MSS1563 Hikayat Nabi Adam merupakan satu teks manuskrip yang dihasilkan berbentuk prosa yang menceritakan tentang sejarah dan asal-usul kejadian Nabi Adam. Manuskrip ini berunsur Islam kerana mengandungi kisah kejadian bumi dan manusia paling awal dijadikan Allah iaitu Nabi Adam. Naskhah ini juga menceritakan tentang kemuliaan Nabi Adam dan riwayat hidupnya bersama Siti Hawa. Selain itu, naskhah ini turut mengandungi pengajaran dan iktibar melalui peristiwa-peristiwa yang terkandung di dalamnya. Penggunaan ayat al-Quran banyak terdapat di dalam manuskrip ini sebagai bukti kebenaran cerita yang terkandung di dalamnya dan melambangkan keislaman yang wujud dalam masyarakat Melayu dahulu.
Naskhah Hikayat Nabi Adam yang digunakan untuk kajian ini merupakan sebuah naskhah yang sudah lama. Naskhah ini menggunakan tulisan tangan sepenuhnya dengan tulisan jawi lama. Tulisan naskhah ini kemas, konsisten dan mudah dibaca. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian kecil bahagian naskhah yang tidak dapat dibaca kerana berlaku kerosakan pada kertas manuskrip yang ada. Naskhah ini mempunyai 40 lembaran tetapi tidak ditulis nombor halaman pada setiap lembaran. Namun, pada bahagian bucu bawah sebelah kiri setiap halaman dicatatkan perkataan pertama yang menyusul pada halaman berikutnya. Setiap lembaran terdiri daripada 24 sehingga 26 baris tulisan. Naskhah ini turut menggunakan aya al-Quran bagi menyatakan sesuatu firman atau peristiwa. Daripada naskhah ini juga, dapat dilihat bahawa Hikayat Nabi Adam dikarang pada tahun 1265.
Reviews
There are no reviews yet