Buku Kita dengan Islam; Tumbuh Tiada Berbuah ini telah diterbitkan pertama kali pada tahun 1979 di Singapura, tetapi masih relevan bagi masyarakat Islam hari ini. Dalam buku ini, Alatas memberikan fokus pada peranan Islam sebenarnya dalam kemajuan masyarakat. Beliau menyelidiki makna kemajuan dan mengenal pasti beberapa halangan kepada kemajuan masyarakat Islam. Selain itu, Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah juga menyeru supaya masyarakat Islam menyedari segolongan pemikir yang terdiri daripada manusia baharu ini, kerana tanpa mereka, masalah masyarakat Islam seperti kemunduran ekonomi dan sosial,rasuah, dan ekstremisme akan berterusan.
Sembilan karangan yang telah dikumpulkan dalam Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah merupakan usaha sedikit demi sedikit menerbitkan karangan-karangan penulis tentang Islam semenjak tiga puluh tahun dahulu. Yang dikumpulkan di sini merupakan sebahagian daripadanya sejak tahun 1957. Oleh sebab kesibukan mengajar di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Singapura, dan penyiasatan dalam lapangan ilmu masyarakat, maka tiadalah dapat penulis mencurahkan seluruh waktu dan tenaga bagi menerbitkan segala karangan beliau yang telah terbit di berbagai-bagai negeri. Antara karangan beliau yang telah terbit di Indonesia, penulis sedari hanya ada satu daripadanya. Ini juga merupakan satu persoalan untuk mendapatkannya kembali. Namun demikian, penulis akan memaksa diri menerbitkannya setiap tahun.
Bukan kerana hal ini penulis anggap kurang penting. Waktu dan tenaga yang ada masih diperlukan untuk membuat karangan-karangan yang baharu. Yang sudah terbit terpaksa menunggu dibukukan. Selain itu, adalah baik jika seorang pengarang itu tidak terburu-buru dalam menerbitkan karyanya. Waktu dan keadaan akan menjelaskan padanya, bagaimana benar atau tidak, apa yang telah dihidangkan dahulu itu. Jika dengan berjalannya masa, diketemui beberapa kekurangan, maka ini hanya akan memberikan manfaat kepada pengarang sendiri. Setelah merenungkan apakah tujuan beliau menulis, maka jelaslah bagi penulis bahawa yang ditaja itu adalah membantu proses melahirkan manusia Islam yang baharu. Manusia Islam yang lama, yang masih terdapat pada zaman kita sekarang, tidak dapat membawa umat Islam ke arah kemajuan. Persoalan ini telah dirasai paling sedikit semenjak dua ratus tahun dahulu, sebagaimana ternyata dari sejarah Turki, di mana persoalan ini mula timbul.
Siapakah manusia Islam yang lama itu? Manusia Islam yang lama itu adalah mereka yang tidak sanggup menerima kemajuan pemikiran zaman sekarang, tidak sanggup membuka pintu ijtihad, tidak sanggup berhujah dengan tenang dan tepat, tidak sanggup melepaskan dirinya daripada kongkongan pemikiran kuno. Apakah kesanggupan mereka? Berteriak sekuat-kuatnya, hingga ketiaknya basah, bahawa kita sekalian mesti kembali kepada al-Qur’an dan hadis, bahawa kita mesti menegakkan Syariat Islam, bahawa kita mesti memperkuat iman, dan bahawa kita mesti tunduk kepada pendapat-pendapat yang lampau. Yang mereka tidak faham adalah tujuan itu semua, yang tidak diragukan oleh tiap-tiap seorang Islam yang sedar, memerlukan pemikiran yang dalam, yang berdasarkan tas ilmu pengetahuan zaman sekarang dan keperluan hidup zaman sekarang. Kembali kepada al-Qur’an, kita semua setuju, tetapi bagaimana kita menjalankannya? Kembali pada hadis, kita semua setuju, tetapi hadis yang mana? Menegakkan Syariat Islam? Hukum yang mana?
