Wanita dan Kesihatan Era Kolonial mengupas berkaitan isu-isu kesihatan wanita yang merujuk kepada masalah kesihatan wanita yang dihadapi ketika era pemerintahan British di Tanah Melayu. Sebelum abad ke-20, wanita tidak terdedah kepada sistem rawatan dan perubatan moden di hospital dan ubat-ubatan moden. Selain tiada sokongan daripada kerajaan, tradisi wanita tempatan yang tidak terbuka dan lebih mempercayai perubatan secara rawatan “kampung” atau “tradisional” mengakibatkan isu kesihatan wanita tidak memberi impak kepada pemerintah.
Peranan wanita hanya sebagai suri sesebuah keluarga tidak dilihat sebagai sumber berkepentingan untuk dasar ekonomi British di Tanah Melayu. Justeru, isu kesihatan wanita, seperti kes-kes kematian ibu dan bayi akibat komplikasi semasa mengandung dan melahirkan tidak membawa perubahan terhadap dasar perkhidmatan kesihatan British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Pertama. Masalah kesihatan wanita bukan sahaja terhad kepada wanita mengandung dan melahirkan, tetapi mempunyai pelbagai isu kesihatan yang lain ketika itu, antaranya penyakit gangguan saraf dan kawalan diri yang membawa kepada penyakit mental serta masalah penyakit kelamin.
Isu kesihatan wanita mula menjadi salah satu agenda penting yang diberikan perhatian oleh British selepas Perang Dunia Pertama. Ini berlaku kerana kepesatan perkembangan ekonomi Tanah Melayu terhadap permintaan bahan mentah bijih timah dan pembukaan ladang-ladang getah. Ini mendorong kepada keperluan tenaga buruh bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam sektor tersebut. Penglibatan tenaga buruh wanita dalam sektor tersebut merupakan salah satu sumber buruh yang penting dalam bidang pertanian seperti getah, padi dan perlombongan. Wanita dianggap sebagai aset kepada ekonomi British kerana kaum wanita dilihat sebagai buruh yang produktif dan rajin.
Justeru, penyakit berkaitan wanita dan jumlah kematian wanita yang semakin bertambah, terutamanya disebabkan proses kelahiran akibat tiada rawatan rapi adalah sesuatu yang merugikan British. Selepas Perang Dunia Pertama, isu kesihatan wanita berkaitan masalah kehamilan ibu dan kelahiran bayi merupakan tumpuan perkhidmatan kesihatan British. Bermula dengan pengenalan jawatan Pegawai Perubatan Wanita di Selangor yang bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi, kerajaan British telah memperkembangkan perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital untuk merawat pelbagai masalah kesihatan berkaitan wanita termasuk penyakit mental dan kelamin.
Reviews
There are no reviews yet