Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi

SYED HUSSEIN ALATAS (1928–2007) adalah bapa sosiologi Malaysia, pengasas Parti GERAKAN, dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya sekitar tahun 1980-an.

DBP (Cetakan Keempat, 2016)
300 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM35.00

In stock

ISBN: 9789836244727 Product ID: 1989 Subject: Sub-subjects: , ,

Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi merupakan hasil minat penulis yang berpanjangan terhadap rasuah yang timbul ketika Perang Dunia Kedua di Jawa, tatkala di bawah pendudukan Jepun. Inilah pertama kali penulis berhadapan dengan rasuah pada semua peringkat masyarakat. Pendedahan secara intensif kepada rasuah selanjutnya adalah pada tahun 1952 tatkala penulis melawat Iraq dan Iran selama empat bulan sebagai sebahagian daripada kajian lapangan dalam rangka pendidikan pascaijazah penulis di Universiti Amsterdam, Belanda, di mana penulis mendapat seluruh pendidikan pengajian tinggi penulis. Sejak itu penulis berpendapat bahawa masalah gawat yang paling mewabak dalam kalangan masyarakat yang sedang membangun adalah rasuah. Pendapat ini terus penulis pegang hingga sekarang.

Sifat, sebab-musabab dan fungsi rasuah dibahaskan dalam bab-bab yang berikut. Penulis mengemukakan di sini sikap penulis terhadap konsep rasuah. Sebagaimana semua fenomena sosial yang rumit, rasuah tidak dapat dirumuskan dalam satu kalimat sahaja. Apa yang mungkin ialah memberi gambaran yang masuk akal mengenainya, agar kita dapat membezakannya daripada fenomena lain yang bukan rasuah. Inti rasuah adalah penyalahgunaan kepercayaan demi kepentingan peribadi. Rumusan rasuah Yang dikemukakan oleh Brooks ialah:

“Dengan sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajipan, atau menyalahgunakan kuasa, bertujuan sedikit sebanyak memperoleh keuntungan peribadi.”

Definisi ini cukup luas namun masih memerlukan sedikit penyesuaian agar dapat juga mencakupi nepotisme. Dalam buku kecil penulis mengenai rasuah, The Sociology of Corruption yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1968 di Singapura, ciri-ciri rasuah diringkaskan seperti berikut:

(a) Suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan,
(b) Penipuan terhadap badan kerajaan, institusi swasta atau masyarakat umumnya,
(c) Dengan sengaja mengetepikan kepentingan umum berbanding kepentingan khusus,
(d) Dilakukan secara berahsia, kecuali dalam keadaan di mana orang-orang yang berkuasa atau bawahannya menganggapkan tidak perlu,
(e) Melibatkan lebih daripada seorang atau pihak,
(f) Adanya kewajipan dan keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau ganjaran yang lain,
(g) Terpusatnya kegiatan (rasuah) pada mereka yang mengehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya.
(h) Adanya usaha untuk melindungi perbuatan rasuah dalam bentuk-bentuk justifikasi undang-undang dan,
(i) Penyataan dwifungsi yang bercanggahan oleh mereka yang melakukan rasuah.

Perkara terakhir di atas, penting untuk membezakan rasuah daripada berjenis-jenis salah laku jenayah yang lain. Tatkala seorang pegawai disogok untuk mengeluarkan izin perniagaan, perbuatan mengeluarkan izin yang sesuai dengan peraturan dan tatacara pengeluarannya adalah fungS1 jawatannya. Demi kepentingan peribadinya, wang sogok didapati melalui pelaksanaan fungsi ini. Dia bertindak dalam kapasiti ganda yang bertentangan antara satu sama lain. Demikian juga halnya bagi pihak yang menyogok. Mengajukan permohonan dan memperoleh surat izin menjadi bahagian penting usahanya yang tidak bertentangan dengan undang-undang. Pencuri, memasuki rumah orang lain dengan tujuan melakukan jenayah dan penggelapan, tidak mempunyai ciri-ciri seperti itu.

Senarai di atas dapat dipanjangkan lagi, namun ia sudah cukup untuk membuat klasifikasi fenomena rasuah. Sesuatu perbuatan rasuah mempunyai semua ciri di atas. Ciri-ciri tersebut merupakan hasil penelitian data baik dari sejarah masyarakat masa lampau mahupun zaman moden. Bab-bab yang membicarakan Empayar Romawi dan China Kuno dimasukkan untuk menggambarkan hal ini. Persoalan mengenai rasuah yang tetap dan teras, berbeza dengan apa yang berubah-ubah dan nisbi, dibincangkan dalam Bab 4.

Jika kita menganalisis dengan lebih lanjut, inti rasuah adalah pencurian melalui penipuan dalam situasi yang mengkhianati kepercayaan. Pemerian ini mencakupi dua bentuk rasuah lainnya yang sulit untuk digolongkan ke dalam ciri-ciri di atas — nepotisme dan rasuah autogenik, iaitu yang dilakukan oleh seseorang secara bersendirian Brooks memperkenalkan istilah yang disebutnya sebagai autorasuah (autocorruption). Hal ini adalah sejenis rasuah yang tidak melibatkan orang lain dan pelakunya hanya seorang sahaja. Contoh yang diberikan oleh Brooks ialah:

“Seorang anggota Dewan Rakyat yang mendukung suatu undang-undang tanpa menghiraukan akibatnya dan kemudian meraih keuntungan kewangan kelana terlebih terdahulu mengetahui akan akibat pelaksanaan undang-undang itu.”