Mereka yang berteriak tentang hal ini, sebagai Maulana Abul Ala al-Maudoodi dari Pakistan, menganggap seolah-olah apa yang dituju oleh mereka itu sudah nyata benar dan berdasarkan atas Islam. Teriakan Maulana Maudoodi kita kembali ke al-Qur’an dan hadis, sebagai tujuan umum semata-mata, tidak akan kita bantah. Memang ini sudah menjadi tujuan umat Islam seluruhnya. Tetapi apakah maksud Maulana Maudoodi sebenarnya? Apakah yang diertikan perintah al-Qur’an?
Di sini kemusykilan penulis timbul. Beliau menganggap perintah al-Qur’an supaya kaum wanita jangan turut dalam pilihan raya untuk parlimen. Dalam cadangannya kepada Perhimpunan Perlembagaan Pakistan (Constituent Assembly of Pakistan), yang dimajukannya pada tahun 1952, Maulana Maudoodi mengatakan demikian: “Mengenai pemilihan (election) kaum wanita ke badan-badan perundangan, ini betul-betul melanggar jiwa dan ajaran-ajaran Islam, dan ia hanya satu tindakan buta mengikut Barat. Menurut Islam, politik aktif dan pentadbiran bukanlah urusan kaum wanita. Ia dalam lingkungan tanggung jawab kaum lelaki.” Menurut Maulana Maudoodi al-Qur’an dan sunnah rasul melarang perempuan menduduki jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam kerajaan.
Demikian juga Tuhan telah memerintahkan purdah, sistem pemisahan masyarakat antara lelaki dan perempuan. Sistem purdah ini sekarangnya berlaku di Saudi Arabia. Yang menjadi persoalan bukanlah ajaran al-Qur’an tetapi pandangan tentang Islam keseluruhannya daripada mereka yang berteriak kembali kepada al-Qur’an dan hadis. Pentafsiran ayat al-Qur’an dan hadis merupakan persoalan yang penting sekali. Penulis telah majukan kembali pada hadis yang mana?
Ambillah contoh lagi daripada Maudoodi. Beliau telah mengemukakan satu hadis daripada kitab Bukhari dan Muslim, yang melarang memberikan jabatan kepada mereka yang mengejarnya. Memang hadis ini benar dan berlaku bagi jabatan tertentu, tetapi tidaklah untuk semua jabatan. Sistem permohonan bagi berbagai-bagai jawatan kerajaan dan lainnya adalah sistem yang adil pada Umumnya, walaupun ada beberapa jabatan yang tidak patut diiklankan.
Satu lagi persoalan dalam masyarakat Islam adalah mereka yang bertepuk rebana berteriak tentang Islam sangat terbatas pemikirannya kerana tidak meliputi soal-soal besar. Persoalan yang besar sekali dewasa ini adalah mempersiapkan masyarakat Islam untuk memandu proses memilih pengaruh-pengaruh Barat dengan teliti dan saksama. Pengaruh ilmu pengetahuan, teknologi, dan pendapat-pendapat lainnya dari Barat banyak yang berguna dan benar-benar diperlukan oleh masyarakat Islam.
Sebaliknya ada juga pengaruh Barat yang berbahaya bagi dunia Islam dan negara-negara membangun umumnya. Sebagai contoh faham relativisme, yang telah penulis bahaskan dua puluh dua tahun dahulu, dimuatkan dalam Bab 1. Demikian juga aliran nihilisme, iaitu lenyapnya kepercayaan terhadap apa yang patut mengikat hidup manusia, aliran falsafah yang berdasarkan benda, sebagai Marxisme dan lain-lain, aliran yang berdasarkan akal sewenang-wenang, dan sebagainya. Bagi menguatkan diri kita, mustahaklah kita memperdalamkan diri dalam ilmu pengetahuan sekarang, dalam aliran-aliran yang bertentangan dengan Islam, supaya dapat kita mengambil apa-apa kebenaran yang ada padanya, sambil kita menolak dasar materialisme ataupun nihilisme mereka.
