dan Sungai Tungku. Menurut Tarsila (salasilah) Iranun, kedatangan mereka ke Borneo bermula sejurus Sultan Brunei meminta bantuan daripada Sultan Kudarat di Ramitan” pada abad ke-17. Pasukan tentera telah dihantar untuk membantu memadamkan pemberontakan yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan orang-orang yang tidak menerima pemerintahan Sultan Brunei di Borneo. Dikatakan, sebanyak 12 perahu pahlawan Iranun telah dihantar untuk membantu Sultan Brunei untuk memadamkan pemberontakan tersebut. Setiap perahu mengandungi jumlah seramai 40 pahlawan, menjadikan kesemuanya 480 orang. Selepas pemberontakan dibanteras, Sultan Brunei menawarkan petempatan kepada pengikut Sultan Kudrat di kepulauan Borneo. Mereka telah menerima tawaran tersebut dan memilih penempatan di Tempasuk, Tungku dan Tbok (Kudat).
Kajian ikonografi ini dapat menjelaskan makna bentuk dan ragam hias, motif, warna, rupa, bentuk dan corak. Perlambangan dalam ragam hias dapat dilihat daripada konteks sosial, budaya dan adat dalam masyarakat. Ikon biasanya membawa pengertian yang lebih meluas jika dihuraikan secara menyeluruh sehingga memberikan gambaran tentang kepercayaan dan budaya masyarakat. Sebagai contoh, imej-imej visual adalah hasil transformasi daripada aktiviti dan perlakuan. Interpretasi tentang ikon visual tersebut melibatkan pengetahuan tentang tatabahasa atau elemen seni visual. Penyataan ikon di atas melihat hubungan tanda dengan maksud yang disampaikan. Maksud tersirat yang disampaikan dapat difahami akibat keserupaan antara imej motif dan paparan objek Sebagai contoh, lukisan dan kraf memiliki hubungan ikonik dengan struktur dan paparan imej (ragam hias) pada permukaan objek. Keserupaan yang dipancarkan oleh imej-imej tersebut membolehkan pengkaji membuat tafsiran secara ikonografi. Penggunaan ikon dalam kehidupan bersifat sebagai simbol, kod dan petunjuk bagi memudahkan terjemahan makna dan komunikasi.
Reviews
There are no reviews yet