Misalnya, ketika sesebuah kawasan diputuskan menjadi zon pembangunan, maka pengetahuan yang terlebih dahulu diperoleh oleh anggota Dewan yang turut serta dalam membuat keputusan itu, memungkinkan dia membisikkan kepada teman-temannya di luar agar membeli tanah di kawasan tersebut, sebelum harganya naik apabila keputusan itu diwartakan. Contoh yang lain tentang rasuah seperti ini ialah pemalsuan tuntutan perbelanjaan yang kelihatannya sah. Perkara ini pun sering kali tidak sepenuhnya dilakukan sendirian. Sering kali ada saling pengertian berahsia antara para pegawai atau antara pekerja yang melakukan pemalsuan hinggakan perbuatan ini berlanjutan. Barangkali salah laku seperti ini harus kita golongkan sebagai penipuan.

Dalam Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, terkandung maksud untuk menganalisis lebih lanjut konsep rasuah. Dari segi tipologi, rasuah dapat dibagikan kepada tujuh Jenis yang berlainan: rasuah transaktif (transactive corruption), rasuah memeras (extortive corruption), rasuah investif (investive corruption), rasuah perkerabatan (nepotistic corruption), rasuah defensif (defensive corruption), rasuah autogenik (autogenic corruption) dan rasuah dukungan (supportive corruption).

Rasuah transaktif merujuk pada wujudnya kesepakatan timbal-balik antara pihak pemberi dan pihak penerima dan dengan aktif diusahakan sehingga tercapainya keuntungan, oleh kedua-dua pihak Rasuah jenis ini biasanya melibatkan dunia perniagaan dengan kerajaan, atau melibatkan orang awam dengan kerajaan. Jenis yang memeras pula adalah jenis rasuah di mana pihak pemberi dipaksa untuk menyogok, demi mengelak ancaman terhadap dirinya, kepentingannya, atau orang-orang sena perkara-perkara yang disayanginya. Rasuah defensif pula adalah perilaku mangsa rasuah pemerasan. Rasuah jenis ini adalah dalam rangka untuk mempertahankan diri.

Rasuah investif adalah pembelian barang atau jasa tanpa ada pertalian langsung dengan keuntungan tertentu, selain keuntungan yang diharap akan diperoleh pada masa hadapan. Rasuah perkerabatan atau nepotisme pula, adalah pelantikan teman atau sanak-saudara untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam tanpa justifikasi, atau tindakan yang memberikan keutamaan kepada mereka, baik dalam bentuk wang atau bentuk-bentuk lain, secara bertentangan dengan norma-norma dan peraturan-peraturan yang berlaku. Rasuah autogenik sudah pun disentuh di atas. Perkara yang perlu dijelaskan lebih lanjut adalah rasuah dukungan.

Rasuah jenis ini tidak secara langsung menyangkut wang atau imbalan langsung tetapi dalam bentuk lain. Tindakan-tindakan yang dilakukan adalah untuk melindungi dan memperkuat rasuah yang sudah lama berlaku. Perancangan dan berkomplot serta berbisik-bisikan para pembesar di dalam mesin politik Amerika Syarikat, merupakan contoh yang tepat seperti misalnya mengupah penjahat untuk mengusir para pemilih yang jujur dari tempat pungutan suara; membiarkan berlakunya huru-hara oleh para datuk bandar atau gabenor kerana takut kehilangan suara dalam pilihan raya; menghalang pegawai yang jujur dan cekap daripada menduduki posisi strategik, malahan menyatakan keinginan untuk menegakkan kerajaan bersih sebagai taktik dalam pemilihan umum sehingga mempesonakan khalayak. Usaha-usaha yang termasuk ke dalam rasuah dukungan tidak terhitung banyaknya.

Dalam Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, yang kita teropong bukan semua jenis rasuah. Inti fenomena rasuah seringnya daripada jenis pemerasan dan transaktif. Rasuah yang lain berkisar di sekitar kedua-dua jenis tersebut dan merupakan hasil sampingannya. Kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya dalam konteks penilaian yang tepat, hanya akan menimbulkan kekacauan dan pembaziran masa. Terutama, kita perlu membezakan jenis-jenis rasuah transaktif, pemerasan dan defensif.

Kata Pengantar
Prakata Edisi Kedua
Prakata Edisi Pertama

1. Rasuah di Empayar Romawi
2. Rasuah di China Kuno
3. Rasuah di Asia Dewasa Ini
4. Sebab-sebab Rasuah dalam Masyarakat Asia
5. Kesan-kesan Rasuah
6. Ideologi Rasuah

Penutup

Bibliografi
Indeks

Weight0.387 kg
Dimensions22.7 × 15.2 × 1.5 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 2 reviews
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Anonymous (store manager)

    (0) (0)
  2. MOHAMAD MARZUKI (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author