Jika ini tidak terjadi, maka umat Islam tetap akan terbelakang, dipimpin oleh golongan yang jahil, oleh mereka yang mempergunakan agama bagi kepentingan sendiri, oleh mereka yang membiarkan masuknya pengaruh-pengaruh yang tidak diingini itu, oleh sebab pengaruh-pengaruh itu tidak diketahui. Siapa antara maulana-maulana kita, atau ulama-ulama kita yang akan menganggap penting membaca dan menjawab, umpamanya, buku karangan Frederick Engels, Anti-Duhring? Wah, itu bapak Komunisme. Jangan dibaca bukunya. Haramkan sahaja. Apakah ini semestinya sikap seorang yang bertujuan memimpin pemikiran umat? Buku Engels ini akan beredar dalam kalangan umat Islam. Orang seperti Tan Malaka (meninggal pada tahun 1949), pemimpin awal komunis di Indonesia, yang lahir daripada keluarga Islam yang kuat agamanya, daripada suku bangsa Melayu di Sumatera, bukanlah orang Islam yang terakhir yang akan memeluk faham Komunisme.
Selamanya dalam masyarakat Islam tidak lahir golongan pimpinan berfikir yang berdasarkan atas ilmu pengetahuan sekarang, dan yang mempersoalkan perkara penting zaman sekarang, maka kaum cerdik pandai Islam akan meninggalkan Islam sebagai sumber inspirasi bagi peraturan hidup masyarakat zaman sekarang, walaupun dalam hidup perseorangnya mereka akan tetap berada dalam Islam. Agama Islam ini nanti hanya diperlukan bagi nikah dan mengebumikan mayat. Golongan ahli fikir yang dapat memimpin masyarakat Islam ke arah kemajuan akan timbul daripada manusia baharu Islam.
Oleh sebab tidak adanya golongan pimpinan berfikir dalam masyarakat Islam yang cukup kuat pengaruhnya, maka masyarakat Islam tetap akan tergendala. Mereka yang berpengaruh peranannya dalam masyarakat Islam tidak akan mendapat bimbingan daripada Islam. Ilmu tasawuf itu hanya dapat diterima melalui syeikhnya. Agama Islam itu diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW. Demikian juga segala pengaruh pemikiran Islam hanya dapat diteruskan melalui ahli-ahli fikirnya. Jika ini tidak ada, maka pengaruh Islam itu tidak akan bangkit. Kita akan terus menerima pengaruh pemikiran yang cetek dan keruh.
Adalah penting supaya masyarakat lebih teliti dan lebih waspada dalam memilih pimpinan berfikir. Jangan terpedaya oleh mereka yang hanya sanggup mengobar-ngobarkan semangat mendengungkan ayat-ayat al-Qur’an, dan catatan-«catatan hadis, dengan jalan pemikiran yang lintang pukang, jahil dalam ilmu dan persoalan, membawa umat Islam ke jalan buntu. Yang demikian ini banyak berkeliaran dalam kalangan kita. Mereka mesti dibezakan daripada guru-guru agama yang jujur dan soleh, yang tidak bergaya sebagai ahli dalam berbagai-bagai hal, yang memberikan petunjuk kepada penghidupan sehari-hari tanpa mencampuri urusan yang mereka tidak kuasai. Guru-guru agama yang demikian ini patut dihargai dan dipelihara oleh masyarakat.
Demikianlah tujuan penulis menyusun Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah bagi mencari jalan keluar daripada kekacauan dan kebingungan yang berlaku sekitar penerangan tentang Islam. Ditolak oleh diterimanya oleh masyarakat usaha penulis ini, haraplah didasarkan atas alasan yang sah, bukan atas perasaan yang sempit.
Anonymous (store manager